Alkitab Versi Borneo |
Tuhan menyatakan keburukan umat-Nya 1Dengarlah apa yang difirmankan Tuhan: "Bangunlah, ajukanlah pembelaanmu di depan gunung. Biarlah bukit mendengar suaramu." 2Wahai gunung, dengarlah Tuhan menyatakan penunjuk keburukanmu, juga kamu, wahai alas-alas bumi yang kukuh, kerana Tuhan mempunyai perkara dengan umat-Nya. Ia hendak berperkara dengan Israel. 3"Wahai umat-Ku, apakah yang telah Kulakukan kepadamu? Dengan apakah Aku telah melelahkan engkau? Jawablah Aku! 4CAku telah memimpin engkau keluar dari Tanah Mesir dan menebus engkau dari tempat perhambaan. Aku telah mengutus sebagai pemimpinmu Musa, Harun, dan Miryam. 5EWahai umat-Ku, ingatlah apa yang dirancang oleh Balak, raja Moab, dan apa yang dijawab kepadanya oleh Bileam anak Beor. Ingatlah perjalananmu dari Sitim sampai ke Gilgal, supaya kamu mengetahui perbuatan yang benar daripada Tuhan." 6"Dengan apakah aku harus menghadap Tuhan dan tunduk menyembah kepada Allah di tempat yang tinggi? Apakah aku harus menghadap Dia dengan korban bakaran, dengan anak lembu berumur satu tahun? 7Adakah Tuhan berkenan kepada ribuan domba jantan atau kepada puluhan ribu aliran minyak? Haruskah aku persembahkan anak sulungku kerana pelanggaranku, anak kandungku kerana dosaku sendiri?" 8Wahai manusia, engkau telah diberitahu apa yang baik. Dan apakah yang dituntut Tuhan daripadamu selain menegakkan keadilan, mencintai kesetiaan, dan hidup dengan rendah hati di hadapan Allahmu? 9Suara Tuhan berseru-seru kepada kota itu – adalah bijaksana untuk berkhidmat kepada nama-Mu – "Dengarlah bunyi tongkat dan Dia yang menentukannya! 10Dapatkah Aku lupakan harta kefasiqan di rumah orang fasiq dan takaran yang kurang dan terkutuk itu? 11Haruskah Aku benarkan neraca kefasiqan dan pundi-pundi berisi batu timbangan tipu? 12Orang kayanya penuh dengan kekerasan. Penduduknya berkata bohong dan lidah penipu ada di dalam mulut mereka. 13Oleh sebab itu Aku pun mulai mengazabkan engkau dengan hebat, menanduskan engkau kerana dosa-dosamu. 14Engkau akan makan, tetapi tidak menjadi kenyang, rasa lapar tetap ada di dalam perutmu. Engkau akan memindahkan barang, tetapi tidak dapat menyelamatkannya, apa yang kauselamatkan akan Kuserahkan kepada pedang. 15Engkau akan menyemai, tetapi tidak akan menuai, engkau akan mengirik buah zaitun, tetapi tidak akan diurap dengan minyaknya, engkau akan mengirik buah anggur, tetapi tidak akan meminum airnya. 16GEngkau berpegang teguh pada ketetapan-ketetapan Omri dan segala perbuatan keluarga Ahab, engkau menuruti rancangan-rancangan mereka, sehingga Aku menjadikan engkau suatu kengerian dan pendudukmu suatu cemuhan. Kamu akan menanggung celaan daripada umat-Ku."