Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Nehemia 8

A A A
Alkitab Versi Borneo

Ezra membaca kitab hukum

1Pada bulan ketujuh orang Israel telah tinggal di kota masing-masing. Maka berkumpullah seluruh rakyat secara serentak di lapangan, di depan Pintu Gerbang Air. Mereka meminta Ezra, ahli Kitab Suci itu, membawa Kitab Suci Taurat yang telah disampaikan Tuhan melalui Musa kepada Israel. 2Pada hari pertama pada bulan ketujuh, Imam Ezra membawa Kitab Suci Taurat ke hadapan jemaah yang terdiri daripada para lelaki, perempuan, dan semua orang yang dapat mendengar serta mengerti. 3Dengan menghadap ke arah lapangan, di depan Pintu Gerbang Air, dibacanya kitab itu dari pagi sampai tengah hari di hadapan para lelaki, perempuan, dan semua orang yang dapat mendengar serta mengerti. Seluruh rakyat mendengar baik-baik pembacaan Kitab Suci Taurat itu.

4Ezra, ahli Kitab Suci Taurat itu, berdiri di atas mimbar kayu yang khusus dibuat untuk acara itu. Di sisi sebelah kanannya berdiri Matica, Sema, Anaya, Uria, Hilkia, dan Maaseya, sedangkan di sebelah kirinya berdiri Pedaya, Misael, Malkia, Hasum, Hasbadana, Zakharia, dan Mesulam.

5Ezra membuka kitab itu di hadapan mata seluruh rakyat, kerana dia berdiri lebih tinggi daripada semua orang. Apabila dia membuka kitab itu, seluruh rakyat bangkit berdiri. 6Kemudian Ezra memuji Tuhan, Allah Yang Maha Besar, dan seluruh rakyat menjawab, "Amin, amin!" sambil menadahkan tangan. Mereka pun menundukkan kepala dan sujud menyembah Tuhan.

7Sejumlah bani Lewi, iaitu Yesua, Bani, Serebya, Yamin, Akub, Sabetai, Hodia, Maaseya, Kelita, Azarya, Yozabad, Hanan, dan Pelaya menolong umat untuk memahami hukum Taurat sementara umat berdiri di tempat masing-masing. 8Mereka membacakan kitab itu iaitu hukum Allah dengan jelas, sambil memberitahukan maknanya sehingga pembacaan itu difahami oleh para hadirin.

9Kemudian Nehemia, pembesar itu, dan Imam Ezra, ahli Kitab Suci Taurat itu, juga bani Lewi yang mengajar umat itu berkata kepada seluruh rakyat, "Hari ini suci bagi Tuhan, Allahmu. Jangan berdukacita atau menangis!" Seluruh rakyat memang menangis ketika mendengar perkataan hukum Taurat itu. 10Kata Nehemia kepada mereka, "Pergilah, makanlah yang sedap-sedap, minumlah yang manis-manis, dan kirimlah makanan kepada orang yang tidak menyiapkan apa-apa, kerana hari ini suci bagi Tuhan kita. Janganlah kamu berduka, sebab sukacita daripada Tuhan ialah kekuatan kamu."

11Lalu bani Lewi turut meminta seluruh rakyat tenang dengan berkata, "Bertenanglah. Hari ini hari suci. Jangan berduka." 12Lalu seluruh rakyat pergi untuk makan, minum, saling mengirim makanan, dan mengadakan pesta besar, kerana mereka sudah memahami kata-kata yang disampaikan kepada mereka.

Perayaan Pondok Daun

13Pada hari kedua para ketua kaum keluarga seluruh rakyat, para imam, dan bani Lewi berkumpul menghadap Ezra, ahli hukum Taurat itu, untuk menelaah kalimah-kalimah kitab Taurat. 14ADalam Kitab Taurat yang disampaikan Tuhan dengan perantaraan Musa itu mereka mendapati bahawa orang Israel harus tinggal di dalam pondok-pondok pada hari perayaan pada bulan ketujuh, 15dan bahawa mereka harus mengkhabarkan serta menyiarkan pengumuman di kota-kota mereka dan juga di Yerusalem demikian, "Pergilah ke gunung, ambillah daun pokok zaitun, daun pokok zaitun liar, daun pokok murad, daun pokok kurma, dan daun pepohonan yang rimbun untuk membuat pondok seperti yang tertulis itu."

16Maka pergilah rakyat mengambil semua jenis daun itu. Lalu mereka membuat pondok-pondok di atas bumbung rumah masing-masing, di halaman rumah mereka, di laman luar Rumah Allah, di lapangan dekat Pintu Gerbang Air, dan di lapangan dekat Pintu Gerbang Efraim. 17Seluruh jemaah yang kembali dari tempat penawanan itu membuat pondok-pondok dan tinggal di dalamnya. Hal itu belum pernah dilakukan oleh orang Israel sejak zaman Yosua anak Nun sampai hari itu. Demikianlah ada kesukaan yang amat besar. 18Hari demi hari, dari hari pertama sampai hari terakhir, Ezra membaca kitab hukum Allah. Hari perayaan itu dirayakan mereka selama tujuh hari, lalu pada hari kelapan diadakan perhimpunan umum sebagaimana yang ditetapkan oleh peraturan.