Alkitab Versi Borneo |
Perang antara orang Israel dengan bani Benyamin
1Kemudian keluarlah semua orang Israel dari Dan sampai Bersyeba dan juga dari Tanah Gilead, lalu berhimpunlah kesemua umat yang bersatu itu menghadap TUHAN di Mizpa. 2Tampillah para ketua semua suku kaum orang Israel, memimpin jemaah umat Allah yang berjumlah seramai empat ratus ribu orang askar berjalan kaki yang menghunuskan pedang masing-masing. 3Kedengaranlah kepada bani Benyamin, bahawa orang Israel telah maju ke Mizpa. Berkatalah orang Israel, "Ceritakan bagaimana kedurjanaan itu terjadi." 4Maka bani Lewi iaitu suami perempuan yang terbunuh itu menjawab, "Aku bersama-sama gundikku sampai di Gibea kepunyaan suku Benyamin untuk bermalam di sana. 5Tetapi para warga kota Gibea itu mendatangi aku dan mengepung rumah itu pada malam hari untuk menyerang aku. Mereka berniat membunuh aku, tetapi kemudian mereka memperkosa gundikku sehingga dia mati. 6Maka kuambillah mayat gundikku lalu kupotong-potong mayatnya dan kukirimkan ke seluruh daerah harta pusaka orang Israel lantaran lelaki-lelaki itu telah melakukan kedurjanaan dan berbuat aib di Israel. 7Sekarang kamu sekalian, orang Israel, berikanlah pendapatmu dan nasihatmu di sini." 8Maka bangunlah seluruh umat di situ dengan serentak sambil berkata, "Tiada seorang pun daripada kita akan pergi ke khemahnya, dan tiada seorang pun daripada kita yang akan pulang ke rumahnya. 9Inilah yang akan kita lakukan kepada Gibea; kita akan mencabut undi dan akan memeranginya! 10Daripada seluruh suku Israel, kita akan memilih sepuluh orang daripada setiap seratus orang, seratus orang daripada setiap seribu, dan seribu orang daripada setiap sepuluh ribu, untuk membekalkan makanan bagi tentera ini, supaya sesudah mereka pergi ke Gibea-Benyamin, mereka akan melakukan yang setimpal dengan segala perbuatan durjana yang telah dilakukan mereka dalam kalangan orang Israel." 11Demikianlah orang Israel berkumpul untuk melawan kota itu; semua bersekutu dan bersatu tujuan. 12Kemudian suku-suku Israel mengirim orang kepada seluruh suku Benyamin dengan pesan, "Bagaimanakah dengan kejahatan yang terjadi antara kamu itu! 13Maka sekarang, serahkanlah semua penjahat di Gibea yang melakukan perbuatan durjana itu. Kami akan menghukum mati mereka dan dengan demikian menghapuskan yang jahat itu daripada antara orang Israel." Tetapi bani Benyamin tidak mahu mendengar seruan saudara-saudara mereka daripada orang Israel itu. 14Sebaliknya, bani Benyamin dari kota-kota lain berkumpul di Gibea untuk mara memerangi orang Israel. 15Pada hari itu bani Benyamin mengerahkan dari kota-kota lain itu dua puluh enam ribu orang yang bersenjatakan pedang, belum termasuk penduduk Gibea sejumlah tujuh ratus orang pilihan itu. 16Daripada seluruh bala tentera itu ada tujuh ratus orang pilihan yang kidal, dan setiap orang daripada mereka dapat menggunakan tarbil dengan tepat, walaupun sasarannya cuma sehelai rambut. 17Jumlah orang Israel dihitung seramai empat ratus ribu orang, tidak termasuk suku Benyamin, dan kesemua perajurit itu menghunuskan pedang. 18Berangkatlah orang Israel lalu mara ke Betel. Di sana mereka bertanya kepada Allah, "Siapakah daripada kami yang patut mara dahulu untuk berperang melawan bani Benyamin?" Jawab TUHAN, "Suku Yehuda yang harus mara dahulu."
19Warga orang Israel bangun pagi-pagi dan berkhemah mengepung Gibea. 20Kemudian orang Israel maju berperang melawan suku Benyamin dan menyusun barisan perang melawan mereka dekat Gibea. 21Lalu bani Benyamin mara menyerang dari Gibea dan menggugurkan ke bumi dua puluh dua ribu daripada orang Israel pada hari itu. 22Tetapi tentera orang Israel saling memberikan perangsang dan mengumpulkan segenap kekuatan mereka, lalu menyusun semula barisan perang di tempat mereka menyusun barisan pada mulanya. 23Kemudian pergilah orang Israel menangis di hadapan TUHAN sampai petang. Sesudah itu mereka bertanya kepada TUHAN, "Perlukah kami pergi lagi berperang melawan bani Benyamin, saudara kami itu?"
Jawab TUHAN, "Majulah melawan mereka." 24Maka pada hari kedua itu orang Israel sampai dekat bani Benyamin. 25Maralah suku Benyamin dari Gibea menyerbu mereka, dan gugurlah ke bumi lapan belas ribu orang daripada orang Israel; kesemuanya tentera yang berpedang. 26Kemudian pergilah semua orang Israel, dan setibanya di Betel, mereka menangis di hadapan TUHAN, berpuasa sampai senja pada hari itu. Mereka juga mempersembahkan korban bakaran dan korban kedamaian di hadapan TUHAN. 27Lalu warga orang Israel bertanya kepada TUHAN. Pada waktu itu ada tabut perjanjian Allah di sana, 28dan Pinehas anak Eleazar anak Harun menjadi imam Allah pada waktu itu. Kata mereka, "Haruskah kami mara sekali lagi untuk berperang melawan bani Benyamin, saudara kami itu, atau haruskah kami hentikan peperangan ini?"
Jawab TUHAN, "Majulah, kerana esok Aku akan menyerahkan mereka ke dalam tanganmu."
29Lalu orang Israel menempatkan askar penyerang hendap di sekeliling Gibea. 30Pada hari ketiga maralah askar orang Israel melawan bani Benyamin dan menyusun barisan untuk melawan Gibea seperti yang pernah dilakukan mereka dahulu. 31Maka majulah bani Benyamin menyerbu tentera itu dan mereka dipancing keluar dari kota. Seperti yang pernah dilakukan dahulu, mereka mulai menyerang dan membunuh pasukan askar Israel di padang dan juga di jalan raya, iaitu satu yang menuju ke Betel, dan satu lagi ke Gibea. Kira-kira tiga puluh orang Israel terbunuh. 32Maka kata bani Benyamin, "Mereka itu telah tumpas oleh kita seperti pada mula-mula dahulu juga." Tetapi warga orang Israel telah bermuafakat lebih dahulu, "Marilah kita lari dan memancing mereka dari kota ke jalan-jalan raya." 33Jadi orang Israel bangun dari tempatnya dan menyusun barisannya di Baal-Tamar, sedang orang Israel yang mengadang itu tiba-tiba keluar dari tempatnya, yakni tempat terbuka dekat Geba. 34Maka tibalah orang pilihan daripada seluruh Israel seramai sepuluh ribu orang di depan Gibea. Berlakulah pertempuran yang dahsyat tetapi bani Benyamin tidak tahu yang malapetaka datang menimpa mereka. 35TUHAN membuat suku Benyamin tumpas di tangan orang Israel, dan pada hari itu orang Israel memusnahkan dua puluh lima ribu seratus orang daripada bani Benyamin, semuanya askar yang bersenjatakan pedang. 36Bani Benyamin melihat, bahawa mereka telah dikalahkan. Sementara askar orang Israel berundur di depan suku Benyamin – kerana mereka bergantung kepada para penyerang hendap yang ditempatkan mereka untuk menyerang Gibea. 37Dengan segera, para penyerang hendap itu menyerbu Gibea. Mereka bergerak maju dan menyerang seluruh kota itu dengan mata pedang. 38Tetapi orang Israel sudah bermuafakat menentukan isyarat iaitu untuk menaikkan gumpalan asap tebal dari kota itu. 39Ketika orang Israel berundur dalam pertempuran itu, suku Benyamin menyerang orang Israel dan terbunuhlah kira-kira tiga puluh orang. Maka bani Benyamin terfikir, "Tentulah orang Israel ini kita kalahkan sama sekali seperti dalam pertempuran yang dahulu." 40Tetapi pada waktu itu gumpalan asap mula naik berkepul-kepul dari kota itu. Suku Benyamin menoleh ke belakang lalu terlihat seluruh kota itu terbakar sampai apinya naik ke langit. 41Lalu maju semula orang Israel lantas gementarlah bani Benyamin yang melihat bahawa malapetaka sudah datang menimpa mereka. 42Mereka pun lari dari depan orang Israel itu ke arah gurun. Akan tetapi, mereka tidak dapat menghindari pertempuran itu kerana orang Israel dari kota-kota pula menyerang mereka di tengah-tengah kalangan mereka sendiri. 43Orang Israel mengepung suku Benyamin lalu mengejar mereka dengan tidak henti-hentinya dan menumpaskan mereka di depan kota Gibea, di sebelah timur. 44Maka terkorban seramai lapan belas ribu orang Benyamin, kesemuanya perwira yang gagah perkasa. 45Yang lainnya berpaling lalu lari ke gurun, ke bukit batuan Rimon. Tetapi di jalan-jalan raya pula masih ada lima ribu orang Benyamin yang diburu sampai Gidom dan dua ribu orang daripada mereka ditumpas. 46Maka terkorban sejumlah dua puluh lima ribu orang yang bersenjatakan pedang daripada suku Benyamin, semuanya perwira yang gagah perkasa. 47Tetapi enam ratus orang melarikan diri ke gurun di batu Rimon, dan tinggal selama empat bulan di bukit batu itu. 48Tetapi orang Israel kembali menyerang bani Benyamin dan memukul mereka dengan mata pedang, baik manusia mahupun haiwan dan segala sesuatu yang terdapat di sana. Semua kota yang terdapat di sana turut dimusnahkan mereka dengan api.