Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Nahum 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pemusnahan Niniwe

1Sudah tiba pihak yang mengucar-ngacirkan menentang kamu.

Jagalah kubu, intailah jalan, ikatlah pinggangmu,

kerahkanlah kekuatanmu dengan bersungguh-sungguh!

2Tuhan akan memulihkan keagungan Yakub seperti keagungan Israel,

kerana para penjarah telah menjarahnya dan memusnahkan cabang-cabangnya.

3Perisai para kesaterianya merah,

merah menyala pakaian anggota tenteranya yang gagah perkasa.

Berkilat-kilat memancar keluli pada rata-rata pada hari persiapannya.

Tombak-tombak sanubar diayunkan.

4Rata-rata dipacu bergegas-gegas di jalan, berlari ke sana ke mari di lapangan.

Bercahaya-cahaya seperti obor, larinya seperti kilat.

5Para perwiranya dikerahkan, mereka tersandung ketika mara.

Mereka bersegera ke tembok kota, dan alat pengepungan telah disiapkan.

6Pintu-pintu gerbang dekat sungai terbuka, istana gempar.

7Permaisuri ditelanjangi lalu dia dibawa pergi,

para dayangnya meratap dan mengerang dengan suara seperti burung merpati,

sambil memukuli dada sendiri.

8Niniwe seperti kolam air sejak zaman dahulu,

tetapi semuanya itu mengalir lenyap.

Orang berteriak, "Bertahan! Bertahan!"

tetapi tidak ada yang berpaling.

9Rampaslah perak, rampaslah emas.

Tidak ada habisnya khazanah itu,

kelimpahan segala barang yang indah-indah.

10Kosong, lengang, dan tandus!

Hati tawar, lutut berhantukan, nyeri sekujur pinggang,

dan muka semua orang berubah menjadi pucat.

11Di manakah sarang singa, tempat singa muda mencari makanan,

tempat singa jantan dan singa betina berjalan dengan anak singa, tanpa ada yang mengusik?

12Singa mencabik secukupnya bagi anak-anaknya

dan mencekik mangsa bagi betina-betinanya.

Singa memenuhi guanya dengan mangsa

dan sarangnya dengan daging yang dikoyak-koyak.

13"Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawanmu,"

demikianlah firman Tuhan alam semesta.

"Aku akan membakar rata-rata kamu sehingga menjadi asap

dan pedang akan melahap singa-singa mudamu.

Aku akan melenyapkan mangsamu daripada muka bumi

dan suara para utusanmu tidak akan kedengaran lagi."