Alkitab Versi Borneo |
Israel menewaskan perikatan bani Amori 1Apabila terdengar oleh Adoni-Zedek, raja Yerusalem bagaimana Yosua menawan Ai dan menumpasnya lalu memperlakukan Ai dan rajanya sebagaimana diperlakukan ke atas Yerikho dan rajanya, dan betapa penduduk Gibeon telah mengadakan perjanjian damai dengan Israel dan tinggal dalam kalangan mereka, 2maka sangat ketakutanlah mereka, memandangkan Gibeon sebuah kota raya besar, seperti salah sebuah kota raya diraja. Apatah lagi, kota itu lebih besar daripada Ai dan semua orangnya pahlawan belaka. 3Maka Adoni-Zedek, raja Yerusalem, mengutus orang kepada Hoham, raja Hebron, kepada Piream, raja Yarmut, kepada Yafia, raja Lakhis, dan kepada Debir, raja Eglon, dengan pesan, 4"Datanglah ke mari dan bantulah aku. Mari kita serang Gibeon yang telah mengadakan perjanjian damai dengan Yosua dan orang Israel." 5Lalu berkumpullah kelima-lima orang raja Amori itu, iaitu raja Yerusalem, raja Hebron, raja Yarmut, raja Lakhis, dan raja Eglon, dan bala tentera mereka juga berkumpul dan bergerak maju bersama-sama. Mereka berkhemah mengepung Gibeon dan berperang melawannya. 6Maka rakyat Gibeon mengutus orang kepada Yosua, ke perkhemahannya di Gilgal, dengan pesan, "Janganlah tuan biarkan hamba-hambamu ini. Datanglah dengan segera. Selamatkanlah kami dan bantulah kami, kerana semua raja bani Amori yang tinggal di pergunungan kini bergabung untuk menyerang kami." 7Maka majulah Yosua dari Gilgal bersama-sama seluruh pasukan perang, termasuk para pahlawannya yang gagah perkasa. 8TUHAN berfirman kepada Yosua, "Jangan takut kepada mereka, kerana Aku telah menyerahkan mereka ke dalam tanganmu. Tiada seorang pun daripada mereka yang mampu bertahan di hadapanmu." 9Setelah bergerak maju dari Gilgal semalam-malaman, Yosua mendatangi mereka secara tiba-tiba. 10TUHAN menyebabkan bani Amori berasa amat cemas di hadapan orang Israel sehingga mereka ditumpaskan dengan kekalahan yang sebegitu besar di Gibeon. Orang Israel mengejar mereka ke arah genting Bet-Horon dan menumpurkan mereka sampai ke Azeka dan Makeda. 11Sewaktu bani Amori itu melarikan diri dari hadapan orang Israel di lereng Bet-Horon, TUHAN menghujani mereka dengan batu-batu besar dari langit sampai ke Azeka, sehingga mereka mati. Lebih ramai orang yang mati kerana hujan batu itu daripada yang ditewaskan orang Israel dengan pedang.
12Pada hari TUHAN menyerahkan bani Amori itu kepada orang Israel, berdoalah Yosua kepada TUHAN, lalu di hadapan mata orang Israel dia berkata,
"Wahai matahari, berhentilah engkau di atas Gibeon
dan engkau, wahai bulan, di atas Lembah Ayalon!" 13AMaka matahari pun berhenti dan bulan pun tertahan sampai bangsa itu menuntut balas terhadap musuh-musuh mereka. Bukankah hal itu tertulis dalam Kitab Yasar? Sehari suntuk matahari tertahan di tengah-tengah langit dan tidak cepat-cepat terbenam. 14Belum pernah ada hari seperti itu sebelum ataupun sesudahnya, bahawa TUHAN mendengar permohonan seorang manusia sedemikian, kerana TUHAN berperang demi orang Israel.
15Kemudian kembalilah Yosua berserta semua orang Israel ke perkhemahan di Gilgal. Lima Raja bani Amori dibunuh 16Kelima-lima orang raja itu melarikan diri dan bersembunyi dalam gua di Makeda. 17Lalu kepada Yosua dikhabarkan demikian, "Kelima-lima orang raja itu telah ditemukan bersembunyi dalam sebuah gua di Makeda." 18Kata Yosua, "Gulingkanlah batu-batu besar ke mulut gua itu dan tempatkanlah beberapa orang di sana untuk berkawal. 19Tetapi kamu, jangan berhenti. Kejarlah musuh-musuhmu dan hapuskanlah barisan belakang mereka. Jangan biarkan mereka masuk ke dalam kota-kota mereka, kerana TUHAN, Allahmu, telah menyerahkan mereka ke dalam tanganmu." 20Yosua dan orang Israel hampir-hampir selesai memusnahkan bani Amori itu sama sekali namun ada beberapa orang daripada mereka yang dapat menyelamatkan diri mereka lalu masuk ke kota-kota berkubu, 21Setelah itu, barulah seluruh umat itu kembali dengan selamat kepada Yosua di perkhemahan di Makeda dan tiada sesiapa pun lagi yang berani mengancam orang Israel. 22Kemudian Yosua berkata, "Bukalah mulut gua itu dan bawalah kelima-lima orang raja itu kepadaku dari dalam gua." 23Mereka pun berbuat demikian dan membawa kepadanya lima orang itu dari dalam gua, iaitu raja Yerusalem, raja Hebron, raja Yarmut, raja Lakhis, dan raja Eglon. 24Setelah raja-raja itu dibawa kepada Yosua, Yosua memanggil semua orang Israel dan berkata kepada para ketua pejuang yang pergi bersama-samanya, "Ke marilah, pijaklah kakimu di atas batang leher raja-raja ini." Mereka pun datang dan memijak batang leher raja-raja itu. 25Kata Yosua kepada mereka, "Jangan gentar dan jangan kecut hati. Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu, kerana demikianlah TUHAN akan memperlakukan semua musuhmu yang akan kamu perangi." 26Setelah itu, Yosua membunuh kelima-limanya lantas menggantung mereka pada lima batang pokok dan mereka tergantung pada pokok-pokok itu sehingga petang. 27Pada waktu matahari terbenam, atas perintah Yosua, jenazah mereka diturunkan dari atas pokok-pokok itu lalu dicampakkan ke dalam gua tempat mereka bersembunyi. Setelah itu di mulut gua diletakkan batu-batu besar, yang masih ada sampai hari ini juga. Yosua menawan bahagian selatan Kanaan
28Pada hari itu Yosua menawan Makeda dan menumpaskan penduduk kota itu dan juga rajanya dengan mata pedang. Dia memusnahkan kota itu dan setiap jiwa yang ada di dalamnya. Tiada seorang pun ditinggalkannya hidup. Raja Makeda diperlakukannya sebagaimana dia memperlakukan raja Yerikho.
29Yosua berserta semua orang Israel berjalan terus dari Makeda ke Libna, lalu berperang melawan Libna. 30Kota itu juga berserta rajanya diserahkan TUHAN ke dalam tangan orang Israel. Yosua memusnahkan penduduknya dan setiap jiwa yang ada di dalamnya dengan mata pedang. Tiada seorang pun ditinggalkannya hidup. Dia memperlakukan rajanya seperti dia memperlakukan raja Yerikho.
31Kemudian Yosua berjalan terus bersama-sama semua orang Israel dari Libna ke Lakhis, lalu berkhemah mengepung kota itu dan memeranginya. 32TUHAN menyerahkan Lakhis ke dalam tangan orang Israel, dan Yosua menawan kota itu pada hari kedua. Dia memusnahkan penduduknya dan setiap jiwa yang ada di dalamnya dengan mata pedang, seperti semua yang dilakukannya terhadap Libna. 33Pada waktu itu Horam, raja Gezer, maju untuk membantu Lakhis, tetapi Yosua mengalahkannya serta rakyatnya, tiada seorang pun dibiarkannya hidup. 34Yosua berjalan terus berserta semua orang Israel dari Lakhis ke Eglon, lalu berkhemah mengepung kota itu dan berperang melawannya. 35Mereka menawan kota itu pada hari itu juga dan menumpaskan penduduknya dengan mata pedang. Setiap jiwa yang ada di dalamnya ditumpasnya pada hari itu, seperti semua yang dilakukannya terhadap Lakhis. 36Kemudian Yosua bergerak maju berserta semua orang Israel dari Eglon ke Hebron, lalu berperang melawannya. 37Mereka menawan negeri itu dan menumpaskan penduduknya, rajanya, segala kotanya, dan setiap jiwa yang ada di dalamnya dengan mata pedang. Tiada seorang pun dibiarkannya hidup, seperti semua yang dilakukannya terhadap Eglon, ketika dia menumpaskan kota itu dan setiap jiwa yang ada di dalamnya. 38Kemudian Yosua berserta semua orang Israel berbalik ke Debir dan berperang melawannya. 39Dia menawan negeri itu berserta rajanya dan segala kotanya. Semuanya ditumpaskannya dengan mata pedang begitu jugalah setiap jiwa yang ada di dalamnya. Tiada seorang pun dibiarkannya hidup. Seperti dia memperlakukan Hebron, juga Libna dan rajanya, demikianlah dia memperlakukan Debir dan rajanya. 40Demikianlah Yosua mengalahkan seluruh negeri itu: pergunungan, Tanah Negeb, dataran rendah, lereng-lereng gunung berserta semua raja mereka. Tiada seorang pun dibiarkannya hidup, melainkan ditumpasnya semua yang bernafas, seperti yang diperintahkan TUHAN, Allah Israel. 41Yosua mengalahkan mereka dari Kadesh-Barnea sampai ke Gaza, juga seluruh Tanah Gosyen sampai ke Gibeon. 42Semua raja itu berserta negeri mereka ditawan Yosua sekali gus, kerana TUHAN, Allah Israel, berperang bagi pihak orang Israel. 43Kemudian kembalilah Yosua berserta semua orang Israel ke perkhemahan di Gilgal.