Alkitab Versi Borneo |
Tidak ada harapan bagi orang fasiq 1Ayub melanjutkan huraiannya, katanya, 2"Demi Allah yang hidup, yang telah mengambil hakku, demi Yang Maha Kuasa, yang telah membuat jiwaku menjadi getir, 3selagi aku masih lagi bernyawa dan nafas Allah masih di dalam lubang hidungku, 4bibirku tidak akan mengatakan kezaliman dan lidahku tidak akan mengungkapkan penipuan; 5janganlah aku sekali-kali berkata kamu tidak bersalah, sampai putus nyawa pun aku tidak akan menyingkirkan ketulusan hatiku. 6Kupegang perbenarankui dengan teguh dan tidak kulepaskan,
hatiku tidak mencela sehari pun daripada umurku. 7Biarlah musuhku bernasib seperti orang fasiq, orang yang melawan aku seperti orang zalim. 8Apakah harapan orang durjana ketika Allah menghancurkannya ketika Allah mengambil nyawanya? 9Adakah Allah mahu mendengar seruannya ketika kesesakan menimpanya? 10Dapatkah dia bersenang-senang di dalam Yang Maha Kuasa dan berseru kepada Allah setiap waktu? 11Aku akan mengajar kamu fasal kuasa Allah, apa yang ada pada Yang Maha Kuasa tidak akan kusembunyikan. 12Sesungguhnya, kamu semua sudah melihatnya. Mengapa pula kamu mengujarkan kata-kata yang sia-sia? 13Inilah bahagian orang fasiq yang dikhaskan Allah, harta pusaka orang kejam yang diterima mereka daripada Yang Maha Kuasa: 14Jika anak-pinaknya bertambah ramai, mereka dimakan pedang. Anak cucunya tidak kenyang dengan makanan. 15Kalangan orangnya yang tertinggal dikuburkan kerana wabak, dan balu mereka tidak menangisi mereka. 16Sekalipun dia menimbunkan perak seperti debu dan melonggokkan pakaian seperti tanah liat, 17maka apa yang ditimbunkannya akan dipakai oleh orang benar, dan perak yang dilonggokkannya akan dibahagi-bahagikan oleh orang yang tidak bersalah. 18Dia mendirikan rumahnya sebagaimana sarang gegat, seperti pondok yang dibuat oleh si penjaga. 19Dia berbaring sebagai orang kaya, tetapi tidak lagi dapat melakukannya. Dia membuka matanya dan semuanya sudah tiada lagi. 20Kedahsyatan menyergapnya seperti air bah, angin puyuh melayangkannya pada malam hari. 21Angin timur mengangkatnya, lalu dia lenyap. Dia disapukan dari tempatnya. 22Tanpa belas kasihan, Allah melontarinya, dia lari pontang-panting daripada kuasa-Nya. 23Orang bertepuk tangan kerana dia dan berdesis-desis mengusirnya dari tempatnya."