Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kisah Para Rasul 16

A A A
Alkitab Versi Borneo

Paulus dan Silas di penjara

16Di tempat orang berdoa itu juga ada seorang hamba perempuan yang dirasuk roh penilik; dia membawa keuntungan yang besar kepada tuan-tuannya dengan tilikannya itu. 17Hamba perempuan itu mengikut Paulus dan kami sambil berseru-seru, "Orang ini hamba Allah Yang Maha Tinggi; mereka memberitahu kamu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!" 18Demikianlah dilakukannya selama beberapa hari. Akhirnya Paulus gusar dan berpaling sambil berkata kepada roh itu, "Dengan nama Yesus Kristus aku perintahkan kamu keluar daripadanya!" Roh itu pun keluar serta-merta. 19Apabila majikan-majikan perempuan itu menyedari bahawa harapan mereka mendapat sumber keuntungan telah dihapuskan, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret mereka ke hadapan pihak berkuasa di medan kota. 20Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Roma dan berkata, "Mereka berdua ini membuat kacau di kota kita. Mereka orang Yahudi 21dan mereka menyebarkan ajaran yang tidak patut kita terima atau ikut kerana kita ini orang Romawi." 22Orang ramai pun bangkit menentang Paulus dan Silas.

Pegawai-pegawai melucutkan pakaian kedua-duanya dan mengarahkan supaya mereka disebat. 23Setelah disebat beberapa kali, kedua-duanya dimasukkan ke dalam penjara; ketua penjara itu diberi arahan mengawal mereka dengan ketat. 24Oleh itu, ketua penjara memasukkan Paulus dan Silas ke bahagian penjara yang di dalam sekali serta membelenggu kaki mereka pada pasung.

25Namun demikian, pada waktu tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan memuji Allah. Sekalian yang terpenjara itu mendengar doa dan pujian mereka. 26Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang besar, sehingga bergoncang asas penjara itu. Serta-merta semua pintu penjara terbuka dan belenggu semua orang yang terpenjara itu terlucut. 27Apabila ketua penjara terjaga daripada tidur dan melihat semua pintu penjara itu terbuka, dia menghunus pedang hendak membunuh diri, kerana sangkanya semua orang yang terpenjara telah lepas lari. 28Akan tetapi Paulus berseru dengan lantang, "Jangan apa-apakan dirimu, kami semua ada di sini."

29Ketua penjara meminta pelita lalu berlari masuk serta sujud dengan gementar di hadapan Paulus dan Silas. 30Kemudian dia membawa mereka keluar lalu berkata, "Tuan-tuan, apakah yang patut aku lakukan supaya diselamatkan?"

31Mereka menjawab, "Percayalah kepada Tuhan Yesus, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu." 32Mereka pun menyampaikan firman Tuhan kepadanya dan seisi rumahnya. 33Pada malam itu juga ketua penjara membasuhkan luka-luka Paulus dan Silas. Dia dan seisi rumahnya dibaptiskan. 34Selepas itu, dia membawa Paulus dan Silas naik ke rumahnya serta menghidangkan makanan untuk mereka dengan amat sukacita kerana dia sekeluarga telah percaya kepada Allah.

35Setelah hari siang, pegawai-pegawai kerajaan menghantar anggota penguasa untuk menyampaikan perintah membebaskan Paulus dan Silas.

36Ketua penjara memberitahu Paulus tentang perintah itu, "Pegawai-pegawai menyuruh tuan-tuan dibebaskan. Oleh itu, keluarlah dan pergilah dengan sejahtera."

37Akan tetapi Paulus berkata, "Mereka telah menyebat kami di hadapan orang ramai tanpa menyiasat, sungguhpun kami orang Romawi. Mereka telah memasukkan kami ke dalam penjara. Sekarang mereka hendak membebaskan kami senyap-senyap? Tidak boleh begitu! Hendaklah mereka sendiri datang membawa kami keluar."

38Kata-kata Paulus itu disampaikan oleh anggota penguasa kepada pegawai-pegawai itu. Apabila mendengar bahawa Paulus dan Silas orang Romawi, pegawai-pegawai itu pun takut 39lalu datang memujuk mereka, membawa mereka keluar dan meminta mereka meninggalkan kota itu. 40Paulus dan Silas keluar dari penjara lalu pergi ke rumah Lidia. Setelah bertemu dengan murid-murid Yesus di situ dan menetapkan hati mereka, Paulus dan Silas pun meneruskan perjalanan.