Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ayub 29

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pembelaan Ayub

1Ayub melanjutkan huraiannya, katanya, 2"Kalaulah aku seperti dalam bulan-bulan yang silam,

seperti semasa hari-hari Allah melindungiku,

3ketika pelita-Nya bersinar di atas kepalaku

dan dengan cahaya-Nya aku berjalan dalam kegelapan.

4Kalaulah aku seperti pada masa mudaku,

ketika persahabatan Allah menaungi khemahku;

5ketika Yang Maha Kuasa masih bersama denganku,

dan anak-anakku ada di sekelilingku;

6ketika langkah-langkahku bermandikan dadih,

dan batu pejal mencucurkan aliran minyak bagiku.

7Dahulu, ketika aku keluar ke pintu gerbang kota,

dan ketika kusediakan kerusiku di alun-alun,

8kalangan muda melihatku dan undur diri,

sedang kalangan tua bangkit berdiri;

9para pembesar berhenti bicara

dan menekapkan tangan ke mulut;

10suara para penghulu tidak terdengar,

lidah mereka melekat ke langit-langit mulut.

11Ketika telinga mendengar, aku disebut berbahagia;

ketika mata melihat, aku dipuji,

12kerana aku menyelamatkan orang miskin yang berteriak minta tolong,

dan anak-anak yatim tiada sesiapa yang menolong mereka.

13Aku menerima ucapan berkat daripada orang yang nyaris binasa,

dan kubuat hati seorang balu bersorak-sorai.

14Perbenarani kupakai sebagai pakaianku,

keadilan seperti jubah dan serban bagiku.

15Aku menjadi mata bagi orang buta

dan kaki bagi orang tempang.

16Aku menjadi bapa bagi fakir miskin,

kuselidiki perkara orang yang tidak kuketahui.

17Aku mematahkan geraham orang zalim

dan menyentakkan mangsa daripada gigi-giginya.

18Fikirku, 'Aku akan mati di sarangku

dan memperbanyak hari-hariku seperti pasir.

19Akarku menjulur ke air,

embun bermalam di cabangku.

20Kemuliaanku tetap segar kepadaku,

busur panahku diperbaharu di tanganku.

21Orang mendengar dan menantikan aku,

mereka berdiam diri mendengar nasihatku.

22Setelah aku berbicara, mereka tidak berbicara lagi,

kata-kataku menetes ke atas mereka.

23Mereka menantikan aku seperti menantikan hujan,

mereka mengangakan mulut seperti menadah hujan pada akhir musim.

24Jika aku tersenyum kepada mereka, mereka tidak dapat mempercayainya

dan seri mukaku tidak dapat dimuramkan mereka.

25Aku memilih jalan bagi mereka dan duduk sebagai kepala.

Aku bersemayam seperti raja di tengah-tengah pasukannya,

seperti orang yang menghiburkan kalangan yang berkabung.' "