Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Lukas 4

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yesus digoda

1Yesus penuh dengan Roh Kudus, kembali dari Sungai Yordan dan dipimpin oleh Roh ke padang gurun. 2Selama empat puluh hari, Dia digoda oleh Iblis. Sepanjang masa itu, Dia tidak makan apa-apa. Sesudahnya semua itu, Dia berasa kelaparan.

3Lalu Iblis berkata kepada-Nya, "Jika Engkau Anak Allah, perintahkan batu ini supaya menjadi roti."

4AYesus menjawab, "Telah tersurat, 'Manusia hidup bukan dengan roti sahaja.' "

5Iblis membawa Yesus ke satu tempat yang tinggi lalu dalam sekelip mata, Iblis menunjukkan kepada-Nya semua kerajaan di dunia. 6Iblis berkata kepada-Nya, "Segala kekuasaan ini dengan kemuliaannya akan kuberikan kepada-Mu kerana semuanya itu telah diserahkan kepadaku dan aku boleh memberikannya kepada sesiapa jua yang aku suka. 7Jadi, jika Engkau menyembahku, semuanya itu akan menjadi kepunyaan-Mu."

8BTetapi Yesus menjawab, "Telah tersurat, 'Hendaklah engkau menyembah Tuhan, Allahmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.' "

9Kemudian, Iblis membawa Yesus ke Yerusalem lalu meletakkan-Nya di puncak Bait Suci dan berkata kepada-Nya, "Jika Engkau Anak Allah, terjunlah dari sini, 10Ckerana telah tersurat, 'Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya untuk menjaga-Mu 11dan mereka akan menatang-Mu supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.' "

12DTetapi Yesus menjawab, "Ada dikatakan, 'Janganlah engkau menduga Tuhan, Allahmu.' "

13Setelah Iblis selesai menggoda Yesus, dia meninggalkan-Nya untuk sementara waktu.

Yesus kembali ke Galilea

14Yesus kembali ke Galilea dalam kuasa Roh. Perkhabaran tentang-Nya tersebar ke seluruh daerah itu. 15Dia mengajar di saumaah mereka dan semua orang memuji-muji-Nya.

Yesus tidak diterima di Nazaret

16Yesus kembali ke Nazaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat Dia pergi ke saumaahi seperti kebiasaan-Nya. Lalu Dia berdiri untuk membaca Kitab Suci. 17Kitab Nabi Yesaya diberikan kepada Yesus dan Dia membuka kitab itu untuk membaca ayat yang tersurat: 18E"Roh Tuhan ada pada-Ku

kerana Dia telah mengurapi Aku

untuk memberitakan khabar baik kepada orang miskin;

Dia telah mengutus Aku untuk mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan,

penyembuhan kepada orang buta,

kelepasan bagi orang yang tertindas,

19dan mengisytiharkan tahun keredaan Tuhan!"

20Yesus menutup kitab itu dan memulangkannya kepada petugas lalu duduk. Mata semua orang di dalam saumaah itu tertumpu kepada-Nya. 21Yesus mula berucap kepada mereka, "Pada hari ini ayat Kitab Suci ini telah terlaksana ketika kamu mendengarnya."

22Semua orang menyanjung Dia dan mengagumi kata-kata indah yang diucapkan-Nya. Mereka berkata, "Bukankah Dia anak Yusuf?"

23Yesus berkata kepada mereka, "Sudah tentunya kamu akan menyebut bidalan ini kepada-Ku, 'Tuan tabib, ubati diri-Mu! Buatlah di kota-Mu sendiri apa yang kami dengar Kaubuat di Kapernaum.' " 24FYesus menambah, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tiada seorang nabi pun yang diterima di kotanya sendiri. 25GDengarlah, sesungguhnya terdapat ramai balu di negeri Israel pada zaman Elia tatkala langit tertutup tidak menurunkan hujan selama tiga tahun enam bulan, dan terjadilah bencana kebuluran di seluruh negeri itu. 26HTetapi Elia tidak diutus kepada seorang jua pun kecuali seorang balu di bandar Sarfat di Sidon. 27IDemikian juga, ada ramai orang yang berpenyakit kusta di Israel pada zaman Nabi Elisa tetapi tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang ditahirkan melainkan Naaman, orang Siria."

28Semua orang di dalam saumaah yang mendengar kata-kata ini naik berang. 29Mereka bangun lalu mengusir Yesus dari kota itu. Dia dibawa ke puncak gunung tempat kota itu dibina kerana mereka mahu menghumbankan-Nya ke bawah. 30Tetapi Yesus berjalan di tengah-tengah mereka dan beredar dari situ.

Orang yang dirasuk oleh roh iblis

31Kemudian Yesus pergi ke kota Kapernaum di jajahan Galilea dan di situlah Dia mengajar orang pada hari Sabat. 32JMereka kagum dengan ajaran-Nya kerana kata-kata-Nya penuh wibawa. 33Di dalam saumaah itu ada seorang yang dirasuk oleh roh iblis yang durjana. Dia menjerit dengan nyaring, 34"Ah, apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Yesus orang Nazaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau ini. Engkau Yang Suci daripada Allah!"

35Yesus membentak roh iblis itu, "Diam! Keluar daripada dia!" Roh iblis itu menghempaskan orang itu di hadapan mereka lalu keluar daripadanya tanpa mencederakannya.

36Mereka semua tercengang dan berkata sesama sendiri, "Betapa hebat kata-kata-Nya! Dengan penuh wibawa dan kuasa Dia memerintah roh-roh jahat itu, mereka terus keluar." 37Maka perkhabaran tentang Yesus tersebar ke seluruh daerah itu.

Yesus menyembuhkan beberapa orang

38Yesus meninggalkan saumaah itu lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mertua Simon sedang demam panas, dan mereka memohon kepada Yesus untuk menolongnya. 39Yesus berdiri di tepi katilnya dan membentak demam itu lalu demam itu pun hilang. Ibu mertua Simon segera bangun dan melayan mereka.

40Ketika matahari sedang terbenam, semua orang yang menghidap pelbagai penyakit dibawa kepada Yesus. Dia meletakkan tangan-Nya pada setiap orang dan menyembuhkan mereka. 41Roh-roh iblis juga keluar daripada ramai orang dan berteriak, "Engkaulah Anak Allah."

Yesus memarahi roh-roh iblis itu dan tidak mengizinkan mereka bercakap kerana mereka mengetahui Dialah Kristus.

Yesus mengkhabarkan Injil di Yudea

42Ketika fajar menyingsing, Yesus meninggalkan kota itu dan pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia, dan apabila mereka menemui-Nya, mereka cuba menahan-Nya daripada meninggalkan mereka. 43Tetapi Yesus berkata kepada mereka, "Aku harus mengkhabarkan berita baik tentang kerajaan Allah di kota-kota lain juga. Sebab untuk tujuan inilah, maka Aku diutus."

44Maka, Dia berkhutbah di saumaah di Yudea.