Alkitab Versi Borneo |
Peniupan semboyan nafiri 1Tuhan berfirman kepada Musa, 2"Buatlah dua buah nafiri daripada perak tempaan, lalu gunakanlah nafiri itu untuk memanggil kalangan umat serta untuk menandakan penutupan perkhemahan dan berangkatnya orang Israel. 3Apabila kedua-duanya ditiup, maka seluruh umat harus berkumpul menghadap kamu di depan pintu Khemah Pertemuan. 4Tetapi jika hanya satu yang ditiup maka para pemimpin, iaitu ketua kaum orang Israel sajalah yang harus berkumpul menghadap kamu. 5Apabila kamu meniupkan isyarat semboyan, hendaklah pasukan-pasukan yang berkhemah di sebelah timur berangkat, 6dan apabila isyarat semboyan ditiup buat kali keduanya, maka hendaklah pasukan-pasukan yang berkhemah di sebelah selatan berangkat. Jadi, hendaklah isyarat semboyan ditiup apabila perjalanan hendak dimulakan semula. 7Manakala, apabila kalangan umat itu dikumpulkan, maka nafiri harus ditiup tanpa isyarat semboyan. 8Hendaklah nafiri itu ditiup oleh anak-anak Imam Harun. Inilah suatu ketetapan yang berkekalan bagi kamu turun-temurun. 9Apabila kamu pergi berperang di negerimu dan menghadapi lawan yang menindas kamu, tiuplah isyarat semboyan dengan nafiri. Dengan begitu kamu akan diingati di hadapan Tuhan, Allahmu, dan akan diselamatkan daripada musuhmu. 10Demikian pula pada masa kamu bersuka ria, iaitu pada hari-hari rayamu dan pada awal-awal bulan, tiuplah nafiri dengan diiringi persembahan korban bakaranmu dan korban kedamaianmu, maka kamu akan diingati di hadapan Allahmu. Akulah Tuhan, Allahmu." Perjalanan dari Gunung Sinai ke Kadesh 11Pada hari kedua puluh, bulan kedua dalam tahun kedua terangkatlah awan dari atas Khemah Suci, tempat kesaksian. 12Maka berangkatlah orang Israel dari Gurun Sinai sehingga berhenti awan itu lalu berjuntai semula di Gurun Paran. 13Itulah pertama kalinya mereka berangkat berpandukan firman Tuhan dengan perantaraan Musa. 14Pasukan di bawah panji-panji bani Yehuda ialah pasukan yang berangkat terlebih dahulu dengan diketuai oleh Nahason anak Aminadab 15manakala Netaneel anak Zuar mengetuai pasukan suku bani Isakhar, 16dan Eliab anak Helon mengetuai pasukan suku bani Zebulon. 17Setelah itu, Khemah Suci dibongkar, lalu berangkatlah bani Gerson serta bani Merari yang mengangkut Khemah Suci itu. 18Kemudian pasukan di bawah panji-panji Ruben berangkat, pasukan demi pasukan. Elizur anak Syedeur mengetuai pasukan itu, 19Selumiel anak Zurisyadai mengetuai pasukan suku bani Simeon, 20dan Elyasaf anak Rehuel mengetuai pasukan suku bani Gad. 21Setelah itu, berangkatlah bani Kehat, yang mengangkut barang-barang tempat suci, dan sebelum ketibaan mereka kelak, Khemah Suci seharusnya sudah didirikan. 22Selanjutnya pasukan di bawah panji-panji bani Efraim berangkat, pasukan demi pasukan dengan diketuai oleh Elisama anak Amihud, 23manakala Gamaliel anak Pedazur mengetuai pasukan suku bani Manasye, 24dan Abidan anak Gideoni mengetuai pasukan suku bani Benyamin. 25Kemudian berangkatlah barisan belakang yang di bawah panji-panji bani Dan, pasukan demi pasukan dengan diketuai oleh Ahiezer anak Amisyadai 26manakala Pagiel anak Okhran mengetuai pasukan suku bani Asyer, 27dan Ahira anak Enan mengetuai pasukan suku bani Naftali. 28Itulah susunan keberangkatan orang Israel, pasukan demi pasukan, ketika mereka berangkat. 29Musa berkata kepada Hobab, anak Rehuel orang Midian, mertua Musa, "Kami hendak berangkat ke tempat yang dimaksudkan Tuhan ketika Dia berfirman, 'Aku akan mengurniakannya kepadamu.' Mari, pergilah bersama-sama kami. Kami akan berbuat baik kepadamu, kerana Tuhan telah menjanjikan hal yang baik mengenai Israel." 30Tetapi jawabnya kepada Musa, "Aku tidak akan pergi. Aku hendak pulang ke negeriku, kepada sanak saudaraku." 31Kata Musa, "Kumohon, jangan tinggalkan kami, kerana kamulah yang tahu di mana kami harus berkhemah di gurun. Kamu dapat menjadi penunjuk jalan bagi kami. 32Jika kamu pergi bersama-sama kami, maka segala kebaikan yang dilakukan Tuhan terhadap kami akan kami lakukan juga terhadap kamu." 33Maka berangkatlah mereka dari gunung Tuhan itu, tiga hari perjalanan jauhnya, sementara tabut perjanjian Tuhan telah berangkat mendahului mereka tiga hari perjalanan jauhnya untuk mencari tempat perhentian bagi mereka. 34Awan Tuhan ada di atas mereka pada siang hari, ketika mereka berangkat dari tempat berkhemah. 35ASetiap kali tabut dibawa berangkat, Musa berkata, "Bertindaklah, ya Tuhan! Biarlah musuh-Mu tercerai-berai dan biarlah orang yang membenci Engkau melarikan diri dari hadirat-Mu." 36Dan setiap kali tabut itu berhenti, berkatalah dia, "Kembalilah, ya Tuhan, kepada puluhan ribu orang Israel.'