Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ratapan 5

A A A
Alkitab Versi Borneo

Doa memohon pemulihan

1Ingatlah, ya Tuhan, apa yang terjadi atas kami,

pandanglah dan lihatlah keaiban kami.

2Harta pusaka kami beralih kepada orang asing,

dan rumah kami kepada orang luar.

3Kami menjadi anak yatim, tidak berayah,

para ibu kami seperti balu.

4Air yang kami minum perlu dibayar,

kayu api juga harus dibeli.

5Kalangan yang mengejar kami sudah begitu dekat;

kami penat, kami tidak mendapat istirahat.

6Kami menyerah kepada orang Mesir

dan kepada orang Asyur demi mendapatkan cukup makanan.

7Nenek moyang kami berdosa dan mereka kini tiada lagi,

namun kamilah yang menanggung kesalahan mereka.

8Kalangan hamba yang memerintah kami,

tiada seorang pun yang melepaskan kami daripada tangan mereka.

9Makanan kami dapatkan dengan nyawa sebagai taruhan,

kerana ancaman pedang di gurun.

10Kulit kami sepanas ketuhar,

begitu dahsyatnya penangan kebuluran.

11Mereka memperkosa perempuan di Sion,

dan perawan di kota-kota Yehuda.

12Para penguasa digantung oleh tangan mereka,

para tua-tua tidak dihormati.

13Para pemuda terpaksa memikul batu kilangan,

dan anak-anak terhuyung-hayang dibebani kayu pikulan.

14Para tua-tua tidak ada lagi di pintu gerbang kota,

para pemuda berhenti bermain muzik.

15Lenyaplah kegirangan hati kami,

tarian kami berubah menjadi perkabungan.

16Terjatuh kini mahkota di kepala kami.

Malangnya kami kerana kami telah berdosa!

17Kerana hal inilah hati kami terlara-lara,

kerana hal-hal inilah mata kami menjadi kabur:

18kerana kesepian Gunung Sion,

hanya serigala berkeliaran di situ.

19Engkau, ya Tuhan, bertakhta selama-lamanya!

Arasy-Mu tetap dari zaman ke zaman.

20Mengapa Engkau terus melupakan kami,

meninggalkan kami sekian lama?

21Pulihkanlah kami kepada-Mu, ya Tuhan, maka kami akan dipulihkan!

Baharuilah hari-hari kami seperti zaman dahulu,

22kecuali Engkau telah menolak kami sama sekali,

dan amat murka terhadap kami.