Alkitab Versi Borneo |
Ibarat tentang seorang penyemai 1AYesus mula mengajar lagi di pinggir laut. Begitu ramainya orang datang berasak-asak di sekeliling-Nya sehingga Dia terpaksa duduk di dalam sebuah perahu di laut itu manakala orang ramai berdiri di pantai. 2Yesus mengajar mereka banyak perkara melalui ibarat. Dalam ajaran-Nya itu, Dia berkata: 3"Dengarlah! Seorang penyemai pergi menabur benih. 4Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan, lalu dimakan burung. 5Ada pula yang jatuh di tempat berbatu yang kurang tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam. 6Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak berakar. 7Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar dan membantutkannya sehingga tidak berbuah. 8Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu bertunas, membesar dan berbuah, hasilnya tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda." 9Lalu kata-Nya, "Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!" 10Ketika Yesus bersendirian, dua belas murid-Nya dan beberapa orang yang ada bersama-Nya menanya Dia erti ibarat itu. 11Yesus berkata kepada mereka, "Kamu telah diberi rahsia kerajaan Allah. Tetapi orang luar akan mendengar segala sesuatu melalui ibarat, 12Bsupaya: 'Mereka terus melihat tetapi tidak nampak, mereka terus mendengar tetapi tidak mengerti; kerana sekiranya mereka mengerti, mereka akan berpaling dan diampuni!' " 13Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, "Jika kamu tidak memahami ibarat itu, bagaimanakah kamu dapat mengerti ibarat yang lain? 14Penyemai itu menabur firman. 15Ada orang seperti benih di jalan, tempat firman itu ditabur. Sebaik-baik mereka mendengar firman, datanglah Iblis untuk mengambil firman yang sudah ditabur dalam hati mereka. 16Ada orang lain seperti benih yang ditabur di tempat berbatu. Mereka mendengar firman itu dan terus menerimanya dengan sukacita, 17tetapi mereka tidak berakar, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik mereka menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, iman mereka pun segera luntur. 18Ada yang lain seperti benih yang ditabur di tengah semak berduri. Mereka mendengar firman itu, 19tetapi kerunsingan tentang hal-hal dunia, tarikan palsu harta benda dan aneka kemahuan lain membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah. 20Dan yang lain seperti benih yang ditabur di tanah subur mendengar dan menerima firman itu lalu menghasilkan tiga puluh, enam puluh bahkan seratus kali ganda." Ibarat tentang pelita 21CYesus berkata pula, "Pernahkah orang memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah pasu atau katil? Tentu diletakkannya di atas kaki pelita. 22DYang tersembunyi akan dinyatakan, yang dirahsiakan akan didedahkan. 23Jika kamu bertelinga, dengarlah." 24ESelepas itu Yesus berkata, "Perhatikan apa yang kamu dengar. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu, malah lebih berat lagi. 25FSesiapa yang ada sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, sedikit yang ada padanya pun akan diambil daripadanya." Ibarat tentang benih yang tumbuh 26Yesus berkata seterusnya, "Kerajaan Allah ibarat seorang yang menabur benih di ladangnya. 27Malam dia tidur, siang dia bekerja. Benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Dia tidak faham bagaimana hal itu terjadi. 28Tanahlah yang menumbuhkan tanaman hingga berbuah – mula-mula pucuk, kemudian bulir, akhirnya buah. 29GSetelah masak, buahnya disabit oleh orang itu dengan segera kerana musim menuai telah tiba." Ibarat tentang biji sesawi 30"Dengan apakah dapat kita bandingkan kerajaan Allah?" kata Yesus lagi. "Apakah ibarat yang dapat digunakan untuk menjelaskannya? 31Kerajaan Allah itu seperti sebutir biji sesawi paling kecil di dunia yang ditabur di tanah. 32Tetapi apabila ditabur, benih itu tumbuh dan menjadi tumbuhan yang terbesar. Dahannya begitu rimbun sehingga burung di udara membuat sarang di bawah keteduhannya." 33Dengan banyak ibarat yang semacam itu Yesus mengajar tentang firman kepada mereka, setakat yang dapat mereka faham. 34Dia tidak berucap kepada mereka tanpa menggunakan ibarat. Tetapi apabila Dia bersendiri dengan murid-murid-Nya, Dia menjelaskan segala-galanya. Angin ribut diredakan 35Pada petang itu juga, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, "Marilah kita pergi ke seberang sana." 36Ketika itu Yesus di dalam perahu. Para murid-Nya meninggalkan orang ramai itu di pantai lalu belayar bersama-Nya. Ada beberapa perahu lain yang belayar bersama-sama. 37Lalu angin ribut bertiup kencang dan ombak melanda perahu sehingga hampir dipenuhi air. 38Ketika itu Yesus sedang tidur di buritan perahu, kepala-Nya beralaskan bantal. Para murid-Nya membangunkan Dia lalu berkata, "Guru, tidakkah Engkau peduli? Kita hampir karam!" 39Yesus bangun lalu menegur angin dan berkata kepada ombak, "Diam! Tenanglah!" Angin pun reda dan laut menjadi tenang. 40Kemudian Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, "Mengapa kamu begitu takut? Mengapa kamu masih tidak percaya?" 41Mereka berasa gerun lalu berkata sesama sendiri, "Siapakah Dia ini? Angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya!"