Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ratapan 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Hukuman Tuhan atas Sion

1Betapa Tuhan menudungi puteri Sion

dengan awan dalam kemurkaan-Nya!

Dia mencampakkan kemuliaan Israel dari langit ke bumi.

Pada waktu Dia murka,

tempat alas kaki-Nyai tidak lagi diingat-Nya.

2Tuhan membinasakan semua tempat kediaman Yakub tanpa belas kasihan.

Dalam kemurkaan-Nya, Dia meruntuhkan kubu-kubu puteri Yehuda.

Kerajaan berserta para penguasanya diruntuhkan ke tanah dan diaibkan-Nya.

3Dengan kemurkaan yang menyala-nyala Dia mematahkan segala kekuatan Israel.

Dia menarik kembali tangan kanan-Nya di hadapan musuh.

Dia membakar Yakub seperti api yang menyala-nyala,

yang melahap sekelilingnya.

4Dia melenturkan busur-Nya seperti seorang musuh,

menyiapkan tangan kanan-Nya seperti seorang lawan.

Dia melenyapkan semua orang yang menyenangkan hati kita di dalam khemah puteri Sion dan mencurahkan kemurkaan-Nya seperti api.

5Tuhan menjadi seperti seorang musuh;

Dia memusnahkan Israel.

Dia membinasakan semua istananya,

dan meruntuhkan kubu-kubunya.

Ratapan dan keluhan puteri Yehuda dilipatgandakan-Nya.

6Dia meranapkan tempat Khemah Suci-Nya seperti taman,

dan memusnahkan tempat pertemuan-Nya.

Tuhan membuat hari perayaan dan hari Sabat dilupakan di Sion.

Dengan amarah dan kemurkaan-Nya

Dia menista dan menolak raja dan imam.

7Tuhan telah membuang mazbah-Nya,

dan membenci tempat suci-Nya.

Tembok puri-purinya diserahkan-Nya ke dalam tangan musuh.

Mereka membuat hingar-bingar di dalam Bait Tuhan,

seperti pada hari perayaan.

8Tuhan bertekad untuk memusnahkan tembok puteri Sion.

Dia merentangkan tali pengukur,

dan tidak menahan tangan-Nya untuk membinasakan.

Dia membuat benteng dan tembok berkabung dan merana bersama-sama.

9Pintu-pintu gerbangnya terbenam di dalam bumi,

dirobohkan-Nya juga palang-palang pintunya.

Raja berserta para penguasanya terbuang antara bangsa-bangsa.

Hukum Taurat tidak diajarkan lagi,

bahkan para nabinya tidak lagi menerima wahyu daripada Tuhan.

10Para tua-tua puteri Sion duduk membisu di tanah.

Mereka menghamburkan debu ke atas kepala

dan memakai kain perkabungan.

Anak-anak dara Yerusalem menundukkan kepala ke tanah.

11Mataku haus oleh cucuran air mata,

perutku seperti dipulas-pulas.

Hatiku tertuang ke bumi

kerana kehancuran para puteri bangsaku,

kerana kanak-kanak dan bayi-bayi yang menyusu,

pengsan di tempat-tempat umum kota.

12Mereka bertanya kepada ibu masing-masing,

"Di manakah gandum dan air anggur?"

sebelum mereka pengsan seperti orang yang terluka

di tempat-tempat umum kota;

sebelum jiwa mereka melayang di pangkuan ibu mereka.

13Apakah yang dapat kukatakan kepadamu?

Dengan apakah dapat kubandingkan engkau,

wahai puteri Yerusalem?

Dengan apakah aku dapat menyamakan engkau sehingga aku dapat menenangkan hatimu,

wahai perawan, puteri Sion?

Kehancuranmu seluas lautan.

Siapakah yang dapat menyembuhkan engkau?

14Sia-sia dan hampa belaka segala penglihatan yang didapati oleh para nabimu.

Mereka tidak menyerlahkan kesalahanmu

demi memulihkan keadaanmu,

tetapi mereka menyatakan kepadamu pernyataan yang sia-sia dan menyesatkan.

15Semua orang yang lalu-lalang di jalan bertepuk tangan terhadap kamu.

Mereka mencemuh dan menggeleng-gelengkan kepala melihat puteri Yerusalem, kata mereka,

"Inikah kota yang disebut cantik sempurna,

kesukaan seluruh bumi?"

16Semua musuhmu mengangakan mulut terhadap engkau.

Mereka mencemuh dan menggertakkan gigi, sambil berteriak,

"Kita telah membinasakannya!

Ya, inilah hari yang kita nanti-nantikan.

Kita mengalaminya; kita menyaksikannya!"

17Tuhan telah melakukan apa yang dirancangkan-Nya.

Dia melaksanakan firman yang ditetapkan-Nya sejak zaman dahulu.

Tanpa belas kasihan Dia menjatuhkan kamu,

Dia membuat musuh bergembira atasmu,

dan mengangkat tinggi tanduk seteru-seterumu.

18Hati mereka berseru-seru kepada Tuhan.

Wahai tembok puteri Sion,

biarlah air matamu mengalir seperti sungai siang dan malam!

Jangan biarkan dirimu beristirahat,

jangan biarkan bola matamu tenang!

19Bangunlah, berteriaklah pada malam hari,

pada permulaan waktu berjaga malam!

Curahkanlah isi hatimu seperti air di hadirat Tuhan.

Angkatlah tanganmu kepada-Nya demi nyawa anak-anakmu yang pengsan kerana kelaparan di pangkal setiap lorong!

20Lihatlah, ya Tuhan, dan pandanglah!

Terhadap siapakah Engkau pernah berlaku demikian?

Haruskah kaum perempuan memakan anak kandung mereka,

iaitu bayi-bayi yang dilahirkan sihat sempurna?

Haruskah imam dan nabi dibunuh di tempat suci Tuhan?

21Orang muda dan orang tua

terkapar di jalan berdebu.

Para perawanku dan para pemudaku tertewas oleh pedang.

Engkau mencabut nyawa mereka pada waktu Engkau murka,

Engkau membinasakan mereka tanpa belas ihsan.

22Seolah-olah pada hari raya

Engkau menghadapkan aku kepada kegentaran dari semua arah.

Pada waktu Tuhan murka,

tiada seorang pun yang terselamat atau tertinggal.

Mereka yang kuasuh dan kubesarkan

dikorbankan oleh musuhku.