Alkitab Versi Borneo |
Orang Israel di Gunung Sinai 1Pada hari pertama pada bulan ketiga setelah orang Israel keluar dari Tanah Mesir, sampailah mereka di Gurun Sinai. 2Setelah berangkat dari Rafidim, mereka tiba di Gurun Sinai lalu orang Israel pun berkhemah, berhadapan dengan Gunung Sinai. 3Maka naiklah Musa menghadap Allah.
Dan TUHAN berseru kepadanya dari gunung itu, lalu berfirman, "Beginilah harus kaukatakan kepada keturunan kaum Yakub dan hendaklah kamu sampaikan kepada orang Israel, 4'Kamu telah melihat apa yang Aku lakukan atas warga Mesir, dan bagaimana Aku telah mengangkat kamu seperti di atas sayap burung rajawali serta membawa kamu ke hadirat-Ku. 5ABSekarang, jika kamu sungguh-sungguh mematuhi-Ku dan taat memegang perjanjian-Ku dengan teguh, maka kamu akan menjadi harta-Ku yang istimewa antara segala bangsa, kerana seluruh bumi milik-Ku. 6CBagi-Ku kamu akan menjadi kerajaan para imam dan bangsa suci. Firman inilah yang harus kausampaikan kepada orang Israel." 7Maka kembalilah Musa dan dipanggilnya tua-tua umat itu. Lalu dia menyampaikan kepada mereka semua firman yang TUHAN perintahkan kepadanya. 8Kesemua umat itu pun menjawab bersama-sama, "Semua yang difirmankan TUHAN akan kami lakukan." Lalu Musa menyampaikan apa yang dikatakan mereka kepada TUHAN.
9Firman TUHAN kepada Musa, "Sesungguhnya, Aku akan datang kepadamu dalam awan yang tebal, supaya bangsa itu dapat mendengar apabila Aku berfirman kepadamu, dan supaya mereka akan sentiasa percaya kepadamu." Lalu Musa menyampaikan kata-kata umat itu kepada TUHAN. 10Firman TUHAN kepada Musa, "Pergilah kepada umat itu. Sucikanlah mereka pada hari ini dan esok. Mereka harus mencuci pakaian mereka 11dan bersiap-siaplah menjelang hari ketiga, kerana pada hari ketiga itu TUHAN akan hadir di atas Gunung Sinai di hadapan mata seluruh bangsa itu. 12DBinalah batas di sekeliling umat itu dan katakanlah kepada mereka, 'Berhati-hatilah supaya kamu tidak naik ke gunung dan menyentuh kaki gunung itu. Sesiapa yang menyentuh gunung itu, dia pasti akan dihukum mati. 13Tiada satu tangan pun boleh menyentuh orang itu, kerana dia pasti direjam atau dipanah sampai mati.' Baik haiwan mahupun manusia tidak akan dibiarkan hidup. Apabila sangkakala berbunyi panjang, barulah mereka boleh mendekati gunung itu." 14Maka turunlah Musa dari gunung menemui umat itu. Dia menyucikan umat itu, dan mereka pun mencuci pakaian masing-masing. 15Kata Musa kepada umat itu, "Bersiap sedialah menjelang hari ketiga. Jangan bersentuh dengan perempuan." 16EFPada pagi hari ketiga berlakulah guruh, kilat, dan awan pekat muncul di atas gunung itu serta bunyi sangkakala yang kedengaran tersangat kuat. Gementarlah seluruh umat di perkhemahan itu. 17Musa membawa bangsa itu keluar dari perkhemahan untuk menemui Allah, lalu mereka berdiri di kaki gunung itu. 18Gunung Sinai sepenuhnya tertutup oleh asap kerana TUHAN hadir di atasnya, di dalam api. Asapnya naik seperti asap daripada relau dan seluruh gunung itu bergetar dengan hebatnya. 19Semakin lama, bunyi sangkakala itu semakin kuat. Lalu berbicaralah Musa, dan Allah menjawab dia dengan suara seperti guruh. 20TUHAN hadir di atas puncak Gunung Sinai, lalu TUHAN memanggil Musa naik ke puncak gunung, maka Musa pun naik. 21Firman TUHAN kepada Musa, "Turunlah, berikan peringatan kepada umat itu supaya jangan menerobos batas untuk datang melihat kemuliaan TUHAN, kelak ramai daripada mereka yang musnah. 22Hendaklah para imam yang datang menghampiri TUHAN juga menyucikan diri supaya jangan kuasa TUHAN menyambar mereka."
23Kata Musa kepada TUHAN, "Umat itu tidak dapat naik ke Gunung Sinai kerana Engkau sendiri telah mengingatkan kami sedemikian, 'Binalah batas di sekeliling gunung ini dan sucikannya."
24Firman TUHAN kepadanya, "Pergilah, turunlah, kemudian naiklah lagi ke mari bersama dengan Harun. Tetapi para imam dan rakyat tidak boleh menerobos naik untuk mendekati hadirat TUHAN, supaya jangan kuasa-Nya menyambar mereka." 25Maka turunlah Musa mendapatkan umat itu dan menyampaikan hal itu kepada mereka.