Alkitab Versi Borneo |
Ayub merendahkan diri
1TUHAN berfirman kepada Ayub: 2"Adakah si penuduh mahu berbantah melawan Yang Maha Kuasa? Biarlah dia yang menegur Allah menjawab!" 3Jawab Ayub kepada TUHAN: 4"Aku ini hina adanya, apa yang dapat kujawab kepada-Mu? Tanganku kutekapkan ke mulut. 5Aku sudah berbicara satu kali, tetapi aku tidak mahu menjawab lagi bahkan dua kali, dan aku tidak mahu menambahi apa-apa lagi." Ayub dicabar 6Tuhan menjawab Ayub dari dalam angin puting beliung, 7"Bersiaplah engkau sebagai lelaki. Aku hendak bertanya kepadamu, dan engkau harus menjawab Aku. 8Apakah engkau mahu membatalkan pengadilan-Ku? Apakah engkau mahu mempersalah Aku supaya engkau benar? 9Apakah engkau berkuasa seperti Allah? Dapatkah suaramu mengguntur seperti suara-Nya? 10Hiasilah dirimu dengan keagungan dan keluhuran, kenakanlah kemuliaan dan semarak. 11Hamburkanlah amarahmu yang meluap-luap, pandanglah setiap orang yang sombong dan rendahkanlah dia. 12Pandanglah setiap orang yang sombong dan tundukkanlah dia, injaklah orang fasiq di tempatnya. 13Kuburlah mereka bersama-sama dalam debu, selubungilah muka mereka di tempat yang tersembunyi. 14Maka Aku sendiri akan mengakui bahawa tangan kanan kamulah yang menyelamatkan engkau." Gambaran tentang Behemot 15"Lihatlah Behemot yang juga kubuat sama seperti engkau. Ia makan rumput seperti lembu. 16Lihatlah, kekuatannya ada pada pinggangnya, tenaganya pada urat-urat perutnya. 17Ia meregangkan ekornya seperti pokok araz,
otot pahanya jalin-menjalin. 18Tulang-tulangnya seperti pipa tembaga, rangkanya seperti batang besi. 19Ia adalah antara yang pertama daripada pekerjaan Allah. Hanya pembuatnyalah yang dapat mendekat dengan pedang-Nya. 20Gunung-gunung menghasilkan makanan baginya, segala binatang liar bermain di sana. 21Di bawah pohon teratai ia berbaring, tersembunyi dalam rumpun buluh di rawa-rawa. 22Pohon teratai menaunginya dengan bayang-bayangnya, pokok-pokok gandarusa di tepi sungai mengelilinginya. 23Sekalipun sungai meluap, ia tidak gentar.
Ia tetap tenang sekalipun Sungai Yordan bergelora melanda mulutnya. 24Dapatkah orang menangkapnya ketika ia terjaga, atau mencucuk hidungnya dengan pengait?"