Alkitab Versi Borneo |
Kebangkitan Yesus 1Setelah tamat hari Sabat, Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus, dan Salome membeli ramuan rempah untuk melumuri jenazah Yesus. 2Pada awal pagi hari pertama minggu itu, mereka sampai di makam itu ketika matahari terbit. 3Mereka berkata-kata sesama sendiri, "Siapa yang akan menggulingkan batu daripada pintu makam untuk kita?" 4Apabila mereka memandang makam itu, mereka mendapati batu yang sangat besar itu telah pun digulingkan. 5Mereka masuk ke dalam makam itu dan melihat seorang pemuda berjubah putih sedang duduk di sebelah kanan; mereka sungguh terkejut dan ketakutan. 6Tetapi dia berkata kepada mereka, "Jangan takut. Kamu mencari Yesus orang Nazaret, yang telah disalib. Dia telah bangkit semula! Dia tidak ada di sini. Lihatlah tempat mereka baringkan jenazah-Nya. 7ATetapi, pergilah, beritahu murid-murid-Nya, termasuk Petrus, bahawa Dia mendahuluimu ke Galilea. Di sana kamu akan melihat-Nya, seperti yang telah dikatakan-Nya kepada kamu." 8Mereka pun segera keluar dan berlari meninggalkan makam itu, kerana mereka gementar dan kehairanan. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa, kerana mereka takut. Yesus menampakkan diri kepada murid-Nya 9Setelah Yesus bangkit semula pada awal pagi hari pertama minggu itu, pertama sekali Dia menampakkan diri-Nya kepada Maria Magdalena yang telah disembuhkan-Nya daripada dirasuk tujuh roh iblis dahulu. 10Maria pun pergi memberitahu murid-murid-Nya yang sedang berkabung dan menangis. 11Ketika mendengar bahawa Yesus hidup dan telah dilihat oleh Maria, mereka tidak percaya. 12Selepas itu, Dia menampakkan diri dengan cara lain kepada dua orang daripada mereka ketika mereka sedang berjalan ke desa. 13Kedua-dua orang murid Yesus itu segera pergi memberitahu yang lain, tetapi mereka juga tidak percaya. 14Kemudian Dia menampakkan diri kepada kesemua murid-Nya yang sebelas itu ketika mereka sedang makan. Dia menegur sikap mereka yang tidak percaya dan keras hati, kerana mereka tidak mempercayai orang yang telah melihat-Nya setelah Dia bangkit semula. 15BDia berkata kepada mereka, "Pergilah ke serata dunia dan sebarkan Injil kepada setiap insan. 16Sesiapa yang percaya dan dibaptiskan akan diselamatkan, tetapi sesiapa yang tidak percaya akan dihukum. 17Tanda-tanda ini akan menyertai mereka yang percaya: Dengan nama-Ku mereka akan menghalau roh-roh iblis, dan mereka akan bertutur dalam bahasa-bahasa baru. 18Mereka akan memegang ular tanpa mudarat. Kiranya mereka terminum racun, mereka tetap selamat. Mereka akan meletakkan tangan pada orang sakit dan orang itu akan sembuh." 19CSetelah Tuhan Yesus berkata-kata dengan mereka, Dia disambut naik ke syurga lalu duduk di kanan Allah. 20Para murid-Nya pergi menyampaikan perkhabaran Injil di serata dunia. Tuhan bekerja bersama mereka, mengesahkan firman dengan iringan tanda-tanda ajaib.