Alkitab Versi Borneo |
Peraturan bagi tahun Sabat 1ATuhan berfirman kepada Musa di Gunung Sinai demikian: 2"Beritahu orang Israel, 'Setelah kamu masuk ke negeri yang akan Kukurniakan kepadamu, tanah itu pun harus diberikan masa istirahat sebagai Sabat bagi Tuhan. 3Hendaklah selama enam tahun kamu menyemai ladangmu, memangkas kebun anggurmu, serta mengumpulkan hasilnya. 4Tetapi pada tahun ketujuh hendaklah dikuatkuasakan masa istirahat penuh bagi tanah itu, iaitu Sabat bagi Tuhan. Maka janganlah kamu semai ladangmu dan jangan kamu pangkas kebun anggurmu. 5Jangan kamu tuai apa-apa yang tumbuh sendiri setelah masa penuaian, dan jangan kamu petik buah daripada pohon anggurmu yang tidak dipangkas. Hendaklah tahun itu menjadi tahun istirahat penuh bagi tanah itu. 6Namun begitu, segala hasil tanah selama tahun Sabat itu akan menjadi makanan buat kamu, bagi para hambamu baik lelaki mahupun perempuan, bagi pekerja upahanmu, dan bagi para peneroka yang menghuni berdekatan denganmu, 7juga bagi haiwan ternakanmu dan apa-apa haiwan liar yang ada di tanahmu – segala hasil tanah itu boleh dijadikan makanan. Peraturan bagi tahun pembebasan 8Hendaklah kamu menghitung tujuh tahun Sabat, iaitu tujuh kali tujuh tahun sampai tempoh selama empat puluh sembilan tahun. 9Lalu pada hari kesepuluh pada bulan ketujuh, iaitu Perayaan Hari Pendamaian, hendaklah di seluruh bumimu dikumandangkan bunyi tiupan kuat sangkakala. 10Hendaklah kamu menjadikan tahun kelima puluh itu suci dengan mengisytiharkan kebebasan bagi seluruh penduduk di setiap ceruk rantau negeri. Tahun itu Tahun Jubli bagimu. Hendaklah masing-masing kembali ke tanah miliknya dan kembali kepada kaumnya. 11Hendaklah tahun kelima puluh itu menjadi Tahun Pembebasan bagimu. Jangan semai, jangan tuai apa-apa yang tumbuh dengan sendiri, dan jangan petik buah daripada pohon anggur yang tidak dipangkas. 12Sebabnya tahun itu Jubli Pembebasan. Maka hendaklah kamu menganggap tahun itu suci bagimu. Kamu semua boleh memakan hasil yang diambil daripada ladang pada tahun itu. 13Dalam Tahun Pembebasan itu setiap orang harus pulang ke tanah miliknya. 14Jika kamu menjual apa-apa kepada sesama jiranmu, janganlah kamu rugikan satu sama lain. 15Sebaliknya, hendaklah kamu mengambil kira bilangan tahun selepas jubli ketika kamu membeli tanah daripada jiranmu, dan yang hendaklah dia menjual kepadamu berdasarkan jumlah tahun penuaian akan dilakukan. 16Jika jumlah tahun yang berbaki itu banyak maka kamu akan menaikkan harganya; jika jumlah tahun berbaki itu sedikit maka kamu akan menurunkan harganya, kerana yang sebenarnya dijualnya kepadamu ialah jumlah tahun penuaian. 17Maka janganlah kamu saling mengambil kesempatan melainkan takutlah kepada Allahmu, kerana Akulah Tuhan, Allahmu. 18Sebaliknya, taatilah segala ketetapan-Ku dan berpeganglah teguh pada segala peraturan-Ku dan amalkan kesemuanya, maka kamu akan tinggal dengan selamat dan aman di bumi ini. 19Bumi itu akan mengeluarkan hasil, lalu kamu akan cukup makan dan tinggal dengan selamat di sana. 20Jika kamu bertanya, "Apakah yang akan kami makan pada tahun ketujuh itu sekiranya kami tidak boleh menyemai dan tidak boleh menuai hasil tanah kami?" 21Aku akan memerintahkan berkat-Ku kepadamu pada tahun keenam, sehingga tanah itu mengeluarkan hasil untuk tiga tahun. 22Ketika kamu menyemai benih pada tahun kelapan, kamu masih akan makan daripada hasil yang lama sampai tahun kesembilan ketika hasil yang baru dibawa masuk. Penebusan tanah dan rumah 23Tanah tidak boleh dijual secara mutlak yakni untuk selama-lamanya kerana Akulah yang memiliki tanah itu, sedangkan bagi-Ku, kamu hanyalah warga dan pendatang sementara. 24Oleh itu, apabila kamu menjual tanah milikmu kamu mesti memasukkan syarat hak menebus semula tanah itu. 25Jika saudaramu menjadi miskin lalu dijualnya sebahagian daripada tanah miliknya, maka seorang kerabatnya yang terdekat harus datang untuk menebus tanah yang dijualnya itu. 26Jika seseorang tidak mempunyai kerabat untuk menebus semula tanah itu, tetapi kemudian dia menjadi kaya sehingga mempunyai cukup harta untuk menebus miliknya itu, 27maka hendaklah dia menghitung bilangan tahun sejak dijualnya tanah itu lalu mengembalikan semula nilai bagi jumlah tahun selebihnya kepada pembeli tanah tersebut. Sesudah itu barulah dia boleh pulang ke tanah miliknya. 28Akan tetapi, jika orang itu tidak cukup kemampuan untuk mendapatkan tanah itu kembali, maka tanah yang telah dijualnya itu tetap berada dalam tangan orang yang membelinya sampai Tahun Pembebasan. Pada Tahun Pembebasan tanah itu bebas, dan si penjual tanah itu boleh kembali ke tanah miliknya.' " 29"Jika seseorang menjual sebuah tempat kediaman di dalam sebuah kota bertembok, maka dia ada tempoh selama satu tahun selepas tarikh penjualan itu untuk menebus kediamannya semula. Jadi, hanya selama setahun itulah berkuat kuasa haknya untuk menebus semula itu. 30Tetapi jika rumah itu tidak juga ditebus sampai genap setahun penuh, maka hendaklah hak pemilikan rumah di dalam kota yang bertembok itu ditetapkan sebagai milik mutlak si pembeli turun-temurun, dan tidak akan bebas (dan berbalik kepada pemilik asal) pada Tahun Pembebasan. 31Tetapi rumah-rumah di daerah kampung yang tidak dikelilingi tembok hendaklah ditangani sama sebagaimana ladang-ladang di negeri itu. Semuanya boleh ditebus dan hendaklah bebas pada Tahun Pembebasan. 32Mengenai kota-kota orang Lewi pula, orang Lewi sentiasa berhak untuk menebus semula rumah-rumah di kota-kota milik mereka pada bila-bila masa. 33Jika seseorang membeli rumah yang dimiliki oleh orang Lewi, rumah yang dijualnya di kota di mana dia memiliki harta akan bebas dan kembali menjadi milik orang Lewi itu pada Tahun Pembebasan kerana rumah-rumah di kota-kota orang Lewi ialah milik suku kaum mereka di tengah-tengah orang Israel. 34Akan tetapi, segala padang ragut di sekitar kota-kota mereka tidak boleh dijual, kerana padang itu milik mereka untuk selama-lamanya." Peraturan tentang hutang dan perhambaan 35B"Jika seorang sesama bangsa Israel dalam kalangan kamu jatuh miskin dan tidak mampu menyara hidupnya, hendaklah kamu menyokongnya sebagaimana kamu akan membantu seorang pendatang dan pemastautin sementara supaya dapat diteruskannya kehidupan dalam kalanganmu. 36Jangan kaukenakan bunga atau ambil untung daripadanya, tetapi sebaliknya takutlah kepada Allahmu, supaya saudaramu dapat terus hidup dalam kalangan kamu. 37CJangan mengambil wang bunga daripadanya atau mengambil untung atasnya apabila kamu meminjamkan wang atau memberikan makanan kepadanya. 38Akulah Tuhan, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir untuk mengurniakan kepadamu Tanah Kanaan, supaya Aku menjadi Allahmu. 39DJika seorang sesama bangsa Israel dalam kalangan kamu jatuh miskin lalu menjual dirinya kepadamu, janganlah kamu kerahnya bekerja sebagai hamba. 40Sebaliknya, hendaklah kamu melayan dia sebagaimana seorang pekerja upahan atau perantau dan hendaklah dia bekerja denganmu sehingga Tahun Pembebasan. 41Setelah itu, hendaklah dia berserta anak-pinaknya bebas daripada kamu, lalu kembali kepada kaumnya dan memiliki semula tanah warisan nenek moyangnya. 42Mereka ialah para hamba-Ku, yang Kubawa keluar dari Tanah Mesir maka mereka tidak boleh dijual sebagaimana hamba abdi dijual. 43Jangan kamu layani dia secara terlalu keras, melainkan takutlah kepada Allahmu. 44Hamba lelaki dan hamba perempuan yang kamu miliki hendaklah berasal daripada bangsa-bangsa yang ada di sekelilingmu. Hendaklah kamu membeli hamba lelaki dan hamba perempuan daripada kalangan mereka. 45Kamu juga boleh membeli anak para perantau yang tinggal dalam kalangan kamu, dan begitulah juga dengan anggota kaum keluarga mereka yang lahir di bumimu. Mereka boleh menjadi milikmu. 46Kamu juga boleh mewariskan mereka sebagai harta pusaka kepada anak-anakmu kelak, dan kamu boleh memperhambakan mereka seumur hidup mereka. Tetapi dalam kalangan sesama orang Israel, iaitu para saudaramu, tidak ada sesiapa pun melayani yang lainnya sesamanya secara terlalu keras. 47Jika seorang pendatang atau perantau dalam kalanganmu menjadi kaya, sementara seorang sesama bangsa Israel dalam kalangan kamu pula menjadi miskin sehingga dia menjual dirinya kepada pendatang dan perantau itu ataupun kepada anggota keluarganya, 48maka dia boleh ditebus setelah dia menjual dirinya. Salah seorang saudara lelakinya boleh menebus dia. 49Bapa saudaranya atau sepupu lelakinya, atau sesiapa kerabat terdekat daripada kaumnya pun boleh menebusnya. Jika dia sendiri kemudiannya menjadi kaya, maka dia boleh menebus dirinya sendiri. 50Hendaklah dia membuat perhitungan dengan orang yang membelinya, iaitu tempoh masa sejak tahun dia menjual dirinya kepada orang itu sampai Tahun Pembebasan. Harga penjualan dirinya hendaklah berdasarkan jumlah tahun dia terjual dan tempoh dia menjadi seorang pekerja upahan. 51Jika baki tahunnya banyak, maka berdasarkan jumlah tahun itulah dia mesti membayar harga tebusannya daripada harga pembeliannya. 52Jika jumlah tahun sampai Tahun Pembebasan tinggal sedikit sahaja, maka hendaklah dia membuat perhitungan dengan orang itu. Berdasarkan jumlah tahun itulah hendaklah dia membayar harga tebusannya. 53Hendaklah dia tinggal dengan orang itu seperti pekerja upahan dari setahun ke setahun, dan hendaklah kamu memastikan bahawa dia tidak dilayani secara terlalu keras. 54Jika dia tidak ditebus dengan mana-mana cara seperti yang tersebut, dia berserta anak-pinaknya hendaklah tetap dibebaskan pada Tahun Pembebasan. 55Bagi-Ku, orang Israel menghambakan diri lantaran merekalah para hamba-Ku yang Kubawa keluar dari Tanah Mesir. Akulah Tuhan, Allahmu."