Alkitab Versi Borneo |
Huraian Ayub selanjutnya 1"Tetapi sekarang aku ditertawakan mereka yang lebih muda daripadaku, yang sepatutnya ayah-ayah mereka kupandang terlalu hina untuk ditempatkan bersama dengan anjing penjaga kawanan dombaku. 2Apatah lagi, apa gunanya bagiku kekuatan tangan mereka? Mereka sudah kehabisan tenaga. 3Mereka kurus kerana kekurangan dan kelaparan, mereka menggerumit tanah yang gersang di padang yang tandus dan sunyi. 4Mereka memetik rumput garam di antara semak dan akar pokok arar menjadi makanan mereka. 5Mereka dihalau daripada kalangan manusia, orang meneriaki mereka seperti meneriaki pencuri. 6Mereka harus berdiam di alur-alur sungai kering, di lubang-lubang tanah dan ceruk-ceruk batu. 7Di tengah-tengah semak-semak mereka menjerit, di bawah belukar mereka berkumpul. 8Mereka kalangan anak orang bodoh dan kalangan anak orang yang tidak dikenal, mereka didepak dari negeri. 9Sekarang, aku menjadi lagu ejekan mereka, aku menjadi sindiran bagi mereka. 10Mereka mengejikan aku, menjauhkan diri daripadaku, dan tidak segan-segan meludahi mukaku. 11Kerana Allah telah melepaskan tali busur-Nya dan menindas aku, mereka pun tidak mengekang diri di hadapanku. 12Di sebelah kananku gerombolan bangkit. Mereka menolak kakiku, dan membina jalan kemalangan untuk menyerang aku. 13Mereka membongkar jalanku, mengambil untung daripada bencanaku, padahal mereka sendiri tidak punya penolong. 14Mereka datang seolah-olah melalui lubang tembok yang lebar; di tengah-tengah kehancuran, mereka datang bergulung-gulung. 15Kegentaran meliputi diriku, kemuliaanku diburu seperti oleh angin, kesejahteraanku lenyap seperti awan. 16Sekarang jiwaku tercurah dalam diriku, hari-hari kesusahan mencengkam aku. 17Malam menusuk tulang-tulangku, nyeri yang mengunggis aku tidak juga berhenti. 18Pakaianku rosak oleh kuasa yang besar, melekat padaku seperti leher bajuku. 19Allah membuang aku ke dalam lumpur, aku sudah seperti debu dan abu. 20Aku berteriak minta tolong kepada-Mu tetapi Engkau tidak menjawab. Aku berdiri, tetapi Engkau hanya memandangku. 21Engkau berubah jadi bengis terhadap aku, dengan kekuatan tangan-Mu Engkau menganiaya aku. 22Engkau mengangkat aku dengan angin, melayangkan aku, dan menghempaskan aku dalam badai. 23Aku tahu bahawa Engkau akan membawa aku kepada maut, ke tempat yang ditentukan bagi semua yang hidup. 24Sesungguhnya, tidak ada yang menghulurkan tangan kepada orang yang hancur ketika dia berseru minta tolong dalam kemalangannya. 25Bukankah aku menangis kerana orang yang mengalami hari sukar? Bukankah hatiku bersedih kerana orang yang melarat? 26Tetapi ketika aku mengharapkan yang baik, datanglah yang jahat; ketika aku menantikan cahaya, datanglah kelam. 27Batinku bergelora dan tidak mahu diam, hari-hari kesusahan mendatangi aku. 28Aku berjalan dengan kulit menghitam, tetapi bukan sinar matahari. Aku berdiri di tengah-tengah jemaah dan berteriak minta tolong. 29Aku menjadi saudara bagi serigala dan kawan bagi burung unta. i 30Kulitku menghitam dan mengelupas, tulang-tulangku terbakar kerana demam. 31Bunyi kecapiku menjadi irama perkabungan, dan bunyi serulingku menjadi suara orang menangis."