Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ayub 7

A A A
Alkitab Versi Borneo

Hidup itu berat

1"Bukankah manusia harus berjerih di bumi,

dan bukankah hari-harinya seperti hari-hari orang upahan?

2Seperti seorang hamba yang merindukan naungan,

seperti seorang upahan yang menantikan upahnya,

3demikianlah diberikan kepadaku bulan-bulan yang sia-sia,

dan malam-malam yang melelahkan ditentukan bagiku.

4Ketika aku berbaring, aku berfikir, 'Bilakah aku akan bangun?'

Namun malam berlanjut dan aku terus kegelisahan sampai fajar.

5Tubuhku berselubung belatung dan gumpalan debu,

kulitku mengeras lalu pecah.

6Hari-hariku lebih cepat daripada torak penenun,

dan berakhir tanpa pengharapan.

7Ingatlah betapa nyawaku hanya hembusan nafas.

Mataku tidak akan melihat kebaikan lagi.

8Mata orang yang melihat aku tidak akan memandang aku lagi.

Engkau akan mencari aku, tetapi aku tidak ada lagi.

9Seperti awan lenyap dan menghilang,

demikian juga orang yang turun ke alam kubur tidak akan naik lagi.

10Dia tidak akan kembali lagi ke rumahnya,

tempat tinggalnya tidak akan mengenalinya lagi.

11Oleh sebab itu aku tidak mahu menahan mulutku.

Aku akan bercakap dalam kesesakan hatiku,

aku akan mengeluh dalam kepahitan jiwaku.

12Adakah aku ini laut atau raksasa laut,

sehingga Engkau menempatkan penjaga ke atasku?

13Apabila aku berfikir, 'Tempat tidurku akan memberi aku kelegaan,

ranjangku akan meringankan keluhanku,'

14maka Engkau mengejutkan aku dengan mimpi-mimpi

dan membuat aku takut dengan aneka penglihatan,

15sehingga jiwaku lebih memilih untuk dicekik

dan mati daripada tubuhku ini.

16Aku jemu, aku tidak mahu hidup terus,

biarkanlah aku kerana hari-hariku sia-sia belaka.

17AApakah manusia sehingga Engkau membesar-besarkan dia,

sehingga Engkau memperhatikan dia,

18sehingga Engkau mendatanginya setiap pagi

dan menguji dia setiap saat?

19Bilakah Engkau mengalihkan pandangan-Mu daripadaku,

dan membiarkan aku sehingga aku dapat menelan ludahku?

20Kalau aku berdosa, apakah yang telah kulakukan terhadap Engkau,

ya Pengawas manusia?

Mengapakah Engkau menjadikan aku sasaran-Mu,

sehingga aku menjadi beban bagi diriku sendiri?

21Mengapakah Engkau tidak mengampunkan pelanggaranku

dan menghapuskan kesalahanku?

Sekarang aku akan berbaring dalam debu.

Engkau akan mencari aku dengan saksama, tetapi aku tidak akan ada lagi."