Alkitab Versi Borneo |
Hubungan jenis yang terlarang 1Tuhan berfirman kepada Musa, 2"Katakanlah kepada orang Israel, 'Akulah Tuhan, Allahmu. 3Janganlah kamu lakukan kegiatan seperti yang terdapat di Tanah Mesir, di mana kamu menghuni dahulu; dan janganlah kamu lakukan kegiatan seperti yang terdapat di Tanah Kanaan, ke mana Aku membawa kamu. Dan jangan kamu jalani kehidupanmu menurut segala hukum dan peraturan mereka. 4Kamu dimestikan mematuhi segala hukum dan peraturan-Ku dan kehidupan kamu mestilah berpegang teguh pada kesemua ketetapan itu. Akulah Tuhan, Allahmu. 5ATaatilah segala ketetapan-Ku dan peraturan-Ku, kerana jika seseorang melakukannya dia akan hidup mengikutnya. Akulah Tuhan. 6Janganlah seorang pun antara kamu menghampiri sesiapa yang menjadi kerabat dekatnya untuk menidurinya. Akulah Tuhan. 7Janganlah meniduri ayahmu dan janganlah meniduri ibumu. Dia ibumu, jangan engkau menidurinya. 8BJangan meniduri isteri ayahmu, kerana hal itu mengaibkan ayahmu. 9CJangan meniduri saudara perempuanmu, anak ayahmu atau anak ibumu, baik yang lahir serumah mahupun yang lahir di luar. Jangan menidurinya. 10Jangan meniduri cucu perempuan, baik daripada anak lelakimu atau anak perempuanmu, kerana hal itu mengaibkan dirimu sendiri. 11Jangan meniduri adik tiri perempuan daripada isteri ayahmu yang melahirkannya baginya, kerana dia saudara perempuanmu, jangan engkau menidurinya. 12DJangan meniduri saudara perempuan ayahmu; dia kerabat terdekat ayahmu. 13Jangan meniduri saudara perempuan ibumu; dia kerabat terdekat ibumu. 14Jangan aibkan saudara lelaki ayahmu dengan meniduri isterinya; dia ibu saudaramu. 15EJangan meniduri menantu perempuanmu kerana dia isteri anakmu. Jangan menidurinya. 16FJangan meniduri isteri saudara lelakimu, kerana hal itu mengaibkan saudaramu. 17GJangan meniduri seorang perempuan dan juga dengan anak perempuannya. Juga, jangan meniduri cucu perempuannya, baik daripada anak lelakinya mahupun daripada anak perempuannya, kerana mereka kerabat dekatnya dan hal itu mengaibkan. 18Jangan mengahwini saudara perempuan isterimu dan menyetubuhinya selama isterimu itu masih hidup. 19HJangan hampiri seorang perempuan untuk menidurinya pada waktu dia najis kerana sedang haid. 20IJangan meniduri isteri sesama jiranmu lantas engkau menajiskan dirimu dengannya. 21JJangan serahkan seorang daripada keturunanmu untuk dipersembahkan kepada Molokh, dan jangan cemarkan nama Allahmu. Akulah Tuhan. 22KJangan meniduri lelaki seperti meniduri perempuan; itu hal yang keji. 23LJangan meniduri binatang jenis apa-apa pun sehingga kamu menajiskan dirimu dengan binatang itu. Seorang perempuan tidak boleh mengambil tempat di depan seekor binatang untuk melakukan hubungan jenis dengan haiwan itu kerana perbuatan itu keji. 24Jangan najiskan dirimu dengan semua itu, kerana bangsa-bangsa yang akan Kuusir dari hadapanmu telah menajiskan diri mereka dengan semua hal itu. 25Bumi itu juga menjadi najis lalu Aku menghukum dosanya sehingga negeri itu memuntahkan penduduknya. 26Akan tetapi, kamu, baik warga asli mahupun pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu, mesti berpegang teguh pada segala ketetapan-Ku dan peraturan-Ku. Jangan lakukan satu pun daripada segala hal keji itu, 27kerana penduduk negeri ini sebelum kamu telah melakukan segala hal keji itu sehingga bumi itu menjadi najis. 28Jika kamu menajiskannya, maka negeri itu akan memuntahkan kamu, sebagaimana bangsa yang tinggal sebelum kamu dimuntahkannya. 29Sesiapa pun yang melakukan satu sahaja daripada segala hal keji itu hendaklah disingkirkan daripada kalangan bangsanya. 30Maka peganglah dengan teguh segala kewajipanmu terhadap Aku dan jangan lakukan satu pun daripada segala perbuatan keji yang dilakukan oleh warga sebelum kamu. Jangan najiskan dirimu dengan semua itu. Akulah Tuhan, Allahmu.' "