Alkitab Versi Borneo |
Menghakimi orang lain 1"Jangan hakimi orang lain, supaya kamu tidak dihakimi. 2AKerana sebagaimana kamu menghakimi orang, demikian jugalah kamu akan dihakimi. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu. 3Mengapakah kamu perhatikan selumbar di mata saudaramu, sedangkan kayu balak di matamu sendiri tidak kamu sedari? 4Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudaramu, 'Biarlah aku keluarkan selumbar daripada mata saudara,' sedangkan kayu balak terpampang di matamu sendiri? 5Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak daripada matamu, barulah penglihatanmu terang untuk mengeluarkan selumbar daripada mata saudaramu. 6Jangan berikan sesuatu yang suci kepada anjing, atau mutiara kepada babi, nanti dipijak-pijaknya lalu berpaling menyerangmu." Nasihat supaya berdoa 7"Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu. 8Setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat; dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya. 9Bapa manakah akan memberikan batu kepada anaknya yang meminta roti? 10Bapa manakah akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan? 11Kamu yang berdosa pun tahu memberikan yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan yang baik kepada mereka yang meminta daripada-Nya. 12BSegala sesuatu yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka, kerana inilah ajaran Taurat dan nabi-nabi." Memilih jalan yang betul 13"Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu gerbang dan jalan menuju kebinasaan itu lebar dan luas, maka ramai orang yang memilihnya. 14Sebaliknya, pintu dan jalan ke hidup kekal itu sempit dan sukar. Hanya segelintir orang yang menjumpainya." Pokok dan buahnya 15"Berjaga-jagalah tentang nabi palsu yang datang kepadamu dengan pakaian domba tetapi sebenarnya serigala ganas. 16Kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka. Pernahkah orang memetik buah anggur dari rimbunan berduri? Atau pernahkah buah ara dipetik dari semak berduri? 17Pokok yang subur menghasilkan buah yang baik manakala pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang tidak baik. 18Pokok yang subur tidak mungkin menghasilkan buah yang tidak baik dan pokok yang tidak subur tidak mungkin menghasilkan buah yang baik. 19CSetiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibakar. 20DDemikianlah kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka." 21"Tidak semua orang yang memanggil-Ku, 'Tuhan, Tuhan,' akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. 22Pada hari itu ramai orang akan berkata kepada-Ku, 'Tuhan, Tuhan, bukankah kami telah bernubuat dengan nama-Mu? Bukankah kami telah menghalau roh-roh iblis serta banyak melakukan mukjizat dengan nama-Mu?' 23ETetapi Aku akan menjawab, 'Aku tidak mengenalmu. Nyahlah kamu dari sini, hai kamu yang mungkar.' " Dua jenis asas 24"Sesiapa yang mendengar dan menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bijak yang membina rumah di atas batu. 25Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, tetapi rumah itu tidak runtuh kerana berasaskan batu. 26Sesiapa yang mendengar tetapi tidak menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bodoh yang membina rumah di atas pasir. 27Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, lalu runtuhlah rumah itu, punah ranap!" 28FSetelah selesai Yesus menyampaikan kata-kata itu, orang ramai itu kagum dengan ajaran-Nya 29kerana Dia mengajar dengan penuh wibawa, tidak seperti ahli Taurat mereka.