Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Matius 8

A A A
Alkitab Versi Borneo

Seorang yang menghidap penyakit kusta

1Yesus turun dari bukit itu dan ramai orang mengikut-Nya. 2Seorang yang menghidap penyakit kusta datang bersujud di hadapan-Nya sambil berkata, "Tuan, sekiranya Tuan mahu, Tuan dapat mentahirkanku."

3Yesus menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu sambil berkata, "Aku mahu. Tahirlah!" Pada saat itu juga penyakit kustanya hilang. 4ALalu Yesus berkata kepadanya, "Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam. Kemudian, persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka."

Iman seorang ketua tentera

5Ketika Yesus sampai di Kapernaum, seorang ketua tentera menjumpai-Nya dan merayu kepada-Nya: 6"Tuan, hambaku sakit di rumah, terlantar di katil tidak dapat bergerak, dan amat derita."

7Yesus menjawab, "Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkannya."

8Tetapi ketua tentera itu berkata, "Usahlah Tuan datang ke rumahku. Aku tidak layak menyambut Tuan ke rumahku.i Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh. 9Aku juga di bawah perintah orang atasan, dan aku ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, 'Pergi!' dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, 'Mari!' dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, 'Buat ini!' dia melakukannya."

10Yesus terkagum mendengarnya lalu berkata kepada orang ramai yang mengikut-Nya, "Sesungguhnya, belum pernah Kutemui orang yang demikian teguh imannya, walau di Israel pun. 11BKetahuilah! Ramai orang akan datang dari timur dan barat lalu duduk di meja menikmati jamuan bersama Abraham, Ishak dan Yakub dalam kerajaan syurga. 12CSebaliknya, anak-anak kerajaan itu akan dihumbankan ke dalam kegelapan di luar; di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi."

13Lalu Yesus berkata kepada ketua tentera itu, "Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan terjadi." Pada ketika itu juga sembuhlah hamba ketua tentera itu.

Yesus menyembuhkan ramai orang

14Yesus pergi ke rumah Petrus. Dia melihat ibu mertua Petrus terbaring di katil kerana demam. 15Apabila Yesus menyentuh tangannya, serta-merta demamnya hilang. Dia pun bangun, dan melayan Yesus.

16Setelah hari petang, ramai orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus. Dia menghalau roh-roh iblis itu dengan sepatah kata sahaja dan menyembuhkan semua yang sakit. 17DYesus melakukan semua itu supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya: "Dialah yang memikul kelemahan kita dan menanggung penyakit kita."

Mengikut Yesus

18Apabila Yesus melihat orang ramai di sekeliling-Nya, Dia pun mengeluarkan arahan supaya bertolak ke seberang tasik. 19Seorang ahli Taurat mendapatkan Yesus lalu berkata, "Guru, aku sanggup mengikut-Mu ke mana-mana sahaja."

20Yesus berkata kepadanya, "Musang ada lubangnya dan burung di udara ada sarangnya, tetapi Anak Manusia tidak ada tempat untuk meletakkan kepala-Nya."

21Seorang murid lain berkata, "Tuhan, izinkanlah aku pulang dahulu untuk menguburkan jenazah bapaku."

22Tetapi Yesus menjawab, "Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka."

Yesus menenangkan badai

23Yesus menaiki sebuah perahu, dan diikut oleh murid-murid-Nya. 24Tiba-tiba badai melanda dan ombak mengganas sehingga perahu dipenuhi air. Ketika itu Yesus sedang tidur. 25Para murid Yesus datang membangunkan-Nya. Mereka berkata, "Tuhan, selamatkan nyawa kami semua daripada maut!"

26Yesus menjawab, "Mengapakah kamu takut? Begitu tipis kepercayaanmu kepada-Ku!" Dia pun bangun menegur angin dan ombak itu. Serta-merta semuanya tenang sekali.

27Para murid Yesus tercengang lalu berkata, "Angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya. Siapakah orangnya ini?"

Yesus menghalau roh iblis

28Setelah tiba di seberang, di daerah Gadara, Yesus didekati oleh dua orang yang dirasuk roh iblis. Mereka keluar dari gua kubur. Kedua-duanya begitu ganas sehingga orang tidak berani lalu di situ. 29Apabila mereka melihat Yesus, mereka berseru, "Apa urusan-Mu dengan kami, ya Anak Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum sampai masanya?"

30Ada sekawan babi sedang makan agak jauh dari situ. 31Roh-roh iblis itu merayu kepada Yesus, "Jika Engkau hendak menyuruh kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam tubuh babi sekawan itu."

32Dan Yesus memerintah roh-roh itu, "Pergilah." Maka roh-roh itu pun keluar lalu memasuki babi-babi itu. Seluruh kawanan babi itu pun lari ke pinggir jurang laut lalu terjun dan mati lemas. 33Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan hal itu serta apa yang telah terjadi kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh iblis itu. 34Seluruh penduduk bandar itu pun datang berjumpa dengan Yesus dan memohon-Nya pergi dari daerah itu.