Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Matius 14

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yohanes dibunuh

1Pada masa itu Herodes, raja wilayah, mendengar tentang Yesus. 2Herodes berkata kepada orang di bawahnya, "Ini tentu Yohanes Pembaptis. Dia telah dibangkitkan daripada kematian! Itulah sebab Dia mempunyai kuasa melakukan mukjizat."

3ASebelum itu Herodes telah memerintahkan supaya Yohanes ditangkap, diikat dan dipenjarakan, disebabkan Herodias, isteri saudaranya Filipus. 4BYohanes telah memberitahu Herodes, "Mengambil Herodias sebagai isterimu adalah haram." 5Herodes hendak membunuh Yohanes tetapi takut kerana rakyat menganggapnya seorang nabi.

6Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan majlis dan menyenangi hati Herodes, 7sehingga Herodes bersumpah akan memberikan apa sahaja yang diminta oleh gadis itu. 8Disuruh oleh ibunya, gadis itu memohon kepala Yohanes Pembaptis di atas talam pada waktu itu juga. 9Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya. Oleh itu, dia memerintahkan supaya permintaan gadis itu dilaksanakan. 10Herodes pun memerintahkan orang pergi memancung kepala Yohanes di penjara. 11Kepala Yohanes diletakkan di atas talam dan diberikan kepada gadis itu. Gadis itu menyerahkan kepala Yohanes kepada ibunya. 12Selepas itu, murid Yohanes datang mengambil jenazahnya dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi memberitahu Yesus tentangnya.

Yesus memberi makan kepada lima ribu orang

13Sebaik-baik mendengar tentang Yohanes, Yesus menaiki perahu dan pergi seorang diri ke suatu tempat sunyi. Namun demikian, orang ramai mendapat tahu lalu mengikut Yesus melalui jalan darat dari kota. 14Setelah Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya berbelas kasih terhadap mereka lalu Dia menyembuhkan orang yang sakit dalam kalangan mereka.

15Apabila menjelang petang, para murid Yesus mendapatkan-Nya lalu berkata, "Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil. Suruhlah orang yang ramai ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan."

16Tetapi Yesus menjawab, "Mereka tidak usah pergi. Berilah mereka makan."

17Kata para murid Yesus, "Kita hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan."

18Yesus berkata, "Bawalah makanan itu kepada-Ku." 19Dia menyuruh orang ramai itu duduk di atas rumput. Setelah mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai itu. 20Mereka semuanya makan sehingga kenyang. Para murid mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas bakul. 21Jumlah yang makan kira-kira lima ribu orang lelaki, belum dihitung wanita dan kanak-kanak.

Yesus berjalan di atas air

22Setelah itu, Yesus menyuruh murid-murid-Nya menaiki perahu dan pergi ke seberang dahulu sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang. 23Setelah menyuruh mereka pulang, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Apabila hari sudah lewat petang, Yesus berada di situ seorang diri. 24Ketika itu perahu yang dinaiki oleh murid-murid-Nya sudah jauh ke tengah, terumbang-ambing kerana angin berhembus dari arah bertentangan.

25Antara dinihari dengan subuh,i Yesus berjalan di atas air menghampiri mereka. 26Apabila murid-murid-Nya melihat-Nya berjalan di atas air, mereka ketakutan lalu menjerit, "Hantu!"

27Yesus segera berkata kepada mereka, "Tabahkanlah hatimu. Aku Yesus. Jangan takut."

28Petrus berkata, "Tuhan, jika benar Engkau, suruhlah aku berjalan di atas air mendapatkan-Mu."

29"Marilah," sahut Yesus.

Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air ke arah Yesus. 30Tetapi apabila menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut lalu mula tenggelam. "Tuhan! Selamatkan aku!" serunya.

31Yesus segera menghulurkan tangan memegangnya lalu berkata, "Begitu tipis kepercayaanmu, mengapa engkau ragu?"

32Kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun tiada. 33Selepas itu, para murid Yesus yang di dalam perahu menyembah-Nya sambil berkata, "Sesungguhnya, Engkaulah Anak Allah!"

34Mereka menyeberang hingga tiba di Genesaret. 35Orang di situ mengenal Yesus lalu menyebarkan berita kedatangan-Nya ke serata daerah itu. Ramailah dibawa orang sakit kepada-Nya. 36Mereka merayu Yesus supaya mengizinkan orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Semua yang menyentuhnya terus sembuh.