Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ayub 22

A A A
Alkitab Versi Borneo

Elifas: Ayub harus bertaubat

1AMaka Elifas, orang Teman, menjawab, 2"Bergunakah manusia bagi Allah?

Sesungguhnya, orang yang berhikmah berguna bagi dirinya sendiri.

3Adakah Yang Maha Kuasa senang hati kalau engkau benar?

Apa untungnya bagi Dia kalau jalanmu tidak bercela?

4Adakah kerana ketakwaanmu kepada-Nya maka Dia menegur engkau

dan datang berperkara denganmu?

5Bukankah kejahatanmu besar

dan kesalahanmu tiada habisnya?

6Kauambil gadaian daripada saudaramu dengan sewenang-wenang,

kaulucuti pakaian orang sehingga dia telanjang.

7Orang yang lelah tidak kauberi air minum,

kautahan makanan daripada orang yang lapar.

8Orang yang berkuasalah yang memiliki tanah,

dan orang yang terhormatlah yang mendudukinya.

9Kausuruh para balu pergi dengan tangan hampa,

lengan anak yatim dipatahkan.

10Itulah sebabnya ada perangkap di sekelilingmu,

dan engkau dikejutkan oleh kedahsyatan yang tiba-tiba

11atau oleh kegelapan sehingga engkau tidak dapat melihat,

dan air bah meliputi kamu.

12Bukankah Allah bersemayam di langit yang tinggi?

Lihatlah, betapa tingginya bintang-bintang yang tertinggi!

13Namun demikian, engkau berkata, 'Allah tahu apa?

Masakan Dia mengadili dari balik kelam pekat itu?

14Awan menutupi-Nya sehingga Dia tidak dapat melihat,

Dia berjalan-jalan di lengkungan langit.'

15Adakah engkau mahu tetap menuruti jalan lama yang ditempuh oleh kalangan jahat?

16Mereka telah dicabut sebelum waktu mereka,

dasar mereka dihanyutkan sungai.

17Mereka berkata kepada Allah, 'Menjauhlah daripada kami!'

dan, 'Apakah yang dapat dilakukan Yang Maha Kuasa terhadap kami?'

18Padahal Dialah yang memenuhi rumah mereka dengan segala yang baik-baik.

Nasihat orang fasiq jauh daripadaku.

19Orang benar melihat hukuman mereka dan bersukacita,

orang yang tidak bersalah mengolok-olokkan mereka demikian,

20'Sungguh, lawan kita sudah dilenyapkan,

peninggalan mereka sudah dimakan api.'

21Berdamailah hendaknya dengan Dia dan jadilah tenteram,

maka kebaikan akan mendatangimu.

22Terimalah pengajaran-Nya,

dan simpanlah firman-Nya dalam hatimu.

23Jika engkau berbalik kepada Yang Maha Kuasa, engkau akan dibangunkan kembali.

Jika engkau menjauhkan kezaliman dari khemahmu,

24meletakkan biji emas di dalam debu,

dan emas Ofir di antara batu kali,

25maka Yang Maha Kuasa akan menjadi khazanah kamu

serta perak yang berharga bagimu.

26Sesungguhnya, pada waktu itu engkau akan bersenang-lenang kerana Yang Maha Kuasa,

dan akan menengadahkan muka kepada Allah.

27Engkau akan berdoa kepada-Nya dan Dia akan mendengar kamu,

engkau akan membayar nazarmu.

28Apa yang kauputuskan akan terlaksana bagimu,

dan cahaya akan menyinari jalan-jalanmu.

29Apabila orang direndahkan, engkau akan berkata, 'Angkatlah!'

dan orang yang tertunduk itu akan diselamatkan oleh-Nya.

30Dia akan melepaskan orang yang tidak bersalah,

dan orang itu akan dilepaskan atas sebab kebersihan tanganmu."