Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Imamat 19

A A A
Alkitab Versi Borneo

Peraturan-peraturan keagamaan

1Tuhan berfirman kepada Musa, 2A"Katakanlah kepada seluruh jemaah Israel, 'Hendaklah kamu suci, kerana Aku, Tuhan, Allahmu, suci. 3CHendaklah setiap orang daripada kamu penuh takzim kepada ibu dan ayahnya serta memelihara hari Sabat-Ku. Akulah Tuhan, Allahmu.

4EJanganlah berpaling lalu menyembah apa-apa berhala dan janganlah kamu buat apa-apa tuhan tuangan. Akulah Tuhan, Allahmu.

5Apabila kamu mempersembahkan korban kedamaian kepada Tuhan, hendaklah kamu mempersembahkannya secara yang persembahan itu diterima demi dirimu. 6Hendaklah korban itu dimakan pada hari kamu mempersembahkannya atau pada keesokan harinya; tetapi hendaklah dibakar habis segala yang tersisa sampai hari ketiga. 7Jika ada yang dimakan juga pada hari ketiga, maka kejilah korban itu dan tidaklah korban itu akan diterima. 8Apatah lagi, hendaklah sesiapa yang memakannya menanggung kesalahannya mencemari persembahan suci untuk Tuhan. Hendaklah orang itu disingkirkan daripada kalangan bangsanya.

9FApabila kamu menuai hasil tanahmu, hendaklah kamu menuai ladangmu tidak habis sampai ke pinggir-pinggirnya, dan jangan kamu pungut saki-baki tuaianmu. 10Demikian jugalah, jangan kamu petik kebun anggurmu sampai habis licin dan janganlah kamu pungut buah-buah yang berguguran di kebun anggurmu. Hendaklah kamu tinggalkan semua itu untuk para fakir miskin serta pendatang. Akulah Tuhan, Allahmu.

11HJangan mencuri, menipu atau berbohong antara satu sama lain.

12IJangan bersumpah palsu atas nama-Ku agar jangan sampai kamu mencemarkan nama Allahmu. Akulah Tuhan.

13JJangan menindas atau merompak jiranmu; dan secara khususnya, jangan kamu tahan pembayaran upah seseorang semalaman sampai pagi harinya. 14KJangan kamu mengutuk orang yang pekak dan jangan kamu letakkan batu sandungan di laluan orang buta. Takutlah kepada Allahmu. Akulah Tuhan.

15LJangan berlaku tidak adil dalam pengadilan, usah bersikap berat kepada orang miskin dan usah lebih menghormati kalangan yang besar dan berkuasa, melainkan mengadili sesama manusia secara benar. 16Jangan ke sana ke mari menyebar fitnah dalam kalangan umat sebangsamu, namun begitu jangan berdiam diri sahaja tatkala nyawa jiranmu terancam. Akulah Tuhan.

17MJangan kamu membenci saudaramu dalam hatimu tetapi berikan teguran sesamamu secara berterus terang agar kamu tidak terbawa dosa kerana dia. 18NJangan membalas dendam ataupun berdendam kepada sesiapa antara umat sebangsamu, tetapi sebaliknya, kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri. Akulah Tuhan.

19OBerpegang teguhlah pada segala peraturan-Ku. Jangan membiak baka kacukan daripada dua jenis haiwan ternakanmu. Jangan semai dua jenis benih bijirin di ladangmu. Jangan kenakan pada tubuhmu pakaian yang ditenun daripada dua jenis benang.

20Seandainya seorang lelaki meniduri seorang hamba perempuan yang telah dijanjikan untuk menjadi gundik seseorang tetapi belum pernah ditebus dan dimerdekakan, maka perlu diadakan penyiasatan. Namun begitu, janganlah mereka dihukum mati, kerana perempuan itu belum dimerdekakan. 21Sebagai pemampasan, hendaklah lelaki itu membawa seekor domba jantan sebagai korban penebus kesalahannya ke pintu Khemah Pertemuan untuk dipersembahkan kepada Tuhan. 22Hendaklah imam mengadakan pendamaian dengan domba jantan korban penebus kesalahan bagi orang itu di hadapan Tuhan kerana dosanya, dan orang itu akan diampuni.

23Apabila kamu meneroka negeri itu lalu kamu menanam segala jenis pohon buah-buahan, maka hendaklah selama tiga tahun buahnya kamu pandang sebagai buah terlarang. Jangan kamu memakannya. 24Pada tahun keempat kesemua buahnya hendaklah suci dan menjadi sebagai suatu persembahan puji-pujian kepada Tuhan. 25Pada tahun kelima barulah kamu boleh memakan buahnya. Dengan demikian pohon-pohon itu akan memberikan hasil kepadamu. Akulah Tuhan, Allahmu.

26QJangan memakan sesuatu dengan darahnya. Jangan bernujum dan jangan lakukan peramalan nasib. 27RJangan kamu cukur licin rambut di pelipismu dan jangan rosakkan tepi janggutmu. 28Jangan buat torehan pada daging tubuhmu demi orang yang mati dan jangan cacah kulitmu. Akulah Tuhan.

29SJangan cemarkan anak perempuanmu dengan menjadikannya pelacur agar bumi itu tidak terjerumus dalam kancah persundalan lalu dipenuhi oleh keaiban. 30TPeliharalah hari-hari Sabat-Ku dan hormatilah tempat suci-Ku. Akulah Tuhan.

31UJangan menggunakan khidmat pemanggil arwah dan para ahli sihir. Jangan mencari mereka sehingga kamu tercemar kerana mereka. Akulah Tuhan, Allahmu.

32Bangkitlah berdiri di hadapan orang yang sudah beruban, hormatilah orang yang sudah tua, dan takutlah kepada Allahmu. Akulah Tuhan.

33VJika seorang warga asing tinggal dalam kalangan kamu di negerimu, jangan kamu tindas dia. 34Sebaliknya, hendaklah kamu menganggap pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu itu sebagai warga asal sepertimu. Kasihilah dia seperti dirimu sendiri, kerana kamu pun dahulu pendatang di Tanah Mesir. Akulah Tuhan, Allahmu.

35WJangan berlaku curang dalam hal ukuran, dalam hal timbangan, dan dalam hal sukatan. 36Gunakanlah neraca yang betul, batu timbangan yang betul, efa"class="footnote footnote-btn-hover">i yang betul, dan hinii yang betul. Akulah Tuhan, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir. 37Berpegang teguhlah pada segala ketetapan-Ku dan segala peraturan-Ku, dan lakukanlah semua itu. Akulah Tuhan.' "