Alkitab Versi Borneo |
Kisah Mikha dengan seorang Lewi 1Ada seorang yang bernama Mikha dari wilayah pergunungan Efraim. 2Berkatalah dia kepada ibunya, "Wang perak sebanyak seribu seratus keping yang diambil orang daripadamu dan yang kerananya ibu ucapkan kutukan hingga aku sendiri mendengar kutukanmu itu – lihatlah wang itu ada padaku, akulah yang mengambilnya."
Lalu kata ibunya, "Semoga TUHAN memberkatimu, anakku." 3Lalu dia mengembalikan wang perak seribu seratus keping itu kepada ibunya. Tetapi ibunya berkata, "Aku mahu sucikan wang itu bagi TUHAN dan aku menyerahkan agar daripada wang itu anakku membuat patung ukiran dan patung tuangan. Maka sekarang, wang itu aku kembalikan kepadamu." 4Tetapi Mikha mengembalikan wang itu kepada ibunya. Lalu ibunya mengambil dua ratus wang perak dan memberikannya kepada tukang perak, yang membuat patung ukiran dan patung tuangan daripada wang itu. Kemudian semua patung itu diletak di rumah Mikha. 5Mikha ini mempunyai kuil. Dia membuat efod dan patung-patung berhala lalu mentahbiskan salah seorang anak lelakinya yang dilantik menjadi imamnya. 6APada zaman itu tiada raja yang memerintah orang Israel. Setiap orang melakukan apa yang dianggap benar menurut pandangan sendiri. 7Maka ada seorang pendatang muda bani Lewi dari Betlehem-Yehuda, daripada kaum Yehuda yang menumpang di situ. 8Keluarlah orang itu dari kota Betlehem-Yehuda untuk menumpang sebagai pendatang di mana-mana sahaja dia mendapat tempat dalam perjalanannya. Lalu sampailah dia ke rumah Mikha di pergunungan Efraim. 9Bertanyalah Mikha kepadanya, "Kamu berasal dari mana?" Dia menjawab, "Aku orang Lewi dari Betlehem-Yehuda, dan aku pergi untuk menumpang sebagai pendatang di mana-mana sahaja aku mendapat tempat." 10Berkatalah Mikha kepadanya, "Tinggallah sahaja denganku dan jadilah bapa dan imam kepadaku dan setiap tahun aku akan memberikan kepadamu sepuluh keping wang perak, sepasang pakaian serta makananmu." 11Orang Lewi itu bersetuju menetap di rumah Mikha yang seterusnya menjadi seperti seorang daripada anaknya sendiri. 12Lalu Mikha mentahbiskan orang Lewi itu. Orang muda itu menjadi imamnya dan menetap di rumah Mikha. 13Berkatalah Mikha, "Tahulah aku sekarang bahawa TUHAN akan berbuat baik kepadaku kerana ada seorang Lewi yang menjadi imamku."