Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Bilangan 11

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pelbagai rungutan orang Israel

1Lalu bersungutlah orang Israel di hadapan Tuhan mengenai nasib malang yang menimpa mereka dan ketika Tuhan mendengarnya, menyalalah kemurkaan-Nya lalu api Tuhan menyala dalam kalangan mereka dan menghanguskan bahagian pinggiran perkhemahan. 2Maka berserulah bangsa itu kepada Musa dan Musa pun berdoa kepada Tuhan, lalu padamlah api itu. 3Itulah sebabnya tempat itu dinamai Tabera kerana api Tuhan menyala dalam kalangan mereka.

Rungutan tentang makanan

4Maka pada suatu waktu, gerombolan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dalam kalangan mereka itu amat bernafsu untuk makan daging lalu menangislah orang Israel seraya berkata, "Kalaulah ada yang memberi kita daging untuk dimakan! 5Kita ingat akan ikan yang kita makan di Mesir yang didapati dengan percuma sahaja, mentimun, tembikai, bebawang, bawang merah, dan bawang putih. 6Tetapi sekarang kita kurus kering. Tidak ada apa-apa selain manna yang kita lihat di hadapan mata."

7AManna itu seperti biji ketumbar dan kelihatan seperti damar. 8BBangsa itu berjalan ke sana ke mari memungutinya, lalu mengisarnya di dalam pengisar atau menumbuknya di dalam lesung. Setelah itu, mereka memasaknya dalam periuk lalu merebusnya di dalam belanga lalu membuat kuih bundar daripadanya. Rasanya seperti rasa penganan yang dibakar dengan minyak. 9Apabila embun turun di perkhemahan itu pada malam hari, turun jugalah manna itu.

10Musa mendengar ratapan umat itu, semua orang daripada kaum masing-masing menangis di depan pintu khemah mereka. Maka menyalalah murka Tuhan yang besar, tetapi Musa berasa tidak senang. 11Lalu kata Musa kepada Tuhan, "Mengapakah Engkau menyusahkan hamba-Mu ini? Mengapakah tidak ada rahmat bagi hamba di mata-Mu, sehingga beban seluruh bangsa ini Kautanggungkan kepadaku? 12Adakah hamba yang mengandung seluruh bangsa ini? Adakah hamba yang menjadikan mereka sehingga Engkau berfirman kepada hamba, 'Bawalah mereka dalam dakapanmu seperti seorang pengasuh menggendong anak yang sedang menyusu,' ke tanah yang Kaujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang mereka? 13Dari manakah hamba dapat memperoleh daging untuk diberikan kepada seluruh bangsa ini? Mereka menangis di depan hamba sambil berkata, 'Berilah kami daging untuk dimakan.' 14Hamba tidak dapat menanggung beban seluruh bangsa ini seorang diri, kerana hal itu terlalu berat bagi hamba. 15Jika Engkau memperlakukan hamba demikian, ambil sahaja nyawa hamba sekarang, kalau memang ada rahmat bagi hamba di mata-Mu. Jangan biarkan hamba melihat kemalangan hamba."

16Firman Tuhan kepada Musa, "Kumpulkanlah bagi-Ku tujuh puluh orang daripada kalangan tua-tua Israel yang kaukenal sebagai tua-tua umat dan pegawai atasan rakyat. Bawalah mereka ke Khemah Pertemuan, dan suruhlah mereka menyatakan pendirian mereka di sana bersama-samamu. 17Aku akan hadir dan berfirman kepadamu di sana, lalu Aku akan mengambil sebahagian daripada Roh yang ada padamu dan meletakkannya pada mereka lantas mereka akan menanggung beban bangsa ini bersama dengan kamu, sehingga kamu tidak perlu menanggungnya bersendirian. 18Katakanlah kepada bangsa itu, 'Sucikanlah dirimu untuk hari esoknya lalu kamu akan memakan daging. Tuhan telah mendengar kamu menangis sambil berkata, "Siapakah yang akan memberi kami makan daging? Keadaan kami di Mesir dahulu lebih baik!" Jadi, Tuhan akan memberi kamu daging dan kamu akan memakannya. 19Kamu akan memakannya bukan sehari, dua hari, lima hari, sepuluh hari, atau dua puluh hari sahaja, 20tetapi selama sebulan penuh, sampai daging itu keluar melalui lubang hidungmu sehingga membuat kamu muak. Hal itu terjadi kerana kamu telah menolak Tuhan yang hadir dalam kalangan kamu dan kamu menangis di hadirat-Nya sambil berkata, "Untuk apa kami keluar dari Mesir?" ' "

21Akan tetapi, Musa berkata, "Umat yang bersama-sama hamba ini seramai 600,000 orang pejalan kaki, dan Engkau berfirman, 'Aku akan memberi mereka daging untuk mereka makan selama sebulan penuh!' 22Jika kawanan domba dan kawanan lembu disembelih, cukupkah semua itu untuk mengenyangkan mereka? Atau, jika segala ikan di laut dikumpulkan, cukupkah semua itu untuk mengenyangkan mereka?"

23Firman Tuhan kepada Musa, "Apakah kuasa Tuhan terbatas? Sekarang kamu akan melihat sama ada firman-Ku akan ternyata atasmu atau tidak."

24Maka keluarlah Musa lalu disampaikannya firman Tuhan kepada bangsa itu. Dia mengumpulkan tujuh puluh orang daripada kalangan tua-tua bangsa itu dan disuruhnya mereka berdiri di sekeliling Khemah. 25Kemudian Tuhan hadir dalam awan dan berfirman kepada Musa. Diambil-Nya sebahagian daripada Roh yang ada pada Musa, lalu diletakkan-Nya pada kesemua tujuh puluh tua-tua umat itu. Ketika Roh itu turun ke atas mereka, bernubuatlah mereka seperti nabi, tetapi sesudah itu mereka tidak lagi bernubuat.

26Akan tetapi, ada dua orang tertinggal di perkhemahan, seorang bernama Eldad dan seorang lagi bernama Medad. Mereka termasuk antara orang yang tercatat, tetapi tidak turut pergi ke Khemah. Walaupun demikian, Roh itu pun turun ke atas mereka dan mereka bernubuat seperti nabi di perkhemahan. 27Lalu seorang muda berlari memberitahukan hal itu kepada Musa, katanya, "Eldad dan Medad bernubuat seperti nabi di perkhemahan."

28Yosua anak Nun, yang menjadi pembantu Musa sejak masa mudanya, berkata, "Tuanku Musa, cegahlah mereka!"

29Tetapi kata Musa kepadanya, "Adakah kamu mencemburui hal itu demi aku? Kalau sahaja seluruh umat Tuhan menjadi nabi kerana Tuhan mengurniakan Roh-Nya kepada mereka!" 30Setelah itu, Musa kembali ke perkhemahan bersama-sama tua-tua Israel.

Rezeki berupa burung puyuh

31Kemudian bertiuplah angin daripada Tuhan, menerbangkan burung-burung puyuh dari arah laut dan menjatuhkannya di sekitar perkhemahan hingga kira-kira sehari perjalanan jauhnya di sekeliling perkhemahan itu. Burung-burung itu berterbangan kira-kira dua hasta di atas permukaan tanah. 32Segeralah bangsa itu mengumpulkan burung-burung puyuh sepanjang hari, sepanjang malam, bahkan hingga esoknya sehari-harian. Setiap orang paling sedikit mengumpulkan rezeki seberat sepuluh homeri, kemudian mereka menebarkan semuanya di sekeliling perkhemahan. 33Akan tetapi, sementara daging masih dikunyah oleh mereka dan belum ditelan, menyalalah kemurkaan Tuhan terhadap bangsa itu. Tuhan mengazab mereka dengan wabak yang amat besar. 34Itulah sebabnya tempat itu dinamai Kibrot-Taawa, kerana di sanalah dikebumikan orang yang bernafsu makan daging.

35Dari Kibrot-Taawa bangsa itu melanjutkan perjalanan ke Hazerot, lalu mereka tinggal di Hazerot.