Alkitab Versi Borneo |
Yosua ditauliahkan TUHAN
1Setelah kematian Musa, hamba TUHAN itu, TUHAN berfirman kepada Yosua anak Nun, penolong Musa, 2"Hamba-Ku Musa telah mati. Sekarang, segeralah engkau dan seluruh bangsa ini menyeberangi Sungai Yordan untuk menuju negeri yang Kukurniakan kepada mereka, iaitu kepada orang Israel. 3ASetiap tempat yang akan dipijak oleh telapak kakimu telah Kukurniakan kepadamu, seperti yang Kufirmankan kepada Musa. 4Daerahmu akan terbentang dari gurun dan dari Gunung Lebanon ini sampai sungai besar, iaitu Sungai Efrat – seluruh negeri orang Het – sampai Laut Besar, di arah matahari terbenam. 5BTidak ada seorang pun akan dapat bertahan menghadapi engkau seumur hidupmu. Sebagaimana dahulu Aku menyertai Musa, demikianlah Aku akan menyertai engkau. Aku tidak akan menterlantarkan engkau dan tidak akan meninggalkan engkau. 6CKuatkanlah dan mantapkanlah hatimu kerana engkau akan memimpin bangsa ini mewarisi negeri seperti yang Kujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang mereka untuk dikurniakan kepada mereka. 7Hanya, kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu sungguh-sungguh. Berhati-hatilah supaya melakukan seluruh hukum Taurat yang diperintahkan oleh hamba-Ku Musa kepadamu. Janganlah menyimpang ke kanan atau ke kiri, supaya engkau berhasil ke mana-mana pun engkau pergi. 8Kitab Suci Taurat ini tidak akan lekang daripada mulutmu, tetapi hendaklah engkau merenungkannya siang dan malam, supaya engkau berhati-hati melakukan segala yang tertulis di dalamnya. Dengan demikian perjalananmu akan beruntung dan engkau akan berjaya. 9Bukankah telah Kuperintahkan kepadamu, 'Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu'? Jangan gentar dan jangan kecut hati, kerana TUHAN, Allahmu, menyertai engkau ke mana-mana jua pun engkau pergi."
10Setelah itu, Yosua memerintahkan para pegawai pasukan umat itu, katanya, 11"Berjalanlah di tengah-tengah perkhemahan dan perintahkanlah umat itu sebegini, 'Siapkanlah bekalanmu, kerana dalam tiga hari ini kamu akan menyeberangi Sungai Yordan untuk masuk menduduki negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu sebagai milikmu.' "
12DKepada bani Ruben, bani Gad, dan separuh suku Manasye itu, Yosua berkata, 13"Ingatlah akan perkataan yang diamanahkan Musa, hamba TUHAN itu, kepadamu, 'TUHAN, Allahmu, memberikan ketenteraman kepadamu dan mengurniakan negeri ini kepadamu.' 14Isterimu, anak-anakmu, dan ternakanmu boleh tinggal di negeri yang diberikan Musa kepadamu di seberang Sungai Yordan. Tetapi kamu, semua kesateria yang gagah perkasa, mesti menyeberang di depan para saudaramu dengan bersenjata lengkap. Kamu perlu membantu mereka 15sampai TUHAN mengurniakan ketenteraman kepada saudara-saudaramu seperti halnya kepadamu, dan sampai mereka menduduki negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepada mereka. Setelah itu, barulah kamu dapat kembali ke tanah milikmu dan menduduki negeri yang diberikan Musa, hamba TUHAN itu, kepadamu di seberang Sungai Yordan, di arah matahari terbit."
16Jawab mereka kepada Yosua, "Semua yang kauperintahkan kepada kami akan kami lakukan, dan ke mana-mana pun kausuruh kami pergi, kami akan pergi. 17Seperti kami mentaati Musa dalam segala hal, demikian jugalah kami akan mentaati engkau. Semoga TUHAN, Allahmu, menyertai engkau seperti Dia menyertai Musa. 18Setiap orang yang menentang perintahmu dan tidak mahu mendengar perkataanmu dalam segala hal yang kauperintahkan kepadanya haruslah dihukum mati. Hanya, kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu."