Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ratapan 4

A A A
Alkitab Versi Borneo

Bertaburan batu-batu suci

1Betapa pudar sudah emas itu,

betapa berubah emas murni itu!

Batu-batu suci itu bertaburan di hujung setiap jalan.

2Anak-anak Sion yang berharga,

yang senilai dengan emas murni,

betapa mereka dianggap bak periuk tanah buatan tangan tukang tembikar!

3Serigala pun memberikan teteknya

untuk menyusui anak-anaknya,

tetapi para puteri bangsaku menjadi kejam seperti burung unta di gurun.

4Lidah anak yang menyusu melekat

pada langit-langit mulutnya kerana dahaga.

Kanak-kanak meminta roti,

namun tiada sesiapa yang menyua secebis pun.

5Kalangan yang dahulunya makan juadah nikmat

kini pengsan di jalan-jalan.

Kalangan yang dahulunya dibaluti pakaian mahal

kini memeluk timbunan sampah.

6AHukuman atas kesalahan puteri bangsaku

lebih berat daripada hukuman ke atas dosa Sodom,

yang dimusnahkan dalam sekejap sahaja tanpa campur tangan manusia.

7Para penguasanya dahulu lebih bersih daripada salji,

dan lebih putih daripada air susu.

Tubuh mereka lebih kemerahan daripada batu delima,

susuk mereka seperti batu nilam.

8Kini rupa mereka lebih hitam daripada jelaga,

sehingga tidak dikenali di jalan-jalan.

Kulit kerepot mereka melekat pada tulang,

sudah kering seperti kulit kayu.

9Lebih baik keadaan para korban bahana pedang daripada kalangan yang mati kelaparan,

merana, kurus kering lalu mati beragan perlahan-lahan akibat kekurangan hasil ladang.

10BTangan kaum wanita yang penyayang merebus anak-anak sendiri

untuk menjadi makanan mereka pada masa kehancuran puteri bangsaku.

11Tuhan melampiaskan sepenuh kemurkaan-Nya

dan mencurahkan amarah-Nya yang menyala-nyala.

Dia menyalakan api di Sion,

yang melahap segala asas kota itu.

12Raja-raja di bumi tidak percaya,

begitu jugalah seluruh penduduk dunia,

bahawa lawan dan musuh dapat memasuki pintu-pintu gerbang Yerusalem.

13Hal itu terjadi kerana dosa para nabinya

dan kesalahan para imamnya,

yang menumpahkan darah orang yang benar di tengah-tengah kota itu.

14Mereka mengembara di jalan-jalan seperti orang buta.

Begitu tercemarnya mereka oleh darah hinggakan tiada sesiapa berani menyentuh pakaian mereka.

15Orang berseru kepada mereka, "Nyahlah! Najis!

Nyahlah! Nyahlah! Usah sentuh!"

Mengembaralah mereka yang sudah menjadi pelarian lalu berkatalah umat bangsa-bangsa,

"Mereka tidak boleh lagi tinggal di sini dalam kalangan kami!"

16Tuhan sendiri menyelerakkan mereka,

Dia tidak mahu lagi memandang mereka.

Para imam tidak lagi dihormati,

para tua-tua tidak lagi diberi keutamaan.

17Mata kami juga sayu akibat kegagalan

menantikan pertolongan, usaha yang sia-sia itu.

Di menara pengintaian kami menantikan

bangsa yang tidak dapat menyelamatkan kami.

18Musuh kami gigih mengintai setiap langkah kami

sehingga tidak dapat kami berjalan di tempat-tempat umum kami.

Sudah dekat ajal kami, sudah lanjut umur kami,

ya, sudah tiba ajal kami.

19Lebih cepat kalangan yang mengejar kami berbanding burung rajawali di udara.

Mereka memburu kami di pergunungan,

dan menyerang hendap kami di gurun.

20Orang yang diurapi Tuhan, nafas hidup kami tertangkap dalam lubang jebak mereka,

padahal tadinya kami berfikir,

"Di bawah naungannya kami akan hidup dalam kalangan bangsa."

21Bergiranglah dan bergembiralah, wahai puteri Edom,

kamu kalangan penghuni Tanah Us!

Cawan itu akan dialihkan kepadamu pula,

engkau akan mabuk dan menelanjangi dirimu.

22Sudah selesai hukumanmu, wahai puteri Sion,

Dia tidak akan lagi membawa engkau ke dalam pembuangan.

Sebaliknya, Dia akan membalas kesalahanmu, wahai puteri Edom

dan mendedahkan segala dosamu!