Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ayub 23

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pembelaan Ayub

1Kemudian Ayub menjawab, 2"Bahkan hari ini pun keluhanku getir,

tekananku berat, begitu juga keluh-kesahku.

3Sekiranya aku tahu di mana aku boleh menemui Dia,

sehingga aku boleh datang ke tempat Dia bersemayam!

4Aku akan menyusun perkaraku di hadapan-Nya

dan memenuhi mulutku dengan pembelaan.

5Aku mahu mengetahui jawapan-jawapan yang diberikan-Nya kepadaku,

dan memahami apa yang difirmankan-Nya kepadaku.

6Sudikah Dia berperkara dengan aku dalam kuasa-Nya yang besar?

Tidak, tetapi Dia akan memberikan perhatian kepadaku.

7Di sana orang yang lurus hati dapat membela diri di hadapan-Nya,

dan aku akan bebas daripada Hakimku untuk selama-lamanya.

8Ketika aku berjalan ke depan, Dia tidak ada di situ.

Ketika aku berjalan ke belakang, tidak kudapati Dia.

9Ketika Dia berkarya di sebelah kiri, aku tidak dapat memandang Dia.

Ketika Dia berpaling ke sebelah kanan, aku tidak dapat melihat Dia.

10Namun begitu, Dia tahu tentang jalan yang kuambil.

Setelah Dia menguji aku, aku akan keluar seperti emas.

11Kakiku tetap mengikuti langkah-Nya.

Aku tetap menuruti jalan-Nya dan tidak menyimpang.

12Aku tidak menjauh daripada perintah-Nya.

Aku menyimpan khazanah firman-Nya lebih daripada makananku sehari-harian.

13Akan tetapi, Dia tidak berubah. Siapa dapat melawan-Nya?

Apa yang dikehendaki-Nya, itulah yang dilakukan-Nya.

14Dia menyelesaikan apa yang ditentukan bagiku,

dan banyak hal semacam itu ada pada-Nya.

15Itulah sebabnya aku tergoncang di hadapan-Nya.

Kalau kufikirkan hal itu, aku ketakutan terhadap Dia.

16Allah telah membuat hatiku lemah.

Yang Maha Kuasa telah membuat aku gementar,

17kerana aku tidak dilenyapkan sebelum datangnya kegelapan,

dan kekelaman tidak ditutupi-Nya daripada mukaku."