Alkitab Versi Borneo |
Haiwan yang haram dan yang tidak haram 1Tuhan berfirman kepada Musa dan Harun, 2"Beritahu kepada orang Israel begini, 'Inilah haiwan-haiwan hidup yang boleh kamu makan daripada antara segala jenis yang ada di atas bumi: 3Kamu boleh makan semua haiwan yang terbelah kuku kakinya serta yang mengunyah bahan mamahan. 4Akan tetapi kamu tidak boleh makan antara haiwan yang hanya mengunyah bahan mamahan atau yang hanya terbelah kuku kakinya. Jenis-jenis haiwan yang berikut tidak boleh kamu makan: Unta, haiwan yang mengunyah bahan mamahan tetapi tidak terbelah kuku kakinya adalah haram bagimu. 5Landak, haiwan yang mengunyah bahan mamahan walaupun kuku kakinya tidak terbelah adalah haram bagimu. 6Arnab, haiwan yang juga mengunyah bahan mamahan walaupun kuku kakinya tidak terbelah adalah haram bagimu. 7Babi, yang kuku kakinya terbelah walaupun babi tidak mengunyah bahan mamahan adalah haram bagimu. 8Maka janganlah kamu makan daging haiwan-haiwan itu dan jangan kamu sentuh bangkainya, kerana semua itu haram bagimu. Makhluk air yang haram dan yang tidak haram 9Daripada segala makhluk yang hidup di dalam air, inilah yang boleh kamu makan: Kamu boleh makan segala yang bersirip dan bersisik, baik di laut mahupun di sungai. 10Akan tetapi, daripada semua makhluk yang hidup serta berkerumun di air, segala yang tidak bersirip dan tidak bersisik, baik di laut mahupun di sungai, adalah jijik bagimu. 11Kesemuanya jijik bagimu. Maka janganlah kamu makan dagingnya, malah bangkainya juga hendaklah kamu anggap jijik. 12Hendaklah kamu memandang jijik terhadap segala haiwan di dalam air yang tidak bersirip dan tidak bersisik. Burung haram dan tidak haram 13Daripada burung-burung, jenis-jenis yang berikut perlu kamu anggap jijik. Janganlah dimakan kerana kesemuanya perkara yang menjijikkan: burung rajawali, burung hering berjanggut, burung hering hitam, 14burung lang dan pelbagai jenis burung reng, 15segala jenis burung gagak, 16burung unta, jampuk, camar, pelbagai jenis burung helang, 17burung pungguk, burung dendang air, burung hantu, 18burung hantu putih, burung undan, burung lang hitam, 19burung ranggung, jenis-jenis burung bangau, burung hudhud, dan kelawar. 20Semua makhluk jenis berkerumun yang bersayap serta berjalan dengan keempat-empat kakinya ialah makhluk yang jijik bagimu. 21Akan tetapi, daripada segala makhluk jenis berkerumun yang bersayap serta berjalan dengan keempat-empat kakinya itu kamu boleh memakan jenis yang mempunyai kakinya bersendi penyambung untuk melompat di atas tanah. 22Khususnya, inilah yang boleh kamu makan daripada semua itu: pelbagai jenis belalang besar, pelbagai jenis belalang daun, pelbagai jenis belalang kunyit, dan pelbagai jenis belalang padi. 23Selain itu, makhluk jenis berkerumun yang bersayap serta berjalan dengan keempat-empat kakinya adalah menjijikkan bagimu. Kenajisan bangkai 24Haiwan-haiwan yang berikut boleh membuat kamu ternajis: sesiapa yang menyentuh bangkainya akan menjadi najis sampai waktu maghrib, 25dan hendaklah sesiapa yang membawa mana-mana bahagian daripada bangkainya mencuci pakaiannya, lalu dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 26Haram juga bagimu segala haiwan yang terbelah kukunya namun kukunya tidak terpisah sepenuhnya dan juga haiwan yang tidak mengunyah bahan mamahan, maka sesiapa yang menyentuhnya menjadi najis. 27Antara segala haiwan yang berjalan dengan keempat-empat kakinya, haram bagimu jenis yang berjalan di atas telapak kakinya. Sesiapa pun yang menyentuh bangkainya menjadi najis sampai waktu maghrib 28dan hendaklah sesiapa yang membawa bangkainya mencuci pakaiannya dan menjadi najis sampai waktu maghrib. Kesemua itu haram bagimu. 29Antara makhluk kecil yang berkerumun di atas tanah, inilah yang haram bagimu: tikus mondok, tikus, pelbagai jenis cicak, 30biawak, cengkarung, cicak pasir, dan sumpah-sumpah. 31Itulah makhluk merangkak yang haram bagimu. Oleh itu, sesiapa yang menyentuh haiwan itu yang telah mati menjadi najis sampai waktu maghrib. 32Jika mana-mana antara haiwan itu mati lalu jatuh menimpa sesuatu barang, maka barang itu menjadi najis, baik itu perkakas kayu, pakaian, kulit, mahupun karung, apa-apa perkakas yang digunakan untuk pekerjaan apa-apa pun. Hendaklah barang itu dimasukkan ke dalam air dan barang itu menjadi najis sampai waktu maghrib. Sesudah itu barulah barang itu menjadi suci. 33Jika satu daripada haiwan-haiwan itu jatuh ke dalam sebuah belanga tanah, maka segala isinya menjadi najis, dan hendaklah dipecahkan belanga itu. 34Segala makanan yang dapat dimakan akan menjadi najis kalau terkena air daripada belanga itu, dan segala minuman yang dapat diminum pun akan menjadi najis kalau minuman itu ada di dalam belanga seperti itu. 35Jika mana-mana bahagian daripada bangkai haiwan itu jatuh menimpa sesuatu barang, maka barang itu menjadi najis dan hendaklah dipecahkan sekalipun barang yang terkena najis itu ketuhar ataupun dapur. Semua itu menjadi najis dan hendaklah kamu anggap sebagai najis. 36Apa-apa pun yang menyentuh bangkai haiwan-haiwan itu menjadi najis. Akan tetapi, mata air atau perigi penampung air yang tersentuh tetap suci. 37Jika sebahagian daripada bangkai haiwan itu jatuh mengenai sesuatu benih yang akan disemai, benih itu tetap dianggap suci. 38Tetapi jika benih itu telah diairi, lalu sebahagian daripada bangkai haiwan itu jatuh menimpanya, maka benih itu menjadi najis bagimu. 39Jika seekor haiwan yang halal bagimu mati, maka sesiapa yang menyentuh bangkainya menjadi najis sampai waktu maghrib. 40Hendaklah sesiapa yang memakan daging daripada bangkai haiwan atau membawa bangkai itu mencuci pakaiannya, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 41Mana-mana haiwan yang berkerumun di atas tanah harus kamu pandang sebagai sesuatu yang menjijikkan dan janganlah dimakan. 42Janganlah kamu memakan sebarang jenis makhluk yang merayap di atas perutnya, yang merangkak dengan keempat-empat kakinya, atau yang banyak kakinya, iaitu kesemua haiwan yang berkerumun di atas tanah kerana kesemuanya menjijikkan. 43Jangan jadikan dirimu menjijikkan kerana segala haiwan yang berkerumun itu, dan jangan najiskan dirimu sendiri dengan kesemua haiwan itu. 44AAkulah Tuhan, Allahmu. Oleh itu, sucikanlah dirimu dan jadilah suci kerana Aku ini suci. Jangan najiskan dirimu dengan segala haiwan yang berkerumun yang merayap di atas bumi. 45Akulah Tuhan yang telah memimpin kamu keluar dari Tanah Mesir supaya Aku menjadi Allahmu. Jadilah suci kerana Aku ini suci. 46Inilah hukum tentang haiwan, burung-burung dan setiap makhluk hidup yang bergerak di dalam air, dan setiap makhluk yang berkerumun dan merayap di atas bumi. 47Hendaklah kamu dapat membezakan antara yang najis dengan yang suci, dan antara makhluk hidup yang boleh dimakan dan makhluk hidup yang tidak boleh dimakan.