Alkitab Versi Borneo |
Perintah Allah dan adat istiadat 1Setelah itu, beberapa orang Farisi dan ahli Taurat dari Yerusalem datang mendapatkan Yesus lalu bertanya, 2"Mengapa murid-Mu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Mereka tidak membasuh tangan sebelum makan!" 3Yesus menjawab, "Mengapa kamu membelakangi perintah Allah demi mematuhi adat istiadatmu? 4BAllah berfirman, 'Hormatilah ibu bapamu' dan 'Orang yang mencaci ibu bapa sendiri mesti dihukum mati.' 5Sebaliknya kamu mengajar, 'Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, "Apa yang patut kugunakan untuk menolong ayah dan ibu, telah kupersembahkan kepada Allah," 6maka tidak perlulah orang itu menghormati ibu bapanya. Demikianlah kamu menyatakan Firman Allah tidak berlaku atas sebab adat istiadatmu.' 7Kamu munafik! Tepat sekali kata-kata Yesaya dalam nubuatnya tentangmu: 8C'Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata tetapi hati mereka jauh daripada-Ku. 9Sia-sialah mereka beribadat kepada-Ku, sedangkan ajaran yang diajarkan mereka ialah peraturan manusia.' " 10Kemudian Yesus memanggil orang ramai itu lalu berkata kepada mereka, "Dengar dan fahamlah! 11Apa yang masuk ke mulut seseorang tidak menajiskannya, tetapi apa yang keluar dari mulutnya; itulah yang menajiskannya."
12Selepas itu, para murid Yesus mendapatkan-Nya dan berkata, "Tahukah Engkau bahawa orang Farisi tersinggung dengan kata-kata-Mu?" 13Yesus menjawab, "Segala tanaman selain yang ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut. 14DJangan hiraukan orang Farisi. Mereka itu orang buta yang memimpin orang buta. Apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-duanya masuk ke dalam parit." 15Petrus berkata, "Terangkanlah maksud ibarat tadi kepada kami." 16Yesus berkata, "Kamu masih tidak faham. 17Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang turun ke perut lalu keluar semula. 18ESebaliknya, apa yang keluar dari mulut datang dari hati, dan inilah yang menajiskan. 19Dari hati timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, mencuri, memberi kesaksian palsu, dan memfitnah. 20Segala itulah yang menajiskan, bukan makan dengan tidak membasuh tangan." Wanita Kanaan yang percaya 21Yesus beredar dari situ, dan pergi ke kawasan berhampiran bandar Tirus dan Sidon. 22Seorang wanita Kanaan yang tinggal di situ datang mendapatkan Yesus sambil berseru, "Wahai Tuan, Anak Daud! Kasihanilah aku! Anak perempuanku dirasuk roh iblis, dan menderita!" 23Yesus diam tidak menjawab. Para murid-Nya memohon kepada-Nya, "Suruhlah wanita itu pergi. Dia mengikut kita meraung-raung." 24Yesus berkata kepada wanita itu, "Aku diutus khusus kepada keturunan kaum Israel yang seperti domba yang hilang." 25Wanita itu mendekati Yesus dan menyembah-Nya sambil berkata, "Tuan, tolonglah aku." 26Yesus menjawab, "Tidak patut mengambil roti anak-anak dan mencampakkannya kepada anjing." 27"Benar, Tuan," balas wanita itu, "tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya." 28Oleh yang demikian Yesus berkata kepadanya, "Kamu seorang wanita yang teguh iman. Apa yang kamu inginkan itu akan berlaku." Serta-merta anak wanita itu pulih. Yesus menyembuhkan ramai orang 29Yesus beredar dari situ lalu berjalan menyusur pesisiran Laut Galilea. Setelah itu, Dia mendaki sebuah bukit dan duduk di situ. 30Ramailah yang datang mendapatkan-Nya, membawa orang yang tempang, buta, lumpuh, bisu dan yang menghidap pelbagai penyakit. Yesus menyembuhkan mereka. 31Orang ramai tercengang melihat yang bisu bercakap, yang cacat dipulihkan, yang tempang berjalan, dan yang buta melihat, lalu mereka memuji Allah Israel. Empat ribu orang diberi makan 32Yesus memanggil murid-murid-Nya lalu berkata, "Aku berbelas kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-Ku; sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kalau-kalau pengsan nanti di tengah jalan." 33Para murid-Nya berkata, "Di manakah dapat kami cari roti yang cukup untuk orang seramai itu sedangkan kawasan ini terpencil?" 34Yesus bertanya, "Berapa banyakkah roti yang ada padamu?" "Tujuh buku," jawab mereka, "dan beberapa ekor ikan kecil." 35Yesus menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah. 36Dia mengambil tujuh buku roti dan ikan itu, mengucap syukur kepada Allah lalu memecah-mecahkannya dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. 37Kesemua orang pun makan sehingga kenyang. Sisa lebihan makanan yang dikumpulkan sebanyak tujuh bakul penuh. 38Jumlah yang makan empat ribu orang lelaki; belum dikira wanita dan kanak-kanak. 39Setelah itu, Yesus menyuruh orang ramai itu pulang, lalu Dia menaiki perahu dan pergi ke kawasan Magadan.