Alkitab Versi Borneo |
Yosua mengutus pengintip ke Yerikho 1ASecara senyap-senyap, Yosua anak Nun mengutus dua orang pengintip dari Sitim, pesannya, "Pergilah, amatilah negeri itu dan kota Yerikho." Maka pergilah mereka lalu sampai di rumah seorang pelacur yang bernama Rahab. Mereka pun menginap di situ. 2Tetapi kemudian raja Yerikho diberitahu demikian, "Ketahuilah, ada beberapa orang Israel datang ke mari malam ini untuk mengintip negeri ini." 3Maka raja Yerikho mengutus orang kepada Rahab dengan mengatakan, "Bawa ke luar orang yang datang kepadamu dan yang masuk ke rumahmu itu, kerana mereka datang untuk mengintip seluruh negeri ini!" 4Akan tetapi, perempuan itu membawa dua orang itu dan menyembunyikan mereka. Dia berkata, "Ya, memang mereka itu datang kepadaku, tetapi aku tidak tahu dari mana asalnya mereka. 5Pada waktu hari sudah gelap, kira-kira menjelang waktu pintu gerbang ditutup, mereka itu pergi. Aku tidak tahu ke mana mereka pergi. Segeralah kejar mereka. Tentu kamu dapat menyusul mereka." 6Padahal, dia telah membawa mereka naik ke atap rumah dan menyembunyikan mereka di antara batang rami yang disusunnya di atas atap itu. 7Maka pergilah para pesuruh raja itu mengejar kedua-duanya ke arah Sungai Yordan, ke tempat-tempat penyeberangan. Segera sesudah semua yang mengejar mereka itu keluar, pintu gerbang ditutup. 8Sebelum dua orang itu tidur, perempuan itu naik mendapatkan mereka di atas bumbung. 9Katanya kepada mereka, "Aku tahu bahawa TUHAN telah mengurniakan negeri ini kepada kamu. Rasa ngeri terhadap kamu telah melanda kami, dan seluruh penduduk negeri ini gementar kerana kamu. 10CKami telah mendengar bagaimana TUHAN mengeringkan air Laut Merah di hadapanmu ketika kamu keluar dari Mesir, juga apa yang kamu lakukan terhadap dua orang raja bani Amori di seberang Sungai Yordan, iaitu Sihon dan Og, yang telah kamu tumpaskan itu. 11Sebaik sahaja kami mendengar hal itu, tawarlah hati kami. Tidak ada lagi baki semangat yang ada pada seorang pun kerana kamu, sebab TUHAN, Allahmu, ialah Allah di langit di atas dan di bumi di bawah. 12Sekarang, bersumpahlah kepadaku demi TUHAN bahawa kerana aku telah memperlakukan kamu dengan baik, maka kamu pun akan memperlakukan aku dan kaum keluargaku dengan baik. Berilah aku suatu tanda jaminan 13bahawa kamu akan membiarkan hidup ayahku, ibuku, saudara-saudaraku yang laki-laki dan perempuan serta semua orang yang ada pada mereka, dan bahawa kamu akan melepaskan nyawa kami daripada maut." 14Lalu kata dua orang itu kepadanya, "Nyawa kamilah jaminan bagi nyawamu! Jika engkau tidak melaporkan urusan kami ini, maka pada waktu TUHAN mengurniakan negeri ini kepada kami, kami akan berlaku baik dan setia kepadamu."
15Setelah itu, dia menurunkan mereka dengan tali melalui jendela, kerana rumahnya terletak pada tembok kota. Pada tembok itulah tempat dia tinggal. 16Katanya kepada mereka, "Larilah ke gunung supaya orang yang mengejar itu tidak menemukan kamu. Bersembunyilah di sana tiga hari lamanya hingga mereka pulang. Kemudian barulah kamu dapat meneruskan perjalananmu." 17Kata dua orang itu kepadanya, "Kami akan menepati sumpah yang kami ucapkan atas permintaanmu itu. 18Apabila kami memasuki negeri ini, ikatkanlah tali daripada benang merah tua ini pada jendela tempat engkau menurunkan kami, dan kumpulkanlah ayahmu, ibumu, para saudaramu, serta seluruh kaum keluargamu di dalam rumahmu. 19Sesiapa pun yang keluar dari pintu rumahmu ke jalan, maka darahnya menjadi tanggungannya sendiri, kami tidak bersalah. Sebaliknya, siapa pun yang ada bersama-samamu di dalam rumah, maka darahnya menjadi tanggungan kami jika ada orang yang mencederakannya. 20Akan tetapi, jika engkau melaporkan urusan ini, maka bebaslah kami daripada sumpah yang kami ucapkan atas permintaanmu itu." 21Jawabnya, "Aku setuju dengan apa yang kamu katakan." Lalu dia menyuruh mereka pergi dan mereka pun berangkat. Kemudian dia mengikatkan tali merah itu pada jendela. 22Pergilah dua orang itu lalu tibalah mereka di gunung. Mereka tinggal di sana selama tiga hari sampai kumpulan orang yang mengejar mereka pulang. Para pengejar itu sudah melakukan pencarian di sepanjang jalan, tetapi tidak juga menjumpai mereka. 23Kemudian pulanglah dua orang itu. Mereka turun dari gunung, menyeberangi sungai, lalu kembali kepada Yosua anak Nun. Kepadanya mereka menceritakan segala hal yang dialami itu. 24Kata mereka kepada Yosua, "Sesungguhnya, TUHAN telah menyerahkan seluruh negeri itu ke dalam tangan kita. Bahkan seluruh penduduk negeri itu gementar kerana kita."