Alkitab Versi Borneo |
Penyembuhan di Baithasda 1Setelah itu, Yesus pergi ke Yerusalem pada masa suatu perayaan Yahudi. 2Di Yerusalem, berdekatan Pintu Domba, ada sebuah kolam yang dipanggil Baithasda dalam bahasa Ibrani. Kolam ini dikelilingi lima buah serambi. 3Di setiap serambi itu ramai orang sakit dan cacat berbaring – ada yang buta, ada yang tempang dan ada yang lumpuh – menunggu air kolam itu berkocak. 4Sekali-sekala malaikat Tuhan akan turun mengocak air kolam itu. Sesiapa yang pertama masuk ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak akan sembuh daripada penyakitnya. 5Dalam kalangan mereka ada seorang lelaki yang telah sakit selama tiga puluh lapan tahun. 6Yesus melihatnya terbaring di situ dan mengetahui bahawa dia telah sakit demikian lamanya. Yesus bertanya kepadanya, "Inginkah kamu sembuh?" 7Orang sakit itu menjawab, "Tuan, tiada siapa pun di sini yang dapat memasukkan aku ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak. Setiap kali aku cuba masuk, orang lain telah masuk dahulu." 8Yesus berkata kepadanya, "Bangun, angkat tikarmu, dan berjalanlah." 9Serta-merta orang itu sembuh lalu mengangkat tikarnya dan berjalan. Perkara itu terjadi pada hari Sabat. 10AOleh yang demikian, orang Yahudi berkata kepada orang yang disembuhkan itu, "Ini hari Sabat. Kamu melanggar hukum kerana mengangkat tikar." 11Orang itu menjawab, "Orang yang menyembuhkanku tadi menyuruh aku mengangkat tikar dan berjalan." 12Mereka pun bertanya, "Siapakah Dia yang menyuruhmu mengangkat tikar dan berjalan itu?" 13Akan tetapi, orang yang baru disembuhkan itu tidak dapat menunjukkan siapa orangnya, kerana Yesus telah menghilang di antara orang ramai di situ. 14Tidak lama selepas itu, Yesus bertemu dengan orang itu di dalam Bait Suci dan berkata kepadanya, "Sekarang kamu sudah sembuh. Jangan berbuat dosa lagi, supaya kamu tidak menerima padah yang lebih teruk." 15Orang itu kemudiannya memberitahu orang Yahudi bahawa Yesuslah yang telah menyembuhkannya. 16Dengan demikian, orang Yahudi mula memusuhi Yesus kerana menyembuhkan orang pada hari Sabat. 17Namun demikian, Yesus berkata kepada mereka, "Bapa-Ku masih bekerja hingga sekarang, maka begitulah juga Aku." 18Kata-kata-Nya ini mengukuhkan lagi niat orang Yahudi hendak membunuh-Nya. Bukan sahaja Dia melanggar hukum hari Sabat, malah juga mengatakan Allah itu Bapa-Nya, iaitu menyamakan diri-Nya dengan Allah. Kesaksian Yesus tentang diri-Nya 19Yesus menjawab mereka, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Anak tidak dapat melakukan sesuatu oleh diri-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, itulah yang dilakukan oleh Anak, 20kerana Bapa kasih akan Anak dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada Anak-Nya. Bapa akan menyatakan hal-hal yang lebih besar lagi kepada Anak, sehingga kamu semua menjadi hairan. 21Bapa membangkitkan manusia daripada kematian dan memberi hidup, maka demikian jugalah Anak-Nya memberi hidup kepada mereka yang dikehendaki-Nya. 22Bapa tidak menghakimi sesiapa. Dia telah menyerahkan kuasa menghakimi kepada Anak-Nya. 23Dengan demikian, semua orang menghormati Anak sebagaimana mereka menghormati Bapa. Jika sesiapa tidak menghormati Anak, ertinya dia tidak menghormati Bapa yang mengutus-Nya. 24Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar. Dua jenis kebangkitan 25Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, akan tiba saatnya, malah sudah pun sampai, ketika orang mati mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengar suara-Nya akan hidup. 26Bapa sumber hidup, maka Dia menjadikan Anak-Nya juga sumber hidup. 27Bapa telah memberikan kuasa menghakimi kepada Anak-Nya, kerana Dia itu Anak Manusia. 28Janganlah hairan mendengar hal ini kerana akan sampai saatnya bagi semua orang di dalam kubur mendengar suara-Nya. 29BMereka akan terus bangkit dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit untuk mendapat hidup kekal dan orang yang berbuat jahat akan bangkit untuk dihukum." 30"Aku tidak dapat melakukan sesuatu pun atas usaha-Ku sendiri. Aku menghakimi manusia menurut perintah Allah. Penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku. 31Jika Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, itu tidaklah wajar diterima sebagai bukti yang sah. 32Ada lain yang memberikan kesaksian tentang diri-Ku, dan Aku tahu kesaksian yang disampaikan-Nya tentang-Ku itu benar. Kesaksian Yohanes 33CKamu telah mengutus orang untuk berjumpa dengan Yohanes, dan dia telah bersaksi tentang kebenaran. 34Sebenarnya Aku tidak memerlukan kesaksian manusia. Aku menyebutnya supaya kamu percaya dan dapat diselamatkan. 35Yohanes ibarat pelita yang menyala dan bercahaya. Bagi seketika lamanya, kamu memilih untuk menikmati cahayanya. 36Tetapi kesaksian-Ku lebih besar daripada kesaksian Yohanes. Aku melakukan apa yang ditugaskan oleh Bapa-Ku, dan hal ini membuktikan bahawa Bapa telah mengutus-Ku. 37DBapa yang mengutus-Ku dan memberikan kesaksian tentang diri-Ku ini belum pernah kamu dengar suara-Nya atau lihat wajah-Nya. 38Firman-Nya tidak menetap dalam dirimu kerana kamu tidak percaya kepada Dia yang diutus Bapa. Kesaksian Kitab 39Kamu mengkaji Kitab Suci dengan tekun kerana kamu percaya dalamnya kamu mendapat hidup kekal. Sebenarnya Kitab Suci memberikan kesaksian tentang diri-Ku. 40Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku untuk mendapatkan hidup kekal. 41Aku tidak mengharapkan pujian daripada manusia. 42Aku mengenalmu. Aku tahu kamu sebenarnya tidak mengasihi Allah. 43Aku datang atas nama Bapa-Ku, tetapi kamu tidak menyambut-Ku. Namun demikian, ketika orang lain datang atas namanya sendiri, kamu menyambutnya. 44Bagaimana kamu mungkin percaya kepada-Ku, sedangkan kamu mencari pujian sesama sendiri? Kamu tidak berusaha mendapatkan pujian daripada Allah yang esa. 45Jangan sangka Aku akan menuduhmu di hadapan Bapa. Musa yang kamu harapkan itulah yang akan menuduhmu. 46Sekiranya benar kamu percaya kepada Musa, tentulah kamu percaya kepada-Ku, kerana Musa telah menulis tentang diri-Ku. 47Kamu tidak percaya akan apa yang ditulis oleh Musa, maka bagaimana kamu mungkin percaya akan apa yang Kukatakan?"