Alkitab Versi Borneo |
Mikha merintih kerana akhlak orang Israel 1Malangnya aku! Kerana keadaanku seperti keadaan setelah tamatnya masa pengumpulan buah-buahan musim panas, seperti keadaan setelah tamatnya masa pemetikan susulan buah anggur. Tidak ada setandan anggur untuk dimakan atau buah ara pertama yang kusukai. 2Kalangan salih telah hilang dari bumi, tidak ada lagi yang tulus antara manusia. Mereka semua mengancam dan menantikan darah, setiap orang memburu saudaranya dengan jaring. 3Kedua-dua belah tangan mereka terampil berbuat jahat, para pembesar meminta hadiah, para hakim menerima rasuah, dan orang besar berbicara jahat sesuka hati. Demikianlah mereka bermuafakat bersama-sama. 4Orang yang terbaik di antara mereka seperti onak, orang yang paling tulus bagai pagar duri. Hari bagi para penjagamu, hari penghukumanmu, telah tiba. Sekarang mereka akan menjadi keliru. 5Janganlah percaya kepada jiran, janganlah menaruh keyakinan kepada para sahabat. Jagalah pintu mulutmu terhadap perempuan yang berbaring di pangkuanmu. 6AAnak laki-laki menghina ayahnya, anak perempuan bangkit melawan ibunya, menantu perempuan melawan ibu mertuanya. Musuh seseorang ialah ahli keluarga rumahnya sendiri. Pengharapan baru bagi Sion 7Tetapi bagiku, aku akan menengadah kepada Tuhan. Aku akan berharap kepada Tuhan, Penyelamatku. Allahku akan mendengar aku. 8Janganlah bergembira atas aku, wahai musuhku. Sekalipun aku jatuh, aku akan bangun pula. Sekalipun aku duduk dalam kegelapan, Tuhan akan menjadi cahaya bagiku. 9Aku akan menanggung murka Tuhan, kerana aku telah berdosa terhadap-Nya, sampai Dia memperjuangkan perkaraku dan menegakkan keadilan bagiku. Dia akan membawa aku keluar kepada cahaya. Aku akan melihat keadilan-Nya. 10Musuhku akan melihatnya dan akan diselubungi malu, dia yang berkata kepadaku, "Di manakah Tuhan, Allahmu?" Mataku akan memandang dia. Pada waktu itu dia akan diinjak-injak seperti lumpur di jalan. 11Akan datang hari untuk membangunkan tembokmu! Pada hari itu perbatasanmu akan diperluas. 12Pada hari itu orang akan datang kepadamu dari Asyur dan dari kota-kota Mesir – dari Mesir sampai Sungai Efrat – dari laut ke laut dan dari gunung ke gunung. 13Tetapi bumi akan menjadi tandus kerana penduduknya, kerana hasil perbuatan mereka. Doa meminta tindakan Allah 14Gembalakanlah umat-Mu dengan tongkat-Mu, domba-domba harta pusaka-Mu, yang terpencil mendiami rimba di tengah-tengah Karmel. Biarlah mereka merumput di Basan dan di Gilead, seperti pada zaman dahulu. 15"Seperti pada waktu engkau keluar dari Tanah Mesir, Aku akan memperlihatkan kepada mereka pelbagai keajaiban." 16Bangsa-bangsa akan melihatnya dan berasa malu atas segala keperkasaan mereka. Mereka akan menekapkan tangan ke mulut dan telinga mereka akan menjadi tuli. 17Mereka akan menjilat debu seperti ular, seperti binatang melata di bumi. Mereka akan keluar dengan gementar dari kubu mereka, menghadap Tuhan, Allah kita, dengan gentar. Mereka akan berasa takut terhadap Engkau. 18Siapakah Allah yang seperti Engkau, yang mengampunkan kesalahan, dan yang menghapuskan pelanggaran daripada sisa harta pusaka-Nya? Dia tidak mempertahankan murka-Nya untuk seterusnya, kerana Dia menyukai kasih abadi. 19Dia akan kembali mengasihani kita, Dia akan menginjak-injak kesalahan kita. Engkau akan membuang segala dosa kami ke laut yang dalam. 20Engkau akan melimpahkan kesetiaan-Mu kepada Yakub dan kasih abadi-Mu kepada Abraham, seperti yang telah Kaujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang kami sejak zaman dahulu.