Alkitab Versi Borneo |
Yesus di Perayaan Pondok Daun 1Selepas itu, Yesus pergi berjalan di Galilea. Dia tidak pergi ke daerah Yudea kerana orang Yahudi di situ berniat hendak membunuh-Nya. 2AKetika itu perayaan orang Yahudi, iaitu Perayaan Pondok Daun hampir tiba. 3Oleh itu, saudara-saudara Yesus berkata kepada-Nya, "Beredarlah dari sini ke Yudea, supaya murid-murid-Mu dapat melihat perbuatan-Mu. 4Orang tidak menyembunyikan perbuatannya kalau ingin menjadi ternama. Kerana Kamu sudah melakukan perkara-perkara ini, biarlah diri-Mu dikenal orang di dunia." 5Saudara-saudara Yesus sendiri tidak percaya kepada-Nya. 6Lalu Yesus berkata kepada mereka, "Saat-Ku belum sampai lagi. Saatmu bila-bila sahaja. 7Dunia ini tiada sebab untuk membencimu. Tetapi dunia membenci-Ku, kerana Aku memberikan kesaksian tentangnya bahawa kerjanya durjana. 8Pergilah menyambut perayaan itu. Aku tidak pergi kerana saat-Ku belum sampai sepenuhnya." 9Setelah berkata demikian, Yesus tetap tinggal di Galilea. 10Apabila saudara-saudara-Nya telah bertolak untuk menghadiri perayaan itu, Yesus pun pergi juga secara diam-diam. 11Pada masa perayaan itu orang Yahudi mencari Yesus. Mereka bertanya, "Di manakah Dia?" 12Orang ramai berbisik-bisik tentang-Nya. Ada yang berkata, "Dia seorang yang baik." Ada pula yang berkata, "Tidak! Dia membawa ajaran sesat!" 13Tetapi semuanya tidak berani bercakap secara terbuka tentang Yesus, kerana takut akan orang Yahudi. Kesaksian Yesus tentang diri-Nya 14Pada pertengahan masa perayaan itu, Yesus masuk ke Bait Suci lalu mengajar. 15Orang Yahudi tercengang mendengar kata-kata-Nya lalu berkata, "Bagaimanakah orang ini begitu berpengetahuan walaupun tidak dididik?" 16Lalu Yesus menjawab, "Apa Kuajarkan bukanlah ajaran-Ku, tetapi ajaran Dia yang mengutus-Ku. 17Orang yang mahu melaksanakan kehendak Allah akan tahu sama ada ajaran ini datang daripada diri-Ku atau daripada Allah. 18Seseorang yang bercakap atas namanya sendiri mencari kemuliaan bagi dirinya. Sebaliknya, seseorang yang mencari kemuliaan bagi Dia yang mengutusnya, adalah jujur dan bersih daripada sebarang kepalsuan. 19Tidakkah Musa menyampaikan hukum Taurat kepadamu? Tetapi tiada seorang pun antara kamu yang melaksanakan hukum Taurat itu. Mengapakah kamu hendak membunuh-Ku?" 20Orang ramai menjawab, "Kamu dirasuk roh iblis! Siapa pula yang hendak membunuh-Mu?" 21Yesus berkata kepada mereka, "Aku melakukan satu mukjizat, lalu kamu semua berasa takjub. 22CMusa telah memberimu peraturan bersunat. Oleh itu, pada hari Sabat pun kamu hendak menyunatkan anak lelakimu. (Sebenarnya peraturan bersunat itu bukanlah bermula daripada Musa, tetapi daripada nenek moyangmu sebelumnya.) 23DKiranya seorang anak lelaki boleh disunatkan pada hari Sabat kerana tidak mahu melanggar hukum Musa, mengapakah kamu marah kepada-Ku kerana menyembuhkan seluruh tubuh seseorang pada hari Sabat? 24Janganlah hakimi seseorang berdasarkan apa yang dilihat. Hakimilah dengan adil." 25Sebilangan penduduk Yerusalem berkata, "Bukankah orang ini yang dicari oleh mereka untuk dibunuh? 26Lihatlah, Dia bercakap di hadapan orang ramai, tetapi mereka diam sahaja. Adakah para pemerintah itu benar-benar tahu bahawa Dia Kristus? 27Orang ini, kita tahu tempat asal-Nya. Tetapi, apabila Kristus datang, tiada siapa yang tahu akan tempat asal-Nya." 28Ketika Yesus mengajar di Bait Suci, Dia berseru dengan suara lantang, "Kamu tentu mengenal siapa Aku dan di mana tempat asal-Ku. Aku datang bukanlah dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai, tetapi kamu tidak mengenal-Nya. 29Aku mengenal-Nya kerana Dialah yang mengutus-Ku dan Aku datang daripada-Nya." 30Selepas itu, mereka cuba menangkap Yesus. Tetapi tiada seorang pun memegang-Nya kerana saat-Nya belum sampai. 31Sebilangan besar orang ramai itu percaya kepada Yesus. Mereka berkata, "Apabila Kristus datang, adakah Dia akan melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?" 32Apabila bisikan orang ramai didengar oleh orang Farisi, mereka dan para ketua imam pun menyuruh beberapa orang pengawal Bait Suci menangkap Yesus. 33Namun demikian, Yesus berkata, "Aku akan bersamamu sebentar sahaja. Selepas itu, Aku akan pulang kepada Dia yang mengutus-Ku. 34Kamu akan mencari-Ku, tetapi tidak dapat menemui-Ku. Di mana Aku berada, kamu tidak dapat ikut." 35Orang Yahudi berkata sesama sendiri, "Ke manakah Dia hendak pergi sehingga kita tidak dapat menemui-Nya? Adakah Dia hendak pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di perantauan dalam kalangan orang Yunani untuk mengajar orang Yunani? 36Apakah maksud kata-kata-Nya, 'Kamu akan mencari-Ku tetapi tidak dapat menemui-Ku' dan 'Di mana Aku berada, kamu tidak dapat ikut'?" 37EPada hari terakhir perayaan itu, iaitu hari yang terutama, Yesus berdiri lalu berkata dengan suara lantang, "Sesiapa yang dahaga, datanglah kepada-Ku untuk minum. 38FSebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, 'Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dalam hatinya akan terpancar mata air yang memberi hidup.' " 39(Yang dimaksudkan oleh Yesus ialah Roh Kudus yang akan diterima kelak oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu Roh Kudus belum dikurniakan, kerana Yesus belum dimuliakan.) Perbalahan tentang siapa Yesus 40Sebilangan orang yang mendengar kata-kata Yesus berkata, "Sudah tentu orang inilah Nabi itu!" 41Ada pula yang berkata, "Dialah Kristus yang diutus oleh Allah." Sebaliknya, ada yang berkata, "Kristus yang diutus oleh Allah bukan dari Galilea. 42GMenurut Kitab Suci, Kristus yang diutus Allah itu keturunan Raja Daud dan akan dilahirkan di kota Betlehem, tempat asal Raja Daud." 43Demikianlah mereka berbalah lalu berpihak-pihak kerana Yesus. 44Beberapa orang ingin menangkap-Nya, namun tiada siapa pun memegang-Nya. 45Kemudian para pengawal Bait Suci datang kepada para ketua imam dan orang Farisi. Lalu mereka bertanya kepada para pengawal itu, "Mengapakah kamu tidak membawa Dia ke sini?" 46Para pengawal itu menjawab, "Belum pernah seseorang bercakap seperti-Nya!" 47Orang Farisi berkata, "Adakah kamu disesatkan juga? 48Adakah mana-mana pemerintah atau orang Farisi percaya kepada-Nya? 49Tetapi hanya orang ramai ini tidak mengenal hukum Taurat – terlaknatlah mereka ini!" 50HNikodemus, seorang Farisi yang pernah pergi menemui Yesus, berkata, 51"Bukankah mengikut hukum Taurat, kita tidak boleh menghukum seseorang tanpa perbicaraan dan penyiasatan terlebih dahulu?" 52Mereka berkata, "Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Kajilah, dan kamu akan tahu tiada nabi yang datang dari Galilea." 53Selepas itu, semua orang pulang ke rumah.