Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Nehemia 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Nehemia diutus ke Yerusalem

1Maka pada bulan Nisan dalam tahun kedua puluh pemerintahan Raja Artahsasta, aku mengangkat air anggur yang tersaji di hadapan baginda dan menyampaikannya kepada raja. Belum pernah aku kelihatan murung di hadapan baginda, 2sehingga raja berkata kepadaku, "Mengapakah murung mukamu, padahal engkau tidak sakit? Tentulah engkau sedang bersusah hati!"

Aku pun menjadi sangat takut. 3AKataku kepada raja, "Hidup raja selama-lamanya! Bagaimanakah muka hamba tidak murung sedangkan kota tempat pemakaman nenek moyang hamba telah rosak dan pintu-pintu gerbangnya hangus dijilat api?"

4Tanya raja kepadaku, "Apakah yang ingin kamu minta?" Aku berdoa kepada Allah semesta langit 5lalu berkata kepada raja, "Jika baik menurut raja dan jika tuanku berkenan kepada hambamu ini, utuslah hamba ke Tanah Yehuda, ke kota tempat pemakaman nenek moyang hamba, supaya hamba dapat membina semula kota itu."

6Tanya raja kepadaku, sementara permaisuri duduk di samping baginda, "Berapa lamakah perjalananmu nanti, dan bilakah engkau kembali?" Raja berkenan mengutus aku, maka aku pun menyampaikan suatu tempoh tertentu kepadanya.

7Aku berkata kepada raja, "Jika baik menurut raja, berilah hamba surat pengantar bagi para pembesar di seberang Sungai Efrat, supaya mereka mengizinkan hamba melalui kawasan mereka sehingga hamba tiba di Tanah Yehuda; 8juga sepucuk surat untuk Asaf, pengawas hutan raja, supaya dia memberi hamba kayu untuk membuat segala galang bagi pintu-pintu gerbang puri Bait Suci, bagi tembok kota, dan bagi rumah yang akan hamba diami." Raja mengabulkan permintaanku kerana tangan Allahku yang baik menaungi aku.

9Sesampainya aku di seberang Sungai Efrat, surat-surat pengantar daripada raja kuserahkan kepada para pembesar. Selain itu raja pun telah menyuruh para panglima tentera dan pasukan berkuda menyertai aku. 10Ketika hal itu didengar oleh Sanbalat, orang Horon, dan Tobia, seorang pegawai bangsa Amon, bahawa ada orang yang datang untuk mengusahakan agar orang Israel beroleh kesejahteraan, mereka sangat tidak suka.

Ketibaan Nehemia di Yerusalem

11Kemudian sampailah aku di Yerusalem, lalu berada di situ selama tiga hari. 12Setelah itu, aku bangun malam-malam dengan beberapa orang. Aku tidak memberitahu seorang pun rancangan apa yang ditaruh Allahku dalam hatiku untuk Yerusalem. Haiwan yang ada padaku hanyalah haiwan yang kutunggangi itu. 13Pada waktu malam aku keluar melalui Pintu Gerbang Lembah ke arah Air Pancut Naga dan ke Pintu Gerbang Sampah. Aku memeriksa tembok-tembok Yerusalem yang roboh serta pintu-pintu gerbangnya yang hangus dijilat api. 14Lalu aku berjalan terus ke Pintu Gerbang Air Pancut dan ke Kolam Raja, tetapi ruang laluannya tidak cukup bagi haiwan tungganganku. 15Jadi, pada malam itu naiklah aku dari lembah untuk memeriksa tembok itu. Kemudian aku kembali lagi, masuk melalui Pintu Gerbang Lembah, lalu pulang.

16Para pegawai tidak tahu ke mana aku pergi atau apa yang telah kulakukan. Sampai masa itu aku belum menguar-uarkan tugas itu kepada orang Yahudi, baik kepada imam, mahupun kepada bangsawan, pegawai, dan kalangan selebihnya yang kelak melaksanakan pekerjaan itu. 17Aku berkata kepada mereka, "Kamu lihat kesusahan yang kita alami, bagaimana Yerusalem rosak dan pintu-pintu gerbangnya hangus dijilat api. Mari kita bina semula tembok Yerusalem supaya kita tidak lagi menjadi bahan cacian." 18Kemudiannya, aku menceritakan kepada mereka bagaimana tangan Allahku yang baik menaungi aku dan juga hal yang dikatakan raja kepadaku.

Mereka pun menyahut, "Marilah kita bangkit dan siap untuk membina semula!" Lalu mereka menyediakan diri demi mencurahkan tenaga untuk pekerjaan yang baik itu.

19Tetapi ketika Sanbalat, orang Horon, juga Tobia, orang Amon, si pegawai itu, dan orang Arab itu iaitu Gesyem, mendengar hal itu, mereka mengolok-olokkan dan menghina kami. Kata mereka, "Apakah yang kamu lakukan itu? Adakah kamu mahu memberontak menentang raja?"

20Aku menjawab mereka dengan berkata, "Allah semesta langit, Dialah yang akan membuat kami berhasil. Kami, para hamba-Nya, akan bangkit dan siap untuk membina semula. Tetapi kamu tidak mempunyai bahagian atau hak atau sesuatu pun yang akan membuat kamu diingat di Yerusalem."