Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ayub 33

A A A
Alkitab Versi Borneo

Elihu menegur Ayub

1"Tetapi sekarang, wahai Ayub, dengarlah kata-kataku,

perhatikanlah segala yang kusampaikan.

2Lihatlah, kini mulutku kubuka,

lidah di dalam mulutku berbicara.

3Kata-kataku menyatakan kejujuran hatiku,

bibirku mengatakan dengan ikhlas apa yang diketahuinya.

4Roh Allah telah menjadikan aku,

nafas Yang Maha Kuasa menghidupkan aku.

5Jawablah aku jika engkau sanggup!

Susunlah perkataanmu di hadapanku!

Pertahankanlah pendapatmu!

6Sesungguhnya, aku ini sama seperti engkau di hadapan Allah,

aku juga dibentuk daripada tanah liat.

7Jadi, engkau tidak usah takut dan berasa gentar terhadap aku,

desakanku kepadamu tidak akan memberatkan.

8Sungguh, engkau telah berkata-kata dekat pendengaranku,

dan aku sudah mendengar bunyi kata-katamu,

9'Aku suci, tanpa pelanggaran.

Aku bersih, tidak ada kesalahan padaku.

10Tetapi Dia menemukan alasan untuk menentang aku,

menganggapku musuh-Nya.

11ADia memasukkan kakiku ke dalam pasungan,

dan mengawasi segala jalanku.'

12Namun demikian, kujawab engkau: dalam hal ini engkau salah.

Allah itu lebih besar daripada manusia.

13Mengapa engkau berbantah-bantah terhadap Dia

kerana Dia tidak menjelaskan segala tindakan-Nya?

14Allah berfirman dengan satu dua cara,

tetapi orang tidak memperhatikannya.

15BDalam mimpi, dalam penglihatan pada malam hari,

ketika tidur yang lelap melanda manusia,

atau ketika dia mengantuk di tempat tidur,

16pada waktu itulah Dia membuka telinga manusia

dan memateraikan teguran-teguran bagi mereka,

17supaya manusia dipalingkan daripada perbuatannya

dan kesombongannya dilenyapkan.

18Dia menahan jiwa manusia daripada liang kubur,

juga hidupnya, supaya jangan dilenyapkan oleh lembing.

19Allah menegurnya dengan penderitaan di tempat tidurnya,

dan dengan nyeri yang terus-menerus ada dalam tulang-tulangnya,

20sehingga dirinya muak akan makanan,

dan jiwanya menolak makanan yang sedap-sedap.

21Dagingnya susut sehingga tidak terlihat lagi,

dan tulang-tulangnya, yang dahulu tidak kelihatan, sekarang tertonjol.

22Jiwanya mendekati liang kubur

dan hidupnya mendekati para pembawa maut.

23Jika ada seorang malaikat menyertainya,

atau seorang pengantara, satu antara seribu,

untuk menyatakan kepada manusia apa yang lurus,

24maka Dia akan mengasihaninya dan berfirman,

'Lepaskan dia, supaya dia tidak turun ke liang kubur.

Aku sudah mendapat tebusan.'

25Tubuhnya menjadi segar semula seperti tubuh kanak-kanak,

dan dia akan kembali kepada masa mudanya.

26Dia berdoa kepada Allah dan Dia berkenan kepadanya,

maka dia menghadap wajah-Nya dengan sorak-sorai;

Allah mengembalikannya kepada kebenarannya.

27Lalu dia datang kepada manusia, katanya,

'Aku telah berdosa dan membengkokkan apa yang lurus,

tetapi hal itu tidak dibalas kepadaku.

28Allah menebus jiwaku sehingga tidak masuk ke liang kubur.

Hidupku akan melihat cahaya.'

29Sesungguhnya, semua hal itu dilakukan Allah

dua tiga kali terhadap manusia,

30untuk mengembalikan nyawanya daripada liang kubur

sehingga dia disinari oleh cahaya kehidupan.

31Perhatikanlah, wahai Ayub, dengarlah aku.

Berdiam dirilah, aku hendak berbicara.

32Jika ada yang ingin kaukatakan, jawablah aku.

Bicaralah, kerana aku ingin membenarkan engkau.

33Jika tidak, dengarlah aku.

Berdiam dirilah, aku akan mengajarkan hikmah kepadamu."