Alkitab Versi Borneo |
Yesus mengajar di Nazaret 1Yesus beredar dari situ lalu pulang bersama murid-murid-Nya ke kampung halaman-Nya. 2Pada hari Sabat Dia mula mengajar di saumaah.i Ramai di situ hairan mendengar ajaran Yesus. "Dari manakah Dia memperoleh semua ini?" tanya mereka. "Apakah kebijaksanaan yang ada pada-Nya? Bagaimanakah Dia dapat melakukan mukjizat? 3Bukankah Dia ini tukang kayu, anak kepada Maria, saudara kepada Yakobus, Yoses, Yudas dan Simon? Bukankah saudara-saudara perempuan-Nya tinggal di sini?" Oleh itu, mereka enggan menerima-Nya. 4AYesus berkata kepada mereka, "Seorang nabi dihormati di mana-mana kecuali di kampung halamannya, antara sanak saudaranya dan dalam keluarganyaii sendiri." 5Dia tidak dapat melakukan satu mukjizat pun di situ. Dia hanya menyembuhkan beberapa orang sakit dengan meletakkan tangan-Nya pada mereka. 6Dia sungguh hairan bahawa mereka tidak percaya. Selepas itu, Yesus pergi ke kampung-kampung di sekitar itu dan mengajar. Yesus mengutus dua belas murid-Nya 7Dia memanggil murid-Nya yang dua belas itu, lalu mengutus mereka berdua-dua, serta memberi mereka kuasa atas roh-roh jahat. 8Perintah-Nya kepada mereka demikian: "Jangan bawa apa-apa dalam perjalanan, kecuali sebatang tongkat – roti pun jangan, beg pun jangan, wang dalam tali pinggang pun jangan. 9Pakailah capal, tetapi jangan pakai dua helai baju." 10Yesus berkata lagi, "Apabila kamu disambut di sesebuah rumah, menetaplah di situ hingga kamu beredar dari bandar itu. 11BCSebaliknya, jika penduduk sesuatu bandar enggan menyambutmu atau mendengar kata-katamu, pergilah dari situ dan kebaskanlah debu daripada tapak kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka." 12Murid Yesus yang dua belas itu pun pergi menyampaikan berita bahawa manusia harus bertaubat. 13DMereka menghalau banyak roh iblis, dan menyapukan minyak pada ramai orang sakit serta menyembuhkan mereka. Yohanes dibunuh 14ERaja Herodes mendengar tentang kejadian itu, kerana nama Yesus sudah terkenal di mana-mana. Ada orang berkata, "Yohanes Pembaptis telah dibangkitkan daripada kematian! Itulah sebab Dia mempunyai kuasa melakukan mukjizat." 15Yang lain berkata, "Dia ini Elia." Ada pula yang berkata, "Dia ini nabi, seperti nabi zaman dahulu." 16Ketika mendengar hal demikian, Herodes berkata, "Dia itu Yohanes yang kepalanya telah kupancung, tetapi dia hidup semula!" 17FSebabnya memang Herodes telah memberikan perintah supaya Yohanes ditangkap, diikat dan dipenjarakan. Herodes berbuat demikian kerana Herodias, isteri kepada saudaranya Filipus, yang telah dikahwininya. 18Yohanes pernah menegur perbuatan Herodes itu, "Mengambil isteri saudaramu sebagai isterimu adalah haram." 19Akibatnya Herodias menaruh dendam terhadap Yohanes dan hendak membunuhnya, tetapi hasratnya terhalang, 20kerana Herodes takut akan Yohanes. Herodes tahu Yohanes seorang yang benar dan suci, oleh itu dia melindungi Yohanes. Herodes juga suka mendengar kata-kata Yohanes, meskipun kata-kata itu membuatnya sangat gelisah. 21Akhirnya Herodias mendapat peluang apabila Raja Herodes mengadakan jamuan hari jadinya untuk semua pegawai tinggi kerajaan, panglima dan tokoh masyarakat Galilea. 22Anak gadis Herodias menari dan menghiburkan Herodes serta tetamunya. Oleh itu, raja berkata kepada gadis itu, "Mintalah daripadaku apa sahaja yang kamu ingini dan akan kuberikan kepadamu." 23Dia menyambung dengan sumpah, "Apa sahaja yang kamu minta akan kuberikan kepadamu, walau separuh kerajaanku sekalipun." 24Gadis itu pergi bertanya kepada ibunya, "Apakah yang patut kuminta?" Jawabnya, "Kepala Yohanes Pembaptis." 25Gadis itu segera kembali kepada raja dan berkata, "Aku mahu kamu berikan kepadaku kepala Yohanes Pembaptis di atas talam sekarang juga." 26Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya. Oleh itu, dia tidak mahu menolak permintaannya. 27Dia pun memberikan perintah kepada askar supaya membawa kepala Yohanes. Askar itu pergi ke penjara lalu memancung kepala Yohanes. 28Dia membawa kepala itu di atas talam dan menyerahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yohanes kepada ibunya. 29Apabila murid-murid Yohanes mendengar perkara itu, mereka datang dan mengambil jenazah Yohanes lalu mengebumikannya di dalam kubur. Yesus memberi makan kepada lima ribu orang 30Kemudian rasul-rasul kembali berkumpul dengan Yesus dan melaporkan segala yang telah dilakukan serta diajarkan mereka. 31Orang yang datang dan pergi di situ begitu ramainya sehingga Yesus dan murid-murid-Nya tidak sempat makan. Oleh itu, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, "Marilah ke tempat yang sunyi supaya kita dapat bersendirian, dan berehat sebentar." 32Mereka pun bertolak dengan perahu ke tempat yang sunyi. 33Tetapi pada waktu mereka bertolak ramai orang melihat dan mengenal mereka. Orang dari semua kota berlari ikut jalan darat supaya sampai di tempat yang dituju itu sebelum Yesus dan murid-murid-Nya. 34GApabila Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya berbelas kasih terhadap mereka kerana mereka ibarat domba tanpa gembala. Dia pun mula mengajar banyak perkara kepada mereka. 35Ketika hari sudah petang, para murid Yesus datang kepada-Nya dan berkata, "Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil. 36Suruhlah semua orang ini pergi supaya mereka ke pekan atau ke kampung yang berdekatan untuk membeli makanan." 37Tetapi Yesus menjawab, "Kamu berilah mereka makan." Para murid-Nya bertanya, "Haruskah kami pergi membeli roti berharga dua ratus keping wang dinar untuk memberi mereka makan?" 38Yesus bertanya, "Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu." Setelah mereka memeriksanya, mereka berkata, "Lima buku roti dan dua ekor ikan." 39Yesus mengarahkan mereka supaya menyuruh semua orang di situ duduk berkelompok-kelompok di atas rumput. 40Mereka pun duduk dalam kelompok; ada yang seratus orang sekelompok dan ada yang lima puluh orang. 41Setelah Yesus mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai itu. Dia juga membahagikan dua ekor ikan itu kepada mereka semua. 42Mereka semuanya makan sehingga kenyang. 43Para murid-Nya mengumpulkan lebihan makanan dan ikan sebanyak dua belas bakul. 44Jumlah orang lelaki yang makan itu kira-kira lima ribu orang. Yesus berjalan di atas air 45Yesus segera mengarahkan murid-murid-Nya pergi dahulu dengan perahu ke Betsaida di seberang laut sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang. 46Setelah mereka pergi, Yesus naik ke bukit untuk berdoa. 47Apabila hari sudah malam, perahu para murid Yesus sudah sampai ke tengah laut sedangkan Yesus seorang diri di darat. 48Yesus melihat murid-murid-Nya bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah bertentangan. Kira-kira antara dinihari dan subuh,iii Yesus berjalan di atas air menghampiri mereka. Dia hendak mendahului mereka. 49Tetapi ketika mereka terpandang Dia berjalan di atas air, mereka menyangka-Nya hantu lalu mereka berteriak-teriak. 50Mereka ketakutan melihat Yesus. Tetapi Dia segera berkata kepada mereka, "Tabahkanlah hatimu! Aku Yesus. Jangan takut." 51Dia naik ke perahu mereka, lalu angin pun teduh. Para murid-Nya hairan tercengang. 52Mereka masih belum mengerti apa sebenar yang berlaku dengan roti itu, kerana hati mereka masih keras. 53Mereka menyeberang hingga tiba di Genesaret. Di situ mereka menambat perahu itu. 54Sebaik-baik mereka turun dari perahu, orang mengenal Yesus 55lalu berlari ke serata kawasan dan membawa orang sakit yang terbaring di atas tikar kepada-Nya di mana-mana sahaja Dia berada. 56Di setiap tempat yang dikunjungi-Nya – baik di kota, di pekan mahupun di kampung – penduduk di situ membawa orang yang sakit ke pasar. Mereka memohon agar sekurang-kurangnya Yesus membenarkan mereka menyentuh hujung jubah-Nya. Semua yang menyentuhnya terus sembuh.