Alkitab Versi Borneo |
Pembahagian tanah selebihnya 1Seluruh kalangan umat Israel berkumpul di Silo dan mendirikan Khemah Pertemuan di sana, kerana negeri itu sudah menjadi jajahan takluk mereka. 2Masih tinggal tujuh suku lagi antara orang Israel yang belum mendapat bahagian harta pusaka mereka. 3Maka kata Yosua kepada orang Israel, "Berapa lama lagi kamu mahu melengah menduduki negeri yang telah dikurniakan TUHAN, Allah nenek moyangmu, kepadamu? 4Pilihlah tiga orang daripada setiap suku. Aku akan mengutus mereka untuk segera menjelajahi negeri itu dan mencatat keadaannya, menurut harta pusaka masing-masing, dan setelah itu kembali kepadaku. 5Hendaklah mereka membahaginya menjadi tujuh bahagian. Suku Yehuda akan tetap tinggal di daerahnya di sebelah selatan dan bani Yusuf akan tetap tinggal di daerahnya di sebelah utara. 6Kamu mesti mencatat keadaan negeri itu di tujuh bahagian lalu membawa catatan itu kepadaku. Aku akan mencabut undi bagimu di sini, di hadapan TUHAN, Allah kita. 7Suku Lewi tidak mendapatkan bahagian antara kamu, kerana jawatan imam TUHAN ialah harta pusaka mereka. Suku Gad, suku Ruben, dan separuh suku Manasye telah menerima harta pusaka mereka di sebelah timur Sungai Yordan, yang diberikan kepada mereka oleh Musa, hamba TUHAN itu."
8Maka segeralah berangkat tiga orang yang terpilih daripada setiap suku itu dengan perintah Yosua supaya mereka mencatat keadaan negeri itu, katanya, "Pergilah dan jelajahilah negeri itu. Catatlah keadaannya lalu kembalilah kepadaku. Aku akan mencabut undi bagi kamu di sini, di hadapan TUHAN, di Silo." 9Maka pergilah mereka yang terpilih itu menjelajahi negeri itu dan mencatat keadaan kota demi kota di tujuh bahagian dalam sebuah kitab. Setelah itu, mereka kembali kepada Yosua di perkhemahan, di Silo. 10Lalu Yosua mencabut undi bagi mereka di Silo, di hadapan TUHAN. Di situlah dia membahagi-bahagikan negeri itu kepada orang Israel dengan setiap suku menerima bahagian masing-masing.
Harta pusaka suku Benyamin 11Undian terjatuh kepada suku bani Benyamin menurut kaum-kaum mereka dan wilayah yang diperuntukkan untuk mereka terletak di antara wilayah bani Yehuda dengan wilayah bani Yusuf. 12Di sebelah utara, sempadan daerah mereka bermula dari Sungai Yordan kemudian naik ke lereng gunung di sebelah utara Yerikho, lalu naik ke pergunungan di sebelah barat, dan berakhir di Gurun Bet-Awen. 13Dari situ, sempadan itu menganjur ke Lus, ke lereng gunung di sebelah selatan Lus, iaitu Betel dan seterusnya turun ke Atarot-Adar dekat gunung yang terletak di sebelah selatan Bet-Horon Hilir. 14Selanjutnya sempadan itu membelok di sebelah barat menuju ke sebelah selatan gunung di seberang selatan Bet-Horon dan berakhir di Kiryat-Baal, iaitu Kiryat-Yearim, sebuah kota milik bani Yehuda. Itulah sisi sebelah baratnya. 15Sempadan sebelah selatan bermula dari hujung Kiryat-Yearim, lalu keluar ke sebelah barat menuju mata air Neftoah. 16Kemudian sempadan itu turun ke hujung gunung di seberang Lembah Ben-Hinom, yang terletak di sebelah utara lembah orang Refaim, lalu turun ke Lembah Hinom, sebelah selatan lereng gunung orang Yebus, dan turun ke En-Rogel. 17Kemudian sempadan itu membelok ke sebelah utara, keluar ke En-Semes, menuju wilayah yang berhadapan dengan tanjakan Adumim dan seterusnya turun ke batu Bohan anak Ruben. 18Sempadan itu berlanjutan ke sebelah utara lereng gunung di seberang Bet-Araba, lalu turun ke Araba 19dan kemudian berlanjutan lagi ke sebelah utara lereng Gunung Bet-Hogla dan berakhir di teluk utara Laut Mati, di muara selatan Sungai Yordan. Itulah sempadan selatannya. 20Sungai Yordan ialah sempadan sebelah timurnya. Itulah harta pusaka bani Benyamin dengan sempadan di sekelilingnya menurut kaum-kaum mereka. 21Inilah kota-kota suku bani Benyamin menurut kaum-kaum mereka: Yerikho, Bet-Hogla, Emek-Kezis, 22Bet-Araba, Zemaraim, Betel, 23Haawim, Para, Ofra, 24Kefar-Haamonai, Ofni, Geba; dua belas buah kota berserta desa-desanya. 25Gibeon, Rama, Beerot, 26manakala Mizpa, Kefira, Moza, 27Rekem, Yirpeel, Tarala, 28Zela, Elef, Yebus, iaitu Yerusalem, Gibea, Kiryat ialah empat belas buah kota lagi dengan desa-desanya. Itulah harta pusaka bani Benyamin menurut kaum-kaum mereka.