Alkitab Versi Borneo |
Elihu kemukakan pendapatnya 1Ketiga-tiga orang itu berhenti menjawab Ayub, kerana Ayub menganggap dirinya benar. 2Lalu menyalalah amarah Elihu anak Barakheel, orang Bus, daripada kaum Ram. Dia marah kepada Ayub kerana Ayub membenarkan dirinya, dan bukan membenarkan Allah. 3Dia juga marah kepada ketiga-tiga sahabat Ayub, kerana mereka tidak boleh menjawab Ayub namun mempersalah dia. 4Elihu menanti kesempatan untuk dapat berbicara kepada Ayub, kerana mereka berumur lebih tua daripadanya. 5Tetapi ketika Elihu melihat bahawa tidak ada jawapan lagi daripada mulut ketiga-tiga orang itu, maka menyalalah amarahnya. 6Elihu anak Barakheel, orang Bus itu, berkata, "Aku ini masih muda, sedangkan kamu sudah tua, sebab itu aku segan dan takut menyatakan pendapatku kepadamu. 7Fikirku, 'Yang berumurlah yang harus berbicara, yang banyak tahunnyalah yang harus mengajarkan hikmah.' 8Tetapi roh di dalam diri manusia, iaitu nafas Yang Maha Kuasa, itulah yang memberikan pengertian kepadanya. 9Bukan yang banyak umurnya yang bijak, bukan yang tua yang mengerti keadilan. 10Oleh sebab itu aku berkata, 'Dengarlah aku. Aku juga hendak menyatakan pendapatku.' 11Ketahuilah, aku telah menantikan kamu ketika kamu berkata-kata, dan aku telah mendengar pertimbanganmu sementara kamu mencari kata-kata. 12Aku memperhatikan kamu, tetapi tiada seorang pun menempelak Ayub, tiada seorang pun antara kamu yang menjawab kata-katanya. 13Jangan berkata, 'Kami sudah menemukan hikmah. Biarlah Allah yang mengalahkan dia, bukan manusia.' 14Dia tidak menyusun kata-kata terhadap aku, dan aku tidak akan menjawabnya dengan kata-katamu. 15Mereka bingung, mereka tidak menjawab lagi, mereka kehabisan kata. 16Haruskah aku menanti kerana mereka tidak berbicara dan kerana mereka berdiri sahaja tanpa menjawab lagi? 17Aku juga hendak menjawab pada giliranku. Aku juga hendak menyatakan pendapatku, 18kerana aku penuh dengan perkataan; roh di dalam diriku mendesak aku. 19Sesungguhnya, batinku seperti anggur yang belum dibuka, seperti kirbat anggur baru yang hampir meletup. 20Aku harus berkata-kata supaya lega, aku harus membuka bibirku dan menjawab. 21Aku tidak akan memihak kepada sesiapa pun, dan aku tidak akan menyanjung-nyanjung seorang pun, 22kerana aku tidak tahu bagaimana untuk menyanjung-nyanjung; jika demikian kulakukan, Penciptaku akan segera mencabut nyawaku."