Alkitab Versi Borneo |
Tuhan menerima persembahan Harun 1Pada hari kelapan, Musa memanggil Harun dan anak-anaknya serta para tua-tua Israel. 2Katanya kepada Harun, "Ambillah bagimu seekor lembu jantan muda untuk menjadi korban penghapus dosa, dan seekor domba jantan untuk menjadi korban bakaran dan kedua-duanya hendaklah tidak bercacat cela, lalu persembahkanlah di hadapan Tuhan. 3Kemudian katakanlah kepada orang Israel, 'Ambillah seekor kambing jantan untuk menjadi korban penghapus dosa, seekor anak lembu dan seekor anak domba tanpa cacat cela berumur setahun untuk menjadi korban bakaran, 4serta seekor lembu dan seekor domba jantan untuk menjadi korban kedamaian. Persembahkanlah semua itu di hadapan Tuhan bersama-sama persembahan bahan makanan yang dicampurkan minyak, kerana pada hari ini Tuhan akan menampakkan diri kepadamu.' " 5Mereka pun membawa apa yang diperintahkan Musa ke hadapan Khemah Pertemuan, lalu seluruh umat juga mendekati lalu berdiri di hadapan Tuhan. 6Kata Musa, "Inilah yang diperintahkan oleh Tuhan untuk kamu lakukan, supaya kemuliaan Tuhan tampak di hadapanmu." 7AKata Musa kepada Harun, "Datang dekatlah ke mazbah dan persembahkanlah korban penghapus dosamu serta korban bakaranmu, dan adakan pendamaian demi dirimu dan demi umat ini. Kemudian persembahkanlah korban umat itu dan adakanlah pendamaian bagi mereka, sebagaimana yang diperintahkan oleh Tuhan." 8Maka Harun mendekati mazbah lalu menyembelih anak lembu korban penghapus dosa untuk dirinya. 9Anak-anak Harun menyampaikan darah lembu itu kepadanya, lalu dia mencelup jarinya ke dalam darah itu dan membubuhnya pada tanduk-tanduk mazbah. Baki darah pula dicurahkannya ke kekaki mazbah. 10Lemak, buah pinggang, dan umbai hati daripada korban penghapus dosa itu dibakarnya di atas mazbah, seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepada Musa, 11manakala daging dan kulitnya dibakarnya habis di luar perkhemahan. 12Kemudian disembelihnya pula korban bakaran. Anak-anak Harun menyerahkan darah korban itu kepadanya, lalu dia memercikkannya ke sekeliling mazbah. 13Mereka menyerahkan pula korban bakaran itu kepadanya menurut potongan-potongannya berserta kepalanya, lalu dia membakar kesemuanya di atas mazbah. 14Harun membasuh isi perut dan kaki korban itu lalu dia membakar kesemuanya di atas korban bakaran yang ada di atas mazbah itu. 15Kemudian dia mempersembahkan pula korban umat itu. Diambilnya kambing jantan korban penghapus dosa untuk umat itu, lalu menyembelihnya dan mempersembahkannya sebagai korban penghapus dosa seperti korban yang sama sebelumnya. 16Lalu dipersembahkannya korban bakaran itu yang disediakan mengikut peraturan. 17Seterusnya dia membawa persembahan bahan makanan, dan diambilnya segenggam penuh daripadanya lantas membakarnya di atas mazbah, di samping korban bakaran pagi hari itu. 18BDia juga menyembelih lembu dan domba jantan korban kedamaian umat itu. Anak-anak Harun menyerahkan darah korban itu kepadanya lalu dia memercikkannya ke sekeliling mazbah. 19Mereka meletakkan lemak daripada lembu dan domba jantan itu, iaitu ekornya yang gemuk, lemak yang menutupi isi perut, buah pinggang, serta umbai hati 20di atas dada korban itu, lalu Harun membakar lemak itu di atas mazbah. 21Bahagian dada dan paha kanan diunjukkan Harun sebagai persembahan unjukan di hadapan Tuhan, sebagaimana yang diperintahkan oleh Musa. 22CLalu Harun mengangkat kedua-dua tangannya ke hala umat itu dan memohonkan keberkatan atas mereka lalu turun selepas dia mempersembahkan korban penghapus dosa, korban bakaran, dan korban kedamaian itu. 23Musa dan Harun masuk ke dalam Khemah Pertemuan. Kemudian mereka keluar lantas memohonkan keberkatan atas umat itu, lalu kelihatanlah kemuliaan Tuhan di hadapan seluruh umat itu. 24Lalu muncullah api dari hadirat Tuhan lantas menghanguskan korban bakaran dan lemak di atas mazbah. Apabila umat itu melihat hal itu mereka pun bersorak-sorai lalu sujud menyembah.