Alkitab Versi Borneo |
Bertaubat atau binasa 1Pada masa itu beberapa orang datang memberitahu Yesus tentang orang Galilea yang dibunuh oleh Pilatus semasa mereka sedang mempersembahkan korban kepada Allah. 2Yesus berkata, "Adakah kamu menganggap orang Galilea itu lebih berdosa daripada semua penduduk Galilea yang lain kerana mereka menderita sengsara yang sedemikian? 3Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jika kamu tidak bertaubat daripada dosamu, kamu akan binasa sedemikian juga. 4Bagaimanakah pula dengan lapan belas orang yang mati ditimpa oleh menara di Siloam? Adakah mereka lebih bersalah daripada semua penduduk lain di kota Yerusalem? 5Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jika kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa sedemikian juga." Ibarat tentang pokok ara yang tidak berbuah 6Yesus menceritakan suatu ibarat. "Seorang telah menanam pokok ara di kebun buah-buahannya. Dia datang mencari buahnya, tetapi tidak dijumpai. 7Dia berkata kepada tukang kebun, 'Tengoklah, sudah tiga tahun aku datang mencari buah daripada pokok ara ini, tetapi tidak juga didapati. Tebangkanlah pokok ini! Apa gunanya terus menghabiskan kesuburan tanah?' 8Tukang kebun menjawab, 'Tuan, biarkan pokok ini tumbuh setahun lagi. Aku akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan membubuh baja. 9Kalau pokok ini berbuah, baiklah! Kalau tidak, tuan boleh menebangnya.' " Yesus menyembuhkan seorang perempuan bongkok 10Pada hari Sabat Yesus mengajar di salah sebuah saumaahi. 11Di situ ada seorang perempuan yang dirasuk oleh sesuatu roh yang melemahkannya selama lapan belas tahun. Belakangnya bongkok lipat dua dan dia tidak dapat berdiri tegak. 12Apabila Yesus nampak perempuan itu, Dia memanggilnya dan berkata, "Sembuhlah daripada penyakitmu." 13Lalu Yesus meletakkan tangan-Nya pada perempuan itu. Seketika itu juga, dia berdiri tegak dan memuji Allah. 14ATetapi ketua saumaah itu marah kerana Yesus telah menyembuhkan orang pada hari Sabat. Lalu dia berkata kepada orang ramai, "Dalam seminggu ada enam hari yang dibenarkan untuk bekerja. Jadi, datanglah untuk disembuhkan pada salah satu hari itu dan bukannya pada hari Sabat." 15Tuhan menjawab, "Kamu munafik! Bukankah kamu masing-masing melepaskan lembu atau keldaimu dari kandang untuk dibawa pergi minum pada hari Sabat? 16Sekarang perempuan daripada keturunan Abraham ini telah dibelenggu oleh Iblis selama lapan belas tahun, tidak haruskah dia dibebaskan daripada belenggunya pada hari Sabat?" 17Jawapan Yesus memalukan semua musuh-Nya tetapi orang ramai bersukacita kerana segala perkara mulia yang dilakukan oleh Yesus. Ibarat tentang biji sesawi dan ragi 18Yesus berkata, "Serupa apakah kerajaan Allah dan dengan apakah dapat Aku bandingkannya? 19Kerajaan Allah seumpama biji sesawi yang dibawa oleh seseorang dan ditabur di dalam kebunnya. Benih itu tumbuh dan menjadi pokok lalu burung di udara membuat sarang pada dahan-dahannya." 20Yesus berkata lagi, "Dengan apakah dapat Aku bandingkan kerajaan Allah? 21Kerajaan Allah seumpama ragi yang diambil seorang perempuan dan dicampurkan dengan tiga sukat tepung sehingga seluruh adunannya naik." Pintu yang sempit 22Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui beberapa buah kota dan kampung sambil mengajar. 23Seorang bertanya kepada-Nya, "Tuan, adakah segelintir sahaja yang akan diselamatkan?" Yesus menjawab, 24"Berusahalah untuk memasuki pintu yang sempit. Aku berkata kepadamu bahawa ramai orang akan mencari jalan masuk, tetapi mereka tidak mendapatinya. 25Tuan rumah akan bangun dan menguncikan pintu ketika kamu berdiri di luar mengetuk pintu sambil berkata, 'Tuan, tuan, bukalah pintu.' Tetapi dia akan menjawab, 'Aku tidak tahu dari mana kamu datang.' 26Kemudian kamu akan berkata, 'Kami telah makan dan minum bersama tuan, dan tuan mengajar di kota kami.' 27BTetapi tuan itu akan berkata, 'Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Nyahlah kamu dari sini, kamu semua penjahat!' 28CDi tempat itu akan terdapat ratapan dan kertakan gigi apabila kamu melihat Abraham, Ishak dan Yakub bersama semua nabi dalam kerajaan Allah, tetapi kamu diusir keluar. 29Orang akan datang dari timur dan barat, dari utara serta selatan untuk duduk bertelekan di meja menikmati jamuan dalam kerajaan Allah. 30DSesungguhnya, ada orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan ada orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir." Keluhan Yesus terhadap Yerusalem 31Pada masa itu beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan berkata, "Pergilah dari sini ke tempat yang lain. Herodes hendak membunuh-Mu." 32Yesus menjawab, "Pergilah beritahu si musang, 'Pada hari ini dan esok Aku menghalau roh-roh iblis serta menyembuhkan orang tetapi pada hari ketiga Aku akan menyelesaikan tugas-Ku.' 33Namun demikian, Aku harus meneruskan perjalanan pada hari ini, esok dan lusa. Seorang nabi tidak dibunuh di tempat lain kecuali di Yerusalem. 34Yerusalem, Yerusalem! Kamu membunuh nabi dan merejam utusan Allah. Sudah berapa kali Aku ingin mengumpul anak-anakmu seperti seekor ibu ayam mengumpul anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi kamu tidak mahu. 35ESekarang rumahmu akan ditinggalkan sama sekali. Aku berkata kepadamu, kamu tidak akan melihat Aku sehingga kamu berkata, 'Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!' "