Alkitab Versi Borneo |
Yunus lari daripada Tuhan 1ADatanglah firman Tuhan sedemikian kepada Yunus anak Amitai: 2"Bangunlah, pergilah ke Niniwe, ibu kota yang besar itu, dan berserulah terhadap mereka kerana kemungkaran mereka sudah nyata kepada-Ku." 3Akan tetapi, Yunus melarikan diri ke Tarsis, jauh dari hadirat Tuhan. Maka, pergilah dia ke Yope,i dan setelah menemui sebuah kapal, dia membayar tambangnya, dan belayar dengan orang lain ke Tarsis, jauh dari hadirat Tuhan. 4Tetapi Tuhan menurunkan angin ribut kencang hingga laut bergelora dan kapal yang dihentam gelora itu hampir-hampir pecah. 5Para pelaut yang dalam ketakutan itu melaung meminta pertolongan tuhan masing-masing dan mereka membuang ke laut muatan di dalam kapal demi meringankan kapal. Akan tetapi, Yunus yang turun ke ruang bahagian dalam kapal berbaring di sana lalu tidur nyenyak. 6Nakhoda datang mendapatkan Yunus dan berkata: "Bagaimana kamu boleh tidur nyenyak? Bangunlah dan berserulah kepada tuhan kamu. Mungkin tuhanmu akan mempedulikan kita supaya kita semua tidak binasa." 7Berkatalah mereka sesama sendiri, "Ayuh kita cabut undi agar kita tahu bahana siapakah kita ditimpa malapetaka ini." Lalu mereka membuang undi dan undi itu terjatuh pada Yunus. 8Berkatalah mereka kepada Yunus, "Beritahu kami, bahana siapakah bencana ini menimpa kita semua. Apa pekerjaanmu? Kamu datang dari mana? Apa negerimu? Apa bangsamu?" 9Jawab Yunus, "Aku orang Ibrani. Aku takut kepada Tuhan, Allah semesta langit, yang menjadikan lautan dan daratan." 10Para pelaut itu menjadi amat takut lantas berkata kepada Yunus, "Apakah yang telah kamu lakukan?" Mereka mengetahui Yunus telah melarikan diri dari hadirat Tuhan kerana Yunus telah memberitahu mereka hal itu. 11Mereka pun bertanya dia, "Apa yang harus kami lakukan agar laut tenang bagi kita?" Ini sebab laut menjadi semakin bergelora. 12Jawabnya, "Angkat dan campaklah aku ke laut dan laut itu akan reda pula bagimu. Aku tahu bahana akulah petaka ribut kencang ini menimpa kamu." 13Para pelaut masih bekerja keras dan cuba untuk berdayung supaya dapat kembali ke darat, namun mereka tidak berdaya lantaran laut menjadi lebih bergelora lagi. 14Maka berserulah mereka kepada Tuhan, "Ya Tuhan, janganlah sampai kami binasa bahana perbuatan orang ini; janganlah kami yang tidak bersalah terhukum atas perbuatannya sebab Engkau, ya Tuhan telah melakukan sebagaimana Kaukehendaki." 15Lalu mereka mengangkat serta mencampakkan Yunus ke laut, dan laut pun tidak mengamuk lagi. 16Amat takutlah mereka semua kepada Tuhan lalu mereka mempersembahkan korban sembelihan dan mengucapkan nazar kepada Tuhan. 17BMaka Tuhan menetapkan yang ketika itu datanglah seekor ikan besar lantas menelan Yunus, dan selama tiga hari dan tiga malam, Yunus tinggal di dalam perut ikan itu.