Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Imamat 23

A A A
Alkitab Versi Borneo

Peraturan pelbagai Hari Perayaan

1Tuhan berfirman kepada Musa, 2"Beritahu orang Israel dan katakanlah kepada mereka, 'Inilah hari-hari perayaan yang Tuhan tetapkan dan hendaklah kamu isytiharkan sebagai hari ibadat berjemaah yang suci. 3AHendaklah selama enam hari umat melakukan pekerjaan mereka, tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat, hari istirahat penuh, hari perhimpunan jemaah yang suci, dan janganlah dilakukan apa-apa pekerjaan pun. Itu ialah hari Sabat untuk Tuhan yang berkuat kuasa di seluruh tempat kediaman kamu.

Perayaan Hari Paskah dan Roti Tidak Beragi

4'Inilah hari-hari perayaan yang ditetapkan Tuhan, hari ibadat berjemaah yang suci, dan hendaklah kamu isytiharkannya menurut waktu yang ditentukan. 5BPada waktu senja hari keempat belas pada bulan pertama ialah perayaan Hari Paskah untuk Tuhan. 6CPada hari kelima belas pada bulan itu juga ialah Hari Perayaan Roti Tidak Beragi untuk Tuhan. Hendaklah kamu memakan roti yang tidak beragi selama tujuh hari lamanya. 7Pada hari pertama adakanlah perhimpunan jemaah yang suci dan janganlah dilakukan sebarang pekerjaan biasa kamu. 8Selama tujuh hari hendaklah kamu membawa persembahan kepada Tuhan berupa korban bakaran dan pada hari ketujuh adakanlah pula perhimpunan jemaah yang suci. Jangan lakukan sebarang pekerjaan biasa."

Persembahan Hasil Tuaian Sulung

9Tuhan berfirman kepada Musa, 10"Beritahu orang Israel dan katakan kepada mereka, 'Setelah kamu berada di negeri yang akan Kukurniakan kepadamu, lalu kamu menuai hasil tanahnya, maka hendaklah kamu membawa berkas hasil pertama tuaian itu kepada imam. 11Hendaklah imam mengunjukkan berkas itu di hadapan Tuhan supaya Dia berkenan menerimanya demi kamu. Kemudian hendaklah imam mengunjukkannya sehari sesudah hari Sabat. 12Pada hari kamu mengunjukkan berkas itu, hendaklah kamu mempersembahkan kepada Tuhan seekor anak domba berumur setahun yang tidak bercacat cela sebagai korban bakaran. 13Selain itu, hendaklah kamu juga persembahkan kepada Tuhan bahan makanan daripada dua persepuluh efai tepung terbaik dicampurkan dengan minyak zaitun, yang keharumannya meredakan, serta persembahan minuman daripada seperempat hinii anggur. 14Sehingga tiba hari itu, iaitu sampai kamu membawa persembahan untuk memuliakan Allahmu, janganlah makan roti, bertih bijirin, atau bijirin baru. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun di mana-mana pun tempat tinggalmu.

15DHendaklah kamu menghitung tujuh minggu genap dari hari sesudah hari Sabat itu, iaitu pada hari kamu membawa berkas persembahan unjukan. 16Sesudah tiba pada hari Sabat yang ketujuh, hitunglah lima puluh hari lagi, kemudian persembahkanlah persembahan bahan makanan yang baru untuk memuliakan Tuhan. 17Dari tempat-tempat tinggalmu bawalah dua buku roti persembahan unjukan yang dibuat daripada dua persepuluh efaiii tepung terbaik dan yang dibakar dengan ragi, sebagai roti hasil pertama untuk dipersembahkan kepada Tuhan. 18Bersama-sama roti itu, persembahkanlah tujuh ekor domba berumur setahun yang tidak bercacat cela, seekor lembu jantan muda, dan dua ekor domba jantan. Hendaklah kesemuanya menjadi korban bakaran yang dipersembahkan kepada Tuhan, bersama-sama persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya – menjadi korban yang dibakar, yang keharumannya diredai Tuhan. 19Persembahkan juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa dan dua ekor domba berumur setahun sebagai korban kedamaian. 20Hendaklah imam mengunjukkan kedua-dua ekor domba itu sebagai persembahan unjukan untuk Tuhan, bersama-sama roti hasil pertama tadi. Itulah persembahan suci yang dipersembahkan kepada Tuhan, yang menjadi bahagian imam. 21Pada hari itu juga hendaklah kamu menguar-uarkan dan mengadakan perhimpunan jemaah yang suci. Jangan lakukan sebarang pekerjaan biasa. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun di mana-mana pun tempat tinggalmu.

22EApabila kamu menuai hasil tanahmu, jangan kamu tuai habis licin ladangmu sampai ke pinggir-pinggirnya, dan jangan kamu pungut apa-apa yang tertinggal daripada penuaianmu. Tinggalkanlah semua itu untuk para fakir miskin dan pendatang. Akulah Tuhan, Allahmu.' "

Perayaan Peniupan Nafiri dan Hari Pendamaian

23Tuhan berfirman kepada Musa, 24"Beritahu orang Israel, 'Pada hari pertama dalam bulan ketujuh adakanlah hari istirahat penuh yang diperingati dengan bunyi nafiri, suatu hari perhimpunan jemaah yang suci. 25Janganlah dikerjakan sebarang pekerjaan biasa kamu dan hendaklah kamu persembahkan korban bakaran kepada Tuhan.' "

26FTuhan berfirman kepada Musa, 27"Hari kesepuluh pada bulan ketujuh itu Perayaan Hari Pendamaian maka hendaklah kamu mengadakan perhimpunan jemaah yang suci dan menahan nafsumu dengan berpantang. Persembahkanlah korban bakaran untuk Tuhan. 28Pada hari itu janganlah lakukan apa-apa pekerjaan pun, kerana itu Perayaan Hari Pendamaian, hari untuk mengadakan pendamaian demi dirimu di hadapan Tuhan, Allahmu. 29Sesungguhnya, hendaklah sesiapa sahaja yang tidak merendahkan diri dan menahan nafsunya dengan berpantang pada hari itu disingkirkan daripada kalangan bangsanya; 30dan sesiapa sahaja yang melakukan sesuatu pekerjaan pada hari itu akan Kubinasakan daripada kalangan bangsanya. 31Jangan melakukan apa-apa pekerjaan pun. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun di mana-mana jua pun tempat tinggalmu. 32Itulah hari Sabat bagimu, iaitu hari istirahat penuh, dan hendaklah kamu menahan nafsumu dengan berpantang. Hendaklah kamu merayakan hari Sabat dengan beristirahat penuh dari waktu maghrib pada hari kesembilan pada bulan itu hingga waktu maghrib pada hari esoknya."

Perayaan Pondok Daun

33GTuhan berfirman kepada Musa, 34"Beritahu orang Israel, 'Pada hari kelima belas pada bulan ketujuh ini ialah Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari untuk Tuhan. 35Pada hari pertama, adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, dan janganlah dikerjakan sebarang pekerjaan biasa kamu. 36Selama tujuh hari hendaklah kamu mempersembahkan korban bakaran untuk Tuhan. Pada hari kelapan adakan lagi perhimpunan jemaah yang suci, dan persembahkanlah korban bakaran untuk Tuhan. Itu ialah hari perhimpunan umum maka janganlah dikerjakan sebarang pekerjaan biasa kamu.

37Itulah hari-hari perayaan yang Tuhan tetapkan maka hendaklah kamu menguar-uarkan sebagai hari perhimpunan ibadat yang suci serta bawalah persembahan berupa korban bakaran untuk Tuhan, iaitu korban bakaran dan persembahan bahan makanan, korban sembelihan dan persembahan minuman menurut jumlah yang ditetapkan bagi setiap harinya. 38Hari-hari perayaan tersebut ialah di luar hari-hari Sabat Tuhan, demikian jugalah korban serta persembahan itu pun di luar segala persembahanmu, korban nazarmu, juga korban sukarelamu yang kamu persembahkan kepada Tuhan.

39Jadi, setelah kamu mengumpulkan hasil tanahmu, mulai hari kelima belas pada bulan ketujuh itu, hendaklah kamu mengadakan perayaan selama tujuh hari untuk Tuhan. Hari pertama dan hari kelapan ialah hari istirahat penuh. 40Pada hari pertama ambillah buah-buah daripada pokok yang baik-baik, pelepah-pelepah pokok kurma, cabang-cabang pokok yang rendang, dan pokok gandarusa di tepi sungai, kemudian bersuka rialah di hadapan Tuhan, Allahmu selama tujuh hari. 41Hendaklah kamu merayakannya sebagai hari perayaan selama tujuh hari dalam setahun untuk Tuhan. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun. Rayakanlah pada bulan ketujuh. 42Hendaklah kamu tinggal selama tujuh hari di dalam pondok-pondok sementara. Hendaklah semua warga asli Israel tinggal di dalam pondok-pondok sementara, 43supaya keturunanmu tahu bahawa Aku telah membuat orang Israel tinggal dalam pondok-pondok sementara ketika Aku membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Akulah Tuhan, Allahmu.' "

44Maka Musa pun mengumumkan kepada orang Israel hari-hari perayaan yang Tuhan tetapkan itu.