Alkitab Versi Borneo |
Simson menewaskan orang Filistin 1Beberapa waktu kemudian, pada musim menuai gandum, Simson pergi mengunjungi isterinya dengan membawa seekor anak kambing, lalu dia berkata, "Aku mahu ke bilik mendapatkan isteriku." Tetapi ayah perempuan itu tidak membenarkan dia masuk. 2Kata ayah perempuan itu, "Aku sangka engkau amat membenci isterimu, maka aku memberikannya kepada kawanmu. Bukankah adiknya lebih cantik daripadanya? Baiklah kamu ambil dia menggantikan isterimu." 3Lalu Simson berkata kepadanya, "Kali ini aku tidak bersalah terhadap orang Filistin, apabila aku mendatangkan bencana ke atas mereka." 4Pergilah Simson lalu menangkap tiga ratus ekor rubah yang diikatkannya ekor dengan ekor lalu di antara tiap-tiap dua ekor itu ditaruhnya jamung. 5Lalu dia menyalakan jamung itu dan melepaskan kesemua rubah itu ke ladang gandum kepunyaan orang Filistin yang belum dituai. Maka terbakarlah segala rumpun gandum dan gandum yang belum dituai dan juga kebun-kebun anggur dan pokok zaitun. 6Berkatalah orang Filistin, "Angkara siapakah ini?" Orang menjawab, "Simson, menantu orang Timna itu, kerana orang itu mengambil isteri Simson dan memberikannya kepada kawannya." Maka pergilah orang Filistin ke Timna lalu membakar perempuan itu berserta ayahnya. 7Berkatalah Simson kepada mereka, "Oleh sebab kamu bertindak sebegini, sesungguhnya aku akan membalas dendam terhadap kamu. Selepas itu, barulah aku berhenti." 8Maka Simson memukul mereka dan meremukkan tulang-tulang mereka tanpa belas kasihan. Lalu pergilah dia menetap di gua di bukit batuan Etam. 9Kemudian orang Filistin mara dan berkhemah di daerah Yehuda serta bertaburanlah mereka di kawasan Lehi. 10Berkatalah orang Yehuda, "Mengapa kamu mara menyerang kami?" Jawab orang Filistin, "Kami mara untuk mengikat Simson dan memperlakukannya sebagaimana dia memperlakukan kami." 11Maka turunlah tiga ribu orang Yehuda di gua di bukit batuan Etam dan berkata kepada Simson, "Tidakkah kamu tahu bahawa orang Filistin berkuasa atas kita? Apakah bencana yang kamu bawa menimpa atas kami?" Tetapi jawabnya kepada mereka, "Aku hanya memperlakukan mereka sebagaimana mereka memperlakukan aku." 12Kata mereka kepadanya, "Kami datang ke sini untuk mengikat dan menyerahkan kamu ke dalam tangan orang Filistin." Tetapi jawab Simson kepada mereka, "Bersumpahlah kepadaku, bahawa kamu sendiri tidak akan menyerang aku." 13Lalu berkatalah mereka kepadanya, "Tidak, kami hanya mahu mengikat kamu dan menyerahkan kamu ke dalam tangan mereka, tetapi kami memang tidak mahu membunuh kamu." Lalu mereka mengikatnya dengan dua tali baru dan membawanya dari bukit batuan itu. 14Setibanya di Lehi, semua orang Filistin mendatangi Simson dengan bersorak-sorai. Maka berkuasalah Roh TUHAN ke atasnya. Tali-tali pada tangannya menjadi seperti batang rami yang telah habis dimakan api dan segala ikatan hancur tanggal daripada tangannya. 15Simson menemui tulang rahang keldai yang masih baru, lalu digenggamnya tulang rahang itu lantas seribu orang dipukul hingga mati. 16Berkatalah Simson, "Dengan rahang keldai ini, kubuat timbunan demi timbunan, dengan rahang keldai ini kupukul mati seribu orang." 17Setelah berkata demikian, dia melempar tulang rahang itu daripada tangannya. Tempat itu dinamakannya Ramat Lehi. 18Ketika itu dia berasa amat haus, lalu berserulah dia kepada TUHAN, "Melalui tangan hamba-Mu ini Kauberikan kemenangan yang besar, tetapi kini adakah aku akan mati kehausan dan jatuh ke dalam tangan golongan orang yang tidak bersunat itu!" 19Lalu Allah membelah liang batu di Lehi itu, dan daripadanya keluarlah air. Simson minum dan menjadi kuat dan segar semula. Maka dinamailah mata air itu En-Hakuri (Mata Air Orang Yang Berdoa), yang sampai sekarang masih ada di Lehi. 20Maka Simson memerintah sebagai hakim selama dua puluh tahun atas orang Israel dalam zaman orang Filistin.