Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 13

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yesus membasuh kaki murid-murid-Nya

1Sebelum Perayaan Paskah, Yesus tahu bahawa telah sampai masanya Dia meninggalkan dunia ini dan pulang kepada Bapa. Setelah mengasihi sekalian orang yang menjadi milik-Nya di dunia ini, Yesus mengasihi mereka hingga ke saat akhir.

2Semasa Yesus dan murid-murid-Nya sedang makan malam, Iblis sudah pun menimbulkan niat dalam hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Yesus. 3Yesus tahu bahawa Bapa telah menyerahkan segala perkara kepada-Nya; bahawa Dia datang daripada Allah dan akan pulang kepada-Nya. 4Dengan demikian, Yesus berdiri lalu melucutkan jubah-Nya dan mengikat sehelai tuala di pinggang-Nya. 5Kemudian Dia menuang air ke dalam sebuah baldi lalu membasuh kaki murid-murid-Nya dan mengeringkannya dengan tuala di pinggang-Nya. 6Ketika Dia sampai kepada Simon Petrus, bertanyalah Simon kepada-Nya, "Tuhan, wajarkah Engkau membasuh kakiku?"

7Yesus menjawab, "Sekarang kamu tidak mengerti perbuatan-Ku ini tetapi pada kemudian hari kamu akan mengerti."

8Petrus berkata kepada Yesus, "Tidak! Engkau sekali-kali tidak boleh membasuh kakiku!"

Namun demikian, Yesus menjawab, "Jika Aku tidak membasuhmu, kamu tidaklah lagi mempunyai bahagian dalam apa yang Kulakukan."

9Simon Petrus berkata, "Tuhan, kalau begitu janganlah basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!"

10Yesus berkata kepadanya, "Orang yang sudah mandi telah bersih seluruh tubuhnya, cuma kakinya yang perlu dibasuh. Kamu memang bersih tetapi bukan semua kamu." 11Yesus tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, "Bukan semua yang bersih."

12ASetelah membasuh kaki murid-murid-Nya, Yesus memakai semula jubah-Nya dan kembali ke tempat-Nya di meja. Lalu Dia berkata kepada mereka, "Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu? 13Kamu memanggil-Ku Guru dan Tuhan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Tuhan. 14Jika Aku sebagai Tuhan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri. 15Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu. 16BSesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang hamba tidak lebih besar daripada tuannya. Begitu jugalah, seorang yang diutus tidak mungkin lebih besar daripada orang yang mengutusnya. 17Sekiranya kamu mengerti hal ini dan melakukannya, diberkatilah kamu.

18CApa yang Kukatakan itu bukanlah tentang kesemua kamu. Aku mengenal setiap orang yang telah Kupilih. Tetapi apa yang tersurat dalam Kitab Suci pastilah terlaksana, 'Orang yang makan bersama-Ku telah berpaling menentang-Ku.' 19Aku memberitahumu hal ini sebelum berlaku supaya setelah terjadi nanti, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia. 20DSesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menerima orang yang Kuutus, menerima-Ku. Sesiapa yang menerima-Ku, menerima Dia yang mengutus-Ku."

Yesus memperkatakan tentang pengkhianatan-Nya

21Setelah melafazkan kata-kata itu, Yesus berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus terang, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku."

22Para murid Yesus berpandangan, tertanya-tanya dalam hati siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Yesus. 23Salah seorang murid yang dikasihi oleh Yesus duduk bertelekan di sisi-Nya. 24Simon Petrus pun memberi isyarat kepadanya, "Tanyalah, siapa yang dimaksudkan-Nya itu."

25Murid itu melayah dekat kepada Yesus lalu bertanya, "Siapakah dia, ya Tuhan?"

26Yesus menjawab, "Orang yang Kuberi roti yang telah Kucelupkan ke dalam mangkuk, dialah orangnya." Yesus pun mengambil secebis roti, dicelupkannya lalu diberikannya kepada Yudas anak Simon Iskariot. 27Sebaik-baik Yudas menerima roti itu, masuklah Iblis ke dalam hatinya.

Yesus pun berkata kepadanya, "Apa yang hendak kaulakukan, segeralah lakukan." 28Tiada seorang pun yang makan di situ tahu apa maksudnya Yesus berkata demikian kepada Yudas. 29Beberapa orang murid Yesus menyangka Yesus menyuruh Yudas membeli bekalan yang diperlukan untuk Perayaan Paskah, atau memberi sedekah kepada orang miskin kerana Yudas yang bertanggungjawab atas wang mereka.

30Yudas menyambut roti yang dihulurkan oleh Yesus lalu segera pergi. Ketika itu hari sudah malam.

31Setelah Yudas pergi, Yesus berkata, "Sekarang Anak Manusia dimuliakan, dan Allah dimuliakan melalui-Nya. 32Jika Allah dimuliakan melalui Dia, Allah pun akan memuliakan Dia dalam diri-Nya segera. 33EAnak-anak-Ku, Aku tidak akan lama lagi bersamamu. Kamu akan mencari-Ku, tetapi apa yang telah Kukatakan kepada orang Yahudi kini Kukatakan kepadamu juga, 'Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.' 34FInilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri. 35Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku."

Yesus memperingatkan Petrus

36Simon Petrus bertanya kepada Yesus, "Ke mana Tuhan hendak pergi?"

Yesus menjawab, "Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat mengikut-Ku sekarang, tetapi satu hari nanti kamu akan mengikut-Ku ke situ."

37Petrus bertanya lagi, "Tuhan, mengapa aku tidak dapat mengikut Engkau sekarang? Aku rela mati untuk-Mu, Tuhan!"

38Yesus menjawab, "Benarkah kamu rela mati untuk-Ku? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sebelum ayam berkokok, kamu akan menyangkal Aku tiga kali."