Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Nahum 3

A A A
Alkitab Versi Borneo

Kota Niniwe binasa

1Malangnya kota pertumpahan darah,

yang sarat dengan pembohongan dan penjarahan.

Terkaman juga tidak berkesudahan!

2Ada bunyi cemeti dan bunyi gemuruh roda.

Kuda melompat,

rata-rata yang melonjak.

3Kemaraan pasukan berkuda,

pedang menyala-nyala,

dan tombak berkilat-kilat.

Banyak yang terbunuh dan bangkai bertimbun-timbun;

Mayat terus tidak terputus-putus, tersandung orang pada mayat-mayat itu!

4Semua itu kerana teramat banyaknya kemungkaran si perempuan pelacur,

yang cantik, lemah gemalai dan berdaya tarikan maut,

yang menjual bangsa-bangsa dengan kemungkarannya

dan pelbagai kaum dengan perdayaannya.

5"Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawanmu,"

demikianlah firman Tuhan alam semesta.

"Aku akan menyingkapkan hujung kainmu sampai ke mukamu.

Aku akan memperlihatkan ketelanjangan kamu kepada bangsa-bangsa dan aibmu kepada kerajaan-kerajaan.

6Aku akan melemparkan segala kotoran dan yang cabul kepadamu.

Aku akan menghina engkau dan membuat kamu menjadi bahan tontonan.

7Semua yang memandang engkau akan lari meninggalkan kamu sambil berkata,

'Niniwe sudah rosak!

Siapa akan meratapinya?'

Dari manakah harus kucari para penghibur buatmu?"

8Adakah engkau lebih baik daripada Tebe,

kota di pesisir Sungai Nil,

yang dikelilingi air?

Bentengnya ialah laut,

temboknya ialah air.

9Kush dan Mesir ialah kekuatannya

tanpa terbatas.

Put dan Libia para pembantunya.

10Tetapi dia sendiri dibuang negeri,

ke tempat penawanan.

Bayi-bayinya pun dihempaskan

di hujung segala jalan.

Orang mencabut undi atas para orangnya yang mulia,

semua pembesarnya diikat dengan rantai.

11Engkau pun akan menjadi mabuk,

engkau akan bersembunyi.

Engkau pun akan mencari tempat berlindung daripada musuh.

12Segala kubumu seperti pokok ara dengan buah-buah hasil pertamanya.

Jika digoncang, maka jatuhlah buahnya ke dalam mulut si pemakannya.

13Lihat, pasukanmu seperti perempuan sahaja di tengah-tengahmu.

Pintu-pintu gerbang negerimu terbuka lebar untuk para musuhmu.

Palang-palang pintumu dimakan api.

14Timbalah air untuk menghadapi masa pengepungan, kukuhkanlah kubu-kubumu!

Pijaklah tanah liat,

injak-injaklah lumpur,

peganglah cetakan batu bata.

15Di sana api akan melahap kamu.

Pedang akan melenyapkan kamu

dan memakan engkau seperti belalang pelahap.

Gandakan bilangan kamu seperti belalang pelahap,

ramaikan bilangan kamu seperti belalang besar!

16Engkau memperbanyak pedagangmu melebihi bintang-bintang di langit.

Belalang pelahap telah menyerbu lalu terbang.

17Para bangsawan kamu seperti belalang besar,

para pegawai kamu seperti kawanan belalang

yang hinggap di pagar pada hari dingin.

Ketika matahari terbit mereka lari menghilang,

tidak diketahui lagi di mana tempatnya.

18Para gembalamu ketiduran, wahai raja Asyur!

Para pemukamu tertidur.

Pasukanmu berserakan di gunung-gunung tanpa ada yang mengumpulkan mereka.

19Tidak ada kesembuhan bagi lukamu, cederamu berat.

Semua orang yang mendengar khabar tentang kamu bertepuk tangan kerana engkau,

sebab siapakah yang tidak dilanda oleh kejahatanmu yang terus-menerus itu?