Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Bilangan 12

A A A
Alkitab Versi Borneo

Miryam dan Harun mencemuh Musa

1Miryam dan Harun mencemuh Musa berhubungan dengan seorang perempuan Kush yang telah diperisteri Musa. Memang Musa telah memperisteri seorang perempuan Kush. 2Kata mereka, "Sungguhkah Tuhan berfirman melalui Musa sahaja? Bukankah Dia juga berfirman melalui kita?" Dan Tuhan mendengar hal itu. 3Musa seorang yang begitu lembut hatinya, bahkan lebih lembut daripada semua umat yang berada di muka bumi ini.

4Tiba-tiba berfirmanlah Tuhan kepada Musa, Harun, dan Miryam, "Keluarlah kamu bertiga ke Khemah Pertemuan." Maka keluarlah mereka bertiga. 5Kemudian Tuhan hadir dalam tiang awan, di pintu Khemah itu. Dipanggil-Nya Harun dan Miryam, lalu tampillah kedua-duanya. 6Firman-Nya, "Dengarlah firman-Ku ini: Jika ada seorang nabi Tuhan dalam kalangan kamu,

maka Aku akan menyatakan diri-Ku kepadanya melalui penglihatan,

dan Aku akan berfirman kepadanya dalam mimpi.

7ATetapi tidak demikian halnya dengan hamba-Ku Musa,

seorang yang setia dalam seluruh bait-Ku.

8Dengan dia Aku berbicara secara bersemuka,

secara jelas dan bukan dengan teka-teki,

dan dia juga pernah melihat secara jelas akan kemuliaan Tuhan.

Mengapakah kamu tidak takut untuk mencemuh hamba-Ku Musa?"

9Menyala-nyalalah kemurkaan Tuhan terhadap mereka, lalu ditinggalkan-Nya mereka. 10Setelah awan itu berpindah dari atas Khemah, nampaklah kudis kusta seputih salji ada pada Miryam! Harun memandang Miryam, dan memang ternyata Miryam ada kudis kusta! 11Kata Harun kepada Musa, "Wahai tuanku, kumohon janganlah hukum kami atas dosa kesalahan kami, yang kami lakukan dengan bodoh itu. 12Mohon jangan biarkan dia menjadi seperti orang mati yang dagingnya sudah separuh rosak ketika keluar daripada rahim ibunya."

13Musa pun berseru kepada Tuhan dan memohon: "Ya Allah, tolonglah kiranya menyembuhkan dia."

14BNamun demikian, Tuhan berfirman kepada Musa, "Sekiranya ayahnya meludahi mukanya, bukankah dia akan dimalukan selama tujuh hari? Jadi, biarlah dia dikurung di luar perkhemahan selama tujuh hari dan setelah itu barulah dia boleh dibawa masuk semula." 15Maka Miryam pun dikurung di luar perkhemahan selama tujuh hari, dan umat itu tidak berangkat sebelum Miryam dibawa masuk kembali. 16Setelah itu berangkatlah umat itu dari Hazerot, lalu berkhemah di Gurun Paran.