Alkitab Versi Borneo |
1Berserulah! Adakah sesiapa yang akan menjawab kamu? Kepada siapakah antara malaikat suci akan engkau berpaling? 2Sesungguhnya, orang bodoh dibunuh oleh rasa kesal, dan orang yang bebal dimatikan oleh dengki. 3Aku pernah melihat orang bodoh berakar, tetapi tiba-tiba sahaja, kukutuk kediamannya. 4Anak-anaknya jauh daripada selamat, mereka dihancurkan di pintu gerbang tanpa ada yang menolong. 5Apa yang dituainya, dimakan habis oleh orang yang kelaparan, direnggut bahkan daripada duri, dan orang yang dahaga menghasratkan kekayaannya. 6Kesusahan tidak terbit daripada debu dan kesukaran tidak tumbuh dari tanah, 7tetapi manusia dilahirkan bagi kesukaran, seperti bunga api melayang tinggi. 8Tetapi aku, tentu aku akan mencari Allah, kepada Allah akan kuserahkan perkaraku. 9Dia melakukan hal-hal besar yang tidak mampu kita cari, hal-hal ajaib yang tidak terhingga jumlahnya. 10Dia menurunkan hujan ke permukaan bumi, dan mengirimkan air ke permukaan padang. 11Dia menempatkan orang bawahan pada kedudukan yang tinggi, dan orang yang berdukacita diangkat supaya selamat. 12ADia menggagalkan rancangan orang cerdik, sehingga upaya tangan mereka tidak berhasil. 13Dia memerangkap orang bijak dengan kecerdikan mereka sendiri, dan rancangan orang yang banyak muslihat segera ditamatkan-Nya. 14Pada siang hari mereka menjumpai kegelapan, pada tengah hari mereka meraba-raba seperti pada malam hari. 15Tetapi Dia menyelamatkan orang melarat daripada pedang yang keluar daripada mulut mereka, bahkan daripada tangan orang yang kuat. 16Dengan demikian orang miskin mempunyai harapan, dan kezaliman tutup mulut. 17BSesungguhnya, berbahagialah orang yang ditegur Allah. Maka janganlah kaupandang rendah didikan Yang Maha Kuasa. 18CDia melukai, tetapi juga membalut. Dia meremukkan, tetapi tangan-Nya juga menyembuhkan. 19Dia akan melepaskan engkau daripada enam kesesakan, dan dalam yang ketujuh engkau tidak akan terkena malapetaka. 20Pada masa kelaparan Dia akan menebus engkau daripada maut, dan pada masa perang daripada kuasa pedang. 21Engkau akan terlindung daripada cemeti lidah orang, engkau tidak akan takut ketika kemusnahan datang. 22Engkau akan mentertawakan kemusnahan dan kelaparan, dan tidak akan takut kepada binatang liar. 23Dengan batu-batu di padang engkau akan mengadakan perjanjian, binatang liar akan berdamai dengan engkau. 24Engkau akan dapati khemahmu selamat sejahtera, ketika engkau memeriksa kediamanmu, engkau tidak akan kehilangan apa-apa. 25Engkau akan tahu bahawa keturunanmu menjadi ramai dan anak cucumu seperti rumput di bumi. 26Engkau akan masuk kubur pada takat penuh usiamu seperti timbunan gandum dibawa masuk pada musimnya. 27Sesungguhnya, hal-hal ini sudah kami kaji, dan memang demikianlah adanya. Dengarlah dan ketahuilah!"